Tag: Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM

  • Warga Kementerian Pertahanan Terima MENHAN Baharu

    Warga Kementerian Pertahanan Terima MENHAN Baharu

    KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein secara rasmi memulakan tugas selaku pucuk pimpinan Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) pada 1 Sep 2021.

    Sebaik tiba di Dataran Wisma Pertahanan pada jam 0900, Menteri Kanan Pertahanan disambut oleh Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang turut memulakan tugas sebagai Timbalan Menteri Pertahanan pada 1 Sep 2021.

    Beliau seterusnya menerima tabik hormat dari Kawalan Kehormatan Utama (KKU) Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) yang berkekuatan seramai tiga pegawai dan 61 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Mej Abdul Hafizi Abdul Halim.

    Selesai acara KKU, beliau diperkenalkan kepada kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan KEMENTAH sebelum melangkah masuk ke pejabatnya.

    Terdahulu, pelantikan tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri pada 27 Ogos 2021 yang lalu, disusuli dengan Istiadat Angkat Sumpah dan Jawatan yang disempurnakan di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos 21.

    Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Muez Abdul Aziz, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM, Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany TLDM dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal Hj Abdul Samad TUDM.

    Gambar: SSjn Shamsul Zaidi Zolkoffly, LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime dan Saifun Hakimi Zainon

  • NGO Hargai Pengorbanan Veteran ATM

    NGO Hargai Pengorbanan Veteran ATM

    SELANGOR: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Pengasas The Mines Resort and Country Heights Holdings, Tan Sri Lee Kim Yew menerusi Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan Bantu-Bantu Malaysia diatas sumbangan 10,000 kotak bekalan makanan kepada Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

    “Kementerian Pertahanan amat berbesar hati dengan kerjasama yang dizahirkan oleh Tan Sri Lee Kim Yew serta turut mengalu-alukan kerjasama dan sumbangan daripada badan korporat yang lain, Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO), pihak swasta, individu dan lain-lain yang ingin menyumbang.

    “Pengagihan sumbangan kotak makanan kepada golongan Veteran ATM dan keluarga yang terkesan ke lokasi diseluruh negara akan dilakukan oleh pejabat Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) cawangan negeri dengan kerjasama pihak Persatuan-persatuan Veteran ATM, NGO dan komuniti setempat.

    “Bantuan bekalan makanan menerusi Inisiatif Gerobok Rezeki Veteran ATM akan memberi manfaat kepada 10,000 keluarga Veteran ATM dan balu Veteran ATM yang terjejas pendapatan kesan pandemik COVID-19,” jelas PAT.

    Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Program Perasmian Penyerahan Kotak Makanan Program Bantu-Bantu Malaysia kepada Kementerian Pertahanan sempena Inisiatif Gerobok Rezeki Veteran ATM Tahun 2021 di Seri Kembangan pada 27 Ogos 2021.

    Inisiatif Gerobok Rezeki ATM merupakan kesinambungan daripada Program MINDEF PRIHATIN yang dilancarkan pada 19 Jul 2021 dimana Kementerian Pertahanan sentiasa prihatin serta meletakkan keutamaan terhadap kebajikan dan kesejahteraan Veteran ATM dalam membantu meringankan beban warga pertahanan termasuk Veteran ATM dan keluarga mereka yang terjejas.

    Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz dan Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain.

     

  • Kutipan Tabung Pahlawan Hargai Pengorbanan Pahlawan Negara

    Kutipan Tabung Pahlawan Hargai Pengorbanan Pahlawan Negara

    KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (KSU), Dato’ Sri Muez Abd Aziz merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua persatuan veteran yang terlibat dalam melaksanakan Program Kutipan Tabung Pahlawan.

    “Program Kutipan Tabung Pahlawan yang dilaksanakan oleh 83 persatuan veteran telah berjaya mengumpul dana kutipan persatuan berjumlah RM 3,189,326.83 manakala Program Kesedaran Bersama Masyarakat berjumlah RM 616,000.00 dan kejayaan ini menunjukkan keprihatinan serta pengiktirafan oleh warganegara Malaysia ke atas pahlawan negara khususnya warga veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    “Dana kutipan Tabung Pahlawan 2020 termasuk insentif Program Kesedaran Bersama Masyarakat telah diagihkan kepada semua persatuan veteran pada 24 Apr 2021 dan Yayasan Veteran ATM berjumlah RM3,335,053.31 serta hari ini pemberian Dana Matching Grant berjumlah RM RM3,063,836.35 diagihkan sebagai nilai tambah kepada Persatuan Veteran dalam menjayakan Program Kutipan Tabung Pahlawan,” jelas KSU.

    Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Program Penyerahan Dana Kempen Tabung Pahlawan 2020 (Matching Grant) kepada Persatuan Veteran ATM di Wisma Perwira ATM pada 25 Ogos 2021.

    Agihan dana KTP yang diterima oleh persatuan-persatuan akan dimanfaatkan bagi tujuan kebajikan Veteran ATM serta tanggungannya yang berkelayakan meliputi Veteran Kelainan Upaya (VKU), bantuan khas kepada balu dan anak-anak dalam kategori OKU, veteran yang terlibat musibah dan bencana alam, bantuan bagi veteran dan balu veteran dalam keadaan daif serta bantuan kebajikan lain kepada veteran-veteran ATM yang memerlukan di seluruh negara.

    KSU juga berharap agar persatuan veteran dapat menjalankan tugas secara profesional, berintegriti dan bergiat aktif dalam berpersatuan serta sentiasa memberikan kerjasama kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM).

    Selain itu, beliau juga menyarankan supaya Persatuan-Persatuan Veteran ATM menggunakan dana daripada dana Kutipan Tabung Pahlawan ini sewajarnya kepada para Veteran ATM serta tanggungan yang memerlukan dan pemantauan juga akan dilaksanakan oleh Kementerian dalam memastikan sumber Kempen Tabung Pahlawan mencapai objektifnya.

    Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany TLDM dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal Hj Abdul Samad TUDM.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • TPA M-15 Komited Laksana Tugas Keamanan

    TPA M-15 Komited Laksana Tugas Keamanan

    KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM mewakili seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pihak kerajaan Malaysia mengucapkan ‘Selamat Kembali ke Tanah Air’ kepada warga Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao 15 (TPA M-15) yang telah berjaya menamatkan misi keamanan di bumi Mindanao, Filipina.

    Beliau berharap dua Pegawai Tadbir Diplomatik daripada TPA M-15 yang masih kekal di sana bagi meneruskan misi bersama TPA M-16 yang telah mengambil alih tugas sejak 10 Apr yang lalu diberi kekuatan, kesabaran dan perlindungan oleh Ilahi sepanjang menjalankan misi yang murni ini.

    “Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran serta ancaman akibat pergolakan, mereka terus komited melaksanakan tugas demi memastikan ketenteraman awam terpelihara melalui pemantauan gencatan senjata yang telah dimeterai oleh kedua-dua pihak agar ianya dihormati dan dipatuhi sebilang masa.

    “Dalam masa yang sama, TPA M-15 juga berjaya melaksanakan beberapa inisiatif bagi membantu pembangunan sosio-ekonomi masyarakat Mindanao sekaligus meningkatkan lagi imej Malaysia sebagai sebuah negara pendamai yang berkaliber dan boleh dipercayai,” jelas PAT.

    PAT berkata demikian semasa ucapan beliau dalam Majlis Pembubaran TPA M-15 di Dewan Perkasa Wisma Perwira pada 23 Apr 2021.

    Di kesempatan itu, beliau mengucapkan syabas kepada Ketua Misi TPA M-15 iaitu Mej Jen Dato’ Muhammad Anwar Abdullah yang telah berjaya memimpin Tim tersebut yang berkekuatan seramai 15 pegawai dan seorang anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dengan baik dan selamat sepanjang penugasan di Mindanao.

    Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar Negeri, ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan lain-lain pihak yang telah meletakkan sepenuh komitmen demi menentukan sokongan, kerjasama dan bantuan yang berterusan sepanjang TPA M-15 melaksanakan misi mereka.

    Dalam majlis ini, PAT telah menyempurnakan pemakaian Lencana Combat Kagitingan yang dianugerahkan oleh Angkatan Tentera Filipina kepada TPA M-15 atas keberanian dalam melaksanakan misi di Mindanao.

    TPA M ditubuhkan bagi melaksanakan tugas-tugas berpandukan kepada Term of Reference (TOR) bagi memantau perjanjian gencatan senjata yang melibatkan pihak Government of Philippines (GPH) dan Moro Islamic Liberation Front (MILF).

    Sepanjang penugasan, TPA M-15 telah melaksanakan 959 aktiviti merangkumi 188 Monitoring Patrol, 157 pertemuan bersama Pemegang Taruh , tiga Joint Field Verification and Visitation, 73 Peace Advocacies, 100 aktiviti Jiwa Murni termasuk Medical Outreach dan 198 Mesyuarat  dan taklimat yang melibatkan proses-proses perjanjian damai termasuk melaksanakan GPH-Milf Tripartite Meeting yang telah tertangguh hampir dua tahun.

    Turut hadir, Panglima Angkatan Bersama, Lt Jen Dato’ Hj Yazid Hj Arshad TUDM,  Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Ahmad  Faris Ahmad, pegawai kanan ATM, PDRM dan pegawai awam Kementerian Pertahanan.

    Gambar: Pbt Mohammad Shukri Suhaimi

  • Sorotan Sejarah Jen Tan Sri (Dr) Borhan Hj Ahmad (B) Didokumentasikan

    Sorotan Sejarah Jen Tan Sri (Dr) Borhan Hj Ahmad (B) Didokumentasikan

    KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM menyempurnakan Pelancaran Buku In Pursuit of Quality Soldiering: The Story of the Man Behind The Malaysian Green Beret yang merupakan hasil tulisan mantan Panglima Angkatan Tentera Ke-12, Jen Tan Sri (Dr) Borhan Hj Ahmad (B) di Dewan Perkasa, Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 8 Apr 2021.

    Buku hasil terbitan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malayisa (ATM) ini berkisarkan fakta sebenar tentang kerjaya dan pengalaman penulis sepanjang berkhidmat di dalam Tentera Darat (TD) pada tahun 1953 sehingga 1995.

    Selain itu, kandungan buku ini juga mencoretkan tahap-tahap penubuhan Gerup Gerak Khas (GGK) serta operasi-operasi khas yang dilaksanakan oleh unit GGK semasa menentang Komunis dan musuh-musuh negara yang tidak pernah diceritakan bagi menyuntik semangat patriotisme dan cintakan tanah air dalam kalangan generasi masa kini.

    Pada masa yang sama, perkongsian pelbagai cabaran dan pengalaman penulis dapat dijadikan rujukan serta diteladani oleh pemimpin masa kini dan generasi akan datang dalam memastikan keamanan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara daripada diceroboh atau ditakluki pihak luar.

    Mengimbas keperibadian Jen Tan Sri (Dr) Borhan Hj Ahmad (B), beliau dilahirkan pada 12 Dis 1939 di Pasir Mas, Kelantan dan menjalani latihan sebagai Pegawai Kadet di Cawangan Kadet, Maktab Tentera Persekutuan pada tahun 1958 serta telah ditauliahkan sebagai Lt M pada 13 Dis 1959 dan unit pertama adalah Batalion Keempat Rejimen Askar Melayu Diraja (4 RAMD).

    Sepanjang kerjaya dalam perkhidmatan beliau telah menghadiri pelbagai kursus kepakaran dan kerjaya di dalam dan luar negara, antaranya ialah Special Forces Officer Course, United States (1966), Small Scale Amphibious Operations, Australia (1967) serta National Defence College, India (1986).

    Beliau juga telah menyandang beberapa jawatan penting dalam cabang pemerintah, staf dan kejurulatihan iaitu Pegawai Memerintah Rejimen Gerak Khas, Komandan Pusat Latihan Peperangan Khas ATM, Ketua Staf 4 Div, Panglima 21 GGK, Panglima Tentera Darat Ke-13 dan menjadi satu-satunya Komando yang menjawat jawatan PAT.

    Sementara itu, di dalam ucapan Jen Tan Sri (Dr) Borhan Hj Ahmad (B), beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap segala usaha yang telah dilaksanakan dalam memastikan coretan pengalaman serta perkara yang telah dilalui beliau sepanjang perkhidmatan dapat dibukukan sebagai rujukan kepada generasi baharu.

    Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain, Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Dato’ Abdul Rahman Hj Ayob, Ketua Staf Markas ATM, Lt Jen Datuk Mohd Zakaria Hj Yadi, Naib Canselor UPNM, Lt Jen Dato’ Hasagaya Abdullah dan Mantan PTD Ketujuh, Jen Tan Sri Dato’ Mohd Ghazali Md Seth.

    Gambar: Pbt Mohammad Shukri Suhaimi

  • PAT Di Anugerah Beret Merun

    PAT Di Anugerah Beret Merun

    MELAKA: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM di anugerahkan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat 10 Briged (Para) disempurnakan Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain di Dataran Parawood Batalion Kelapan Rejimen Renjer Diraja (8 RRD) (Para) pada 29 Mac 2021.

    Ketibaan PAT disambut oleh Panglima 10 Bgd (Para), Brig Jen Khairul Azmizal Ahmad Natal dan di bawa ke Dataran Parawood 8 RRD (Para) bagi menyaksikan Demonstrasi Keupayaan Tempur ketumbukan 10 Bgd (Para).

    Demonstrasi dimulakan aksi Penerjunan Bebas menggunakan Military Tactical Glider dari ketinggian lima ribu kaki yang digugurkan dari Pesawat EC 725 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan diteruskan dengan pertunjukan Tempur Tanpa Senjata (TTS), Tactical Combat And Casualty Care (TCCC), Renang Tempur, Latihan Menara, Sniper Insertion, Tembakan Artileri Medan dan Pertahanan Udara serta Serangan Seksyen sebelum diakhiri dengan Human Wave ketumbukan Leading Para Battle Group atau LPBG.

    Acara kemudiannya diteruskan dengan penganugerahan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat 10 Bgd (Para) dan diakhiri dengan Persembahan Para War Dance melibatkan 10 pegawai dan 1105 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) 10 Bgd (Para) diketuai oleh Lt Kol Norazlan Abu.

    Tarian Perang ini melambangkan keberanian seorang pahlawan bagi memberi penghormatan kepada PAT selama menerajui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan penganugerahan ini merupakan pengiktirafan ke atas sifat kepimpinan, keterampilan, kewibawaan dan kecemerlangan Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM sebagai PAT.

    Terdahulu dari itu, PAT dibawa ke Wisma Perwira 8 RRD (Para) bagi mendengar taklimat perkara G, A dan Q yang disampaikan oleh Panglima 10 Bgd (Para) serta melihat keupayaan aturgerak 10 Bgd (Para) sebagai Pasukan Atur Cepat (PAC) di samping mengetahui perkembangan terkini pembangunan ketumbukan 10 Bgd (Para) dalam semua perkara terutama aspek kesiagaan.

    Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan, Mej Jen Rashidin Hashimi Ab Rashid dan Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Tentera Darat, Brig Jen Mohd Adzhar Abd Latif.

    Gambar: SSjn Shamsul Zaidi Zolkoffly dan Pbt Mohammad Fadzil Akirul