Bersama PemimpinSemasa

Jambatan Compact Bailey 200 Hampir Sedia Digunakan

PAHANG: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain mengiringi Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melakukan lawatan ke kawasan pemasangan jambatan Compact Bailey 200 oleh 91 Rejimen Bantuan Rejimen Askar Jurutera Diraja (91 Rej Bantuan RAJD) di Kampung Lechar, Ulu Dong, Raub pada 7 Jan 2020.

Pembinaan jambatan sepanjang 24 meter di kawasan tersebut melibatkan dua pegawai dan 31 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) adalah bertujuan untuk menghubungkan jalan diantara Perumahan Makmur Kampung Lechar, Pekan Ulu Dong dan Bandar Raub yang telah terjejas akibat hakisan tanah disebabkan arus deras Sungai Dong pada 3 Jan yang lalu.

Justeru, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah memohon bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi melaksanakan pemasangan jambatan di kawasan tersebut bagi memudahkan pergerakan penduduk.

Jambatan Compact Bailey yang digerakkan dari Kem Batu Kentomen itu adalah merupakan peralatan yang dibekalkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada Tentera Darat (TD) yang mana jambatan ini berupaya dipasang secara sementara ataupun kekal terutamanya bagi menghubungkan jalan yang terputus.

Dalam sidang media sempena lawatan ini, Menteri Kanan Pertahanan menegaskan bahawa ATM dan TD akan sentiasa bersiap sedia dan memantau perkembangan banjir yang melanda seluruh negara.

“ATM telah bersiap sedia untuk mengatur gerakkan sebanyak 10 buah Jambatan Bailey dalam memberi bantuan terhadap keperluan semasa terutama kepada kawasan terjejas banjir yang memerlukan pembinaan jambatan di seluruh Malaysia”, menurut beliau.

Disamping itu, Menteri Kanan Pertahanan turut meluangkan masa melawat penduduk disekitar kawasan yang terjejas akibat banjir serta memberikan sumbangan untuk meringankan beban mangsa banjir.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Pemangku Panglima Medan Barat Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Hj Ya’cob Hj Samiran, Ketua Jurutera TD, Mej Jen Dato Pahlawan Ir Hj Chapiti Hj Redzwan serta Pegawai-Pegawai Kanan TD.


Gambar: Saifun Hakimi Zainon

Back to top button