Latihan

Eksesais SEMANGAT BERSATU Lambang Kesepaduan Dua Negara

JOHOR: Seramai 41 pegawai dan 441 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) daripada pasukan naungan Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Bgd) dan sembilan pegawai serta 85 anggota LLP daripada 1st Batalion Singapore Guard terlibat dalam Perbarisan Penutup Eksesais SEMANGAT BERSATU Siri 26/2022 di Felda Ulu Tebrau pada 24 Mac 2022.

Majlis penutup eksesais disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain bersama Panglima Tentera Darat Singapura (PTDS), Brig Jen David Neo Chin Wee.

Eksesais ini merupakan latihan bilateral di antara Tentera Darat (TD) dengan Tentera Darat Singapura (TDS) yang dilaksanakan pada setiap tahun secara bergilir semenjak tahun 1990.

Penglibatan peserta Eksesais SEMANGAT BERSATU pada tahun ini terdiri daripada Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja (6 RRD), Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD), 10 RAMD, Rejimen 501 Askar Wataniah (Rej 501 AW) dan Trup Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (Trup 3 Div).

Konsep eksesais ini adalah menjurus kepada Operasi Ofensif dalam peperangan konvensional melibatkan dua fasa iaitu gerak mara dan serangan bermula pada 18 Mac 2022.

Semasa penutup eksesais, senario serangan terhadap kubu pertahanan musuh dilaksanakan di dalam fasa ofensif bertujuan bagi menguji tahap kecekapan dan pengetahuan setiap peserta.

Eksesais ini telah berlangsung selama seminggu dan mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 di mana pegawai dan anggota dari kedua-dua negara menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari sebelum pelaksanaan eksesais bagi memastikan peserta berada dalam keadaan sihat dan selamat.

Terdahulu ketika menyampaikan ucapan penutup, PTD mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada PTDS, Brig Jen David Neo Chin Wee di atas pelantikan beliau sebagai PTDS pada 10 Mac 2022 dan kesudian beliau hadir dalam penutup latihan kali ini.

“Melalui latihan ini, persahabatan dan persaudaraan kita yang terjalin dapat diperkukuhkan lagi, saya percaya bahawa bidang ilmu yang luas telah disampaikan dan dibudayakan melalui perkongsian maklumat dan pengalaman semasa pelaksanaan latihan ini.

“Latihan ini sememangnya menyediakan pendedahan dan pengajaran yang tidak ternilai, termasuk peningkatan kerjasama antara TD dan TDS”, jelasnya.

Tambah PTD lagi, latihan ini bertujuan menguji fungsi pasukan infantri dengan penglibatan pelbagai elemen Tempur dan Bantuan Tempur dalam menangani sebarang ancaman di samping mencapai kerjasama bilateral sesama negara.

Majlis penutup eksesais telah disempurnakan oleh PTDS dengan acara penanggalan Toha kemudian diikuti acara pertukaran cenderahati antara PTD dan PTDS.

Melalui kerjasama hubungan ketenteraan ini dapat meningkatkan kerjasama di antara Malaysia dan Singapura serta dapat berkongsi pengetahuan, teknologi peralatan dan kepakaran.

Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Latihan Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Nazari Abd Hadi dan Panglima 7 Bgd, Brig Jen Mohamad Suria Mohamad Saad.

Gambar: LKpl Zulkarnain Maxmillen Abdullah dan Pbt Mohammad Fadzil Akirul

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button