Tag: Lt Jen Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Huzaimi Sabri

  • Warga 2 Bgd Bakal Terima Masjid Baharu

    Warga 2 Bgd Bakal Terima Masjid Baharu

    PERAK: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan menyempurnakan acara gimik Perasmian Pecah Tanah Masjid Baharu Briged Kedua Infantri Malaysia (2 Bgd) di Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) pada 13 Mac 2024.

    Masjid baharu berkonsepkan Modern Nusantara ini akan dibina di atas tanah seluas dua ekar dan bangunan masjid berkeluasan 1003.6 meter persegi di mana mampu menampung hampir 1,000 jemaah serentak pada satu-satu masa.

    Acara ini merupakan sebahagian daripada program sempena Lawatan Ulung PTD ke Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (PMBTD) di 2 Bgd sejak mengambil alih jawatan sebagai PTD pada 6 Sep 2023 yang lalu.

    Terdahulu, ketibaan beliau di MK 2 Bgd disambut oleh Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD), Lt Jen Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Huzaimi Sabri lalu diberi penghormatan untuk mengambil tabik hormat serta memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) dari Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (23 RAMD).

    Sesi lawatan diteruskan dengan taklimat perkara G, A dan Q yang disampaikan oleh PMB TD bagi memberi gambaran lebih jelas berkenaan perkara-perkara kesiagaan dan keupayaan serta kekangan yang dihadapi oleh pasukan.

    Pada masa yang sama turut diadakan Majlis Ramah Mesra dan Sumbangan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) sempena Lawatan Ulung Pengerusi Jemaah BAKAT Darat, Puan Sri Datin Hartiah Hamzah ke BAKAT naungan PMBTD bertempat di Rumah BAKAT Kem 2 Bgd dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) 2 Bgd.

    Pada sebelah petang, PTD meluangkan masa melaksanakan lawatan kebajikan di Kinta Perdana, Ipoh bagi menziarahi Brig Jen Salim Ahmad Miandad (Bersara) yang menghidap penyakit mild stroke melibatkan tangan sebelah kiri sejak Feb yang lalu.

    Seterusnya, PTD dan isteri menghadiri Majlis Iftar Ramadan bersama warga PMBTD di Padang Kawad 23 RAMD sebelum menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih secara berjemaah.

    Ketika jamuan moreh, PTD turut berkesempatan beramah mesra dan menyampaikan sumbangan serta kotak rezeki kepada 15 orang golongan asnaf dan warga PMBTD yang mengalami masalah kesihatan bagi mengurangkan beban yang ditanggung.

    Turut hadir, Panglima Divisyen Keempat Infantri Malaysia, Mej Jen Dato’ Ts Reizal Arif Tan Sri Ismail dan pegawai-pegawai kanan TD.

    Gambar: LKpl Mohammad Shukri Suhaimi & LKpl Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein

  • PJM Dimartabatkan Sebagai Pingat Yang Terkanan – PAT

    PJM Dimartabatkan Sebagai Pingat Yang Terkanan – PAT

    KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Seri Mohammad Ab Rahman merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada penerima Anugerah Pingat Jasa Malaysia (PJM) yang merupakan salah satu penghargaan kerajaan terhadap anggota tentera atas pengorbanan dan khidmat bakti yang telah dicurahkan terutamanya semasa darurat menentang komunis.

    Beliau berkata, PJM merupakan satu pingat khas yang telah diluluskan oleh parlimen pada 3 Mac 2004 dan ia dimartabatkan sebagai pingat terkanan berbanding anugerah-anugerah yang sama kelas dengannya di mana Menteri Pertahanan juga bersetuju mewakilkan kuasa selaku pengurnia pingat tersebut kepada Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang layak menerimanya.

    “Kerajaan menerusi Kementerian Pertahanan dan Jabatan Hal Ehwal Veteran menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan dan kesejahteraan warga pertahanan termasuk Veteran ATM dengan meningkatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM 244 juta berbanding dengan tahun sebelumnya yang berjumlah RM 190 juta.

    “Kerajaan akan terus komited menjaga hal ehwal kebajikan dan sosioekonomi veteran ATM dengan menyediakan bantuan melalui pelbagai skim seperti Bantuan Sara Hidup, Bantuan Kemasukan Institusi Pengajian Tinggi, kemudahan perubatan dan lain-lain skim bantuan kebajikan,” jelas PAT semasa berucap dalam Majlis Penganugerahan PJM Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bertempat di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM pada 21 Feb 2024.

    Majlis PJM ini disempurnakan oleh PAT melibatkan seramai 500 penerima terdiri daripada Veteran ATM, balu serta wakil waris.

    Turut hadir, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob, Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Datuk Seri Hj Muhamad Norazlan Aris TUDM dan Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Huzaimi Sabri.

    Gambar: LKpl Mohammad Fadzil Akirul

  • PTD Meraikan Deepavali Peringkat Tentera Darat

    PTD Meraikan Deepavali Peringkat Tentera Darat

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isteri, Datin Hartiah Hamzah menyaksikan Sambutan Majlis Deepavali Peringkat Tentera Darat di Dewan Dato’ Jamil Ahmad pada 8 Dis 2023.

    Sambutan ini diadakan bagi meraikan pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) berbangsa India di samping dapat mengeratkan lagi jalinan persahabatan warga TD berbilang bangsa yang telah terjalin.

    Acara dimulakan dengan gimik membuat kolum yang disempurnakan oleh PTD sebagai simbolik meraikan perayaan Deepavali.

    Seterusnya, acara dimeriahkan lagi dengan pelbagai persembahan seperti pertunjukan tarian masyarakat India serta nyanyian lagu.

    Selain itu, PTD turut menyempurnakan penyampaian duit raya kepada anak-anak pegawai dan anggota yang hadir.

    Sebelum mengakhiri majlis, PTD menyampaikan sumbangan kepada Sekolah Rendah Kebangsaan (Tamil) Kem Askar Melayu serta kepada lima anggota sebelum diakhiri dengan pertunjukan bunga api.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Huzaimi Sabri dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan dan pegawai kanan TD.

  • Piala Sultan Sallehuddin Milik 25 RAMD

    Piala Sultan Sallehuddin Milik 25 RAMD

    KUALA LUMPUR: Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman selaku Kol Yang Dipertua (YDP) Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) mencemar duli bagi menyaksikan Perlawanan Akhir Bola Sepak Piala Sultan Sallehuddin (PSS) Tahun 2023 di antara 14 RAMD (Mek) dan 25 RAMD bertempat di Stadium KEMENTAH pada 25 Nov 2023.

    Terdahulu ketibaan baginda disambut oleh Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD), Lt Jen Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Huzaimi Sabri merangkap Pengerusi RAMD.

    Perlawanan ini merupakan acara tahunan bagi RAMD bertujuan untuk mengenal pasti serta memilih pemain-pemain baharu yang akan mewakili rejimen dalam perlawanan peringkat TD selain ianya dapat memupuk semangat kesukanan, kerjasama berpasukan dan mengeratkan lagi hubungan setiakawan.

    Perlawanan yang berlangsung selama 90 minit menyaksikan kedua-dua pasukan masih terikat dengan jaringan 2-2 dan diteruskan dengan acara sepakan penalti bagi menentukan pemenang.

    25 RAMD dinobatkan sebagai juara sekaligus menjulang Piala Sultan Sallehuddin selepas mengungguli penentuan sepakan penalti dengan jaringan 4 gol berbalas 2 menewaskan 14 RAMD (Mek).

    Penjaring Terbanyak kejohanan dianugerahkan kepada Kpl Mohd Fazdli Saidon manakala Pemain Terbaik kejohanan dinobatkan kepada Kpl Mohd Idrus Sham Shaari masing-masing dari 25 RAMD.

    Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato Seri Hj Norizan Khazali, Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota, Mej Jen Datuk Mohamed Fauzi Kamis, wakil pesara RAMD, Mej Jen Dato Wira Md Tajri Alwi (Bersara), dan Pegawai-pegawai kanan RAMD.

    Gambar: LKpl Muhammad Shafirin Mohd Radzi, LKpl Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein & Pbt Nanatasha Ngadan

  • Perutusan Perintah Ulung PTD Ke-30

    Perutusan Perintah Ulung PTD Ke-30

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan menyempurnakan Perbarisan Perutusan Perintah Ulung PTD di Dataran PTD, Kem Perdana Sungai Besi pada 31 Okt 2023 selepas dilantik sebagai pemerintah tertinggi Tentera Darat (TD).

    Perutusan yang disampaikan menekankan tiga objektif utama iaitu Kesiapsiagaan, Kemampanan Organisasi dan Sahsiah Keperwiraan yang ingin dicapai melalui Sinergi 3M (Man, Machine and Method).

    PTD juga menggariskan lima teras utama iaitu Sumber Manusia, Inovasi Peperangan Bersama, Agenda Pengukuhan Keupayaan, Gagasan Tentera dan Rakyat serta Anjakan Diplomasi Pertahanan.

    Perbarisan melibatkan seramai 55 pegawai serta 1,509 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang terdiri daripada 16 detasmen mewakili semua Kor dalam Tentera Darat, satu detasmen 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK), satu detasmen Briged Ke-10 (Para) (10 Bgd (Para)) dan satu detasmen Terbang Lintas Hormat Pesawat Agusta 109 LOH dan MD 530G Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) turut menyaksikan gimik penyerahan Perutusan PTD.

    Penyempurnaan Perutusan PTD Ke-30 ini merupakan satu platform yang akan membawa TD seiring dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mencapai aspirasi Angkatan Tiga Puluh (Force 30).

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Huzaimi Sabri, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan dan pegawai kanan TD.

  • Pemakaian Pangkat Pegawai Sukarela Dan Tauliah Kehormat AW

    Pemakaian Pangkat Pegawai Sukarela Dan Tauliah Kehormat AW

    KUALA LUMPUR: Seramai 57 Pegawai Kanan Sukarela, Tauliah Kehormat dan Pegawai Sukarela Tauliah Baharu Askar Wataniah (AW) terlibat dalam Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Sukarela dan Tauliah Kehormat AW yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan bertempat di Dewan Tanjung, Wisma Tansit Kuala Lumpur (WTKL) pada 26 Okt 2023.

    PTD mengucapkan tahniah di atas kenaikan pangkat dan merupakan pengiktirafan oleh TD serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada para pegawai yang terlibat.

    Selain itu pangkat yang disandang hadir bersama amanah, tanggungjawab dan tugas yang harus dipikul dengan sebaik-baiknya.

    “Peranan dalam Rejimen Askar Wataniah peringkat negeri mahupun Rejimen adalah untuk membantu ganti angkatan tetap dalam mempertahankan kepentingan strategik negara, membantu dalam operasi keselamatan dan bersedia untuk dimobilisasi apabila diperlukan serta membantu bekerjasama dengn pihak berkuasa awam semasa kecemasan dan bencana alam.

    “Askar Wataniah juga berperanan menjadi penghubung antara rakyat dan tentera sebagaimana yang dinyatakan dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP).

    “Bagi meningkatkan lagi keberkesanan Askar Wataniah, TD akan turut melibatkan mereka dalam latihan bersama perkhidmatan lain dan agensi kerajaan serta latihan bersama Tentera Negara Asing bertujuan untuk menerapkan elemen Kebersamaan dan Kebolehoperasian di kalangan pegawai dan anggota Sukarela untuk meningkatkan tahap kesiagaan menghadapi sebarang kemungkinan dan ancaman” kata PTD.

    Majlis diakhiri dengan acara bergambar sebelum diteruskan jamuan makan.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Huzaimi Sabri, Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan dan Asisten Panglima Pasukan Simpanan Tentera Darat, Mej Jen Datuk Abdul Rahman A.Wahab.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • Gunakan Pengetahuan dan Pengalaman Bimbing Anggota Bawahan – PTD

    Gunakan Pengetahuan dan Pengalaman Bimbing Anggota Bawahan – PTD

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan mengucapkan tahniah atas kenaikan pangkat anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) berpangkat Pegawai Waran Dua (PW II) serta mengharapkan mereka dapat menggunakan pengetahuan dan pengalaman untuk membimbing serta memimpin anggota bawahan memahami tugas dan peranan masing-masing.

    “Sebagai tulang belakang Tentera Darat, saudara dan saudari hendaklah melengkapkan diri dengan pengetahuan, kemahiran serta kebolehan agar dapat melaksanakan tugas dalam jawatan disandang disamping memimpin dan menguruskan anggota bawahan”.

    “Dalam mengharungi situasi semasa dan cabaran generasi muda yang celik IT serta pengaruh media sosial, saudara saudari tidak seharusnya membataskan pengetahuan dalam ruang lingkup ketenteraan, tetapi juga pengetahuan lain yang memberi nilai tambah kepada perkembangan diri dan anggota bawahan. Dengan ini ianya membolehkan saudara saudari menjadi pemimpin yang versatil dan lebih baik,” ucap PTD.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan semasa Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Waran Satu (PW I) Tentera Darat di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) pada 26 Okt 2023.

    Tegas PTD lagi, sebagai PW I tunjukkanlah tauladan yang baik, terapkan nilai integriti dan keikhlasan dalam melaksankan tugas kepada anggota yang dipimpin kerana anda merupakan cerminan yang menjadi ikutan mereka.

    Terdahulu PTD menyempurnakan acara pemakaian pangkat PW I kepada 59 anggota LLP berpangkat PW II dari pelbagai Kor dan Rejimen TD.

    Majlis diakhiri dengan acara bergambar dan jamuan makan.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Huzaimi Sabri, Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan dan Pegawai Kanan TD.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • Panah Jaguh 2023 Uji Kesiagaan GAPU

    Panah Jaguh 2023 Uji Kesiagaan GAPU

    JOHOR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan telah mengadakan lawatan ke Eksesais Panah Jaguh (EPJ) Tahun 2023 di Lapang Sasar Bumi ke Udara (LSBU), Tanjung Logok pada 6 Okt 2023.

    Eks ini merupakan latihan tembakan tahunan Sistem Pertahanan Artileri Pertahanan Udara bagi menguji tahap kesiagaan pasukan Grup Artileri Pertahanan Udara (GAPU) melibatkan elemen Tentera Darat seperti Batalion Ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (10 RAMD), Batalion Ke-12 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) (12 RAMD (Mek)), Batalion Ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja (24 RAMD) dan Rejimen Kedua Kor Armor Diraja (2 KAD) serta Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

    Antara sistem persenjataan yang diuji adalah Meriam 35mm Oerlikon dan Misil Starstreak.

    Simulasi serangan udara ini merupakan tindakan bagi menghindar serangan udara musuh dan telah dipertontonkan dengan menggunakan pesawat kawalan jauh sebagai sasaran.

    Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Huzaimi Sabri, Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Dato’ Zulhelmy Ithnain (TLDM), Ketua Staf Markas Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan dan Ketua Staf Markas Pemerintahan Operasi Udara, Mej Jen Dato’ Hj Shamsudin Kassim TUDM.

    Gambar: Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir