Bersama PemimpinMK TDPenghargaan

Majlis Santapan Beradat Sempena Hari ATM Ke-88 Bersama SPB Yang di-Pertuan Agong

KUALA LUMPUR: Kebawah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda (SPB) Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta’Billah bersama Kebawah DYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hjh Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan mencemar duli ke Majlis Santapan Beradat Menjunjung Kasih SPB Yang di-Pertuan Agong XVI sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-88 di Wisma Perwira ATM pada 17 Dis 2021.

Terdahulu, keberangkatan tiba KDYMM disambut oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM dan isteri, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Hjh Tengku Muhaini Almarhum Sultan Hj Ahmad Shah.

Majlis Santapan Beradat ini merupakan acara rejimental yang diadakan pada setiap tahun bertujuan untuk memuliakan baginda selaku Pemerintah Tertingi ATM dan bersempena Hari ATM Ke-88.

Namun kali terakhir majlis rejimental ini diadakan pada tahun 2019 manakala tahun 2020 tidak dapat dilaksanakan berikutan negara mengalami pandemik COVID-19.

Berdasarkan kelonggaran dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), majlis ini dapat dilaksanakan mengikut ketetapan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi acara rasmi yang ditetapkan oleh kerajaan.

Seramai 500 pegawai dari ketiga-tiga cabang Perkhidmatan ATM hadir dalam majlis tersebut dan turut membabitkan perarakan masuk lima Panji-Panji SBP iaitu Panji Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD), Kor Armor Diraja (KAD), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal Hj Abdul Samad TUDM dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

Gambar: Muhammad Shafirin Mohd Radzi

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button