Tag: Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain

  • Iftar Warga 21 GGK Bersama PTD

    Iftar Warga 21 GGK Bersama PTD

    MELAKA: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain menyeru kepada semua warga 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) berusaha meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan memperbanyakkan amal ibadah serta hulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan di sepanjang bulan Ramadhan ini.

    “Selaku benteng utama pertahanan negara, kita tidak seharusnya jadikan puasa sebagai alasan untuk mengurangkan tumpuan terhadap tugas dan tanggungjawab, sebaliknya jadikan bulan yang mulia ini sebagai medan latihan untuk pembentukan keperibadian yang unggul.

    “Ibadah puasa akan menjadikan kita seorang yang taat, penyabar, pemurah, sedia berkorban, prihatin terhadap kesusahan dan kekurangan orang lain selain melatih sifat gigih, tekun serta melahirkan nilai kejujuran dan keikhlasan dalam diri kita,” jelas PTD.

    PTD berkata demikian semasa ucapan beliau dalam Majlis Berbuka Puasa bersama warga 21 GGK di Kem Sungai Udang pada 30 Apr 2021.

    Selain itu, beliau turut menasihati warga 21 GGK agar menjaga kesihatan dan keselamatan diri dan keluarga masing-masing khususnya dari ancaman COVID-19.

    Sebelum mengakhiri ucapan, PTD merakamkan ucapan terima kasih kepada Panglima dan seluruh warga 21 GGK di atas penganjuran majlis ini dan berharap warga 21 GGK dikurniakan kekuatan jasmani serta keteguhan rohani agar berupaya menyokong usaha pucuk pimpinan.

    Terdahulu ketibaan PTD disambut oleh Panglima 21 GGK, Mej Jen Datuk Jamaluddin Jambi bagi melaksanakan Latihan Menembak Pistol Pegawai Kanan Rej 21 GGK di Lapang Sasar Tempur Rej 21 Komando.

    Seterusnya, PTD bersama-sama warga 21 GGK berbuka puasa lalu menunaikan Solat Maghrib dan Isyak serta disusuli dengan Solat Sunat Tarawih sebelum menyempurnakan penyampaian sumbangan Tabung Musaadah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada 15 anggota 21 GGK yang memerlukan bagi meringankan beban kepada penerima.

    Pelaksanaan majlis ini selaras dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga yang mana focus pucuk pimpinan TD adalah memperlengkapkan keperluan kebajikan dan kesejahteraan warga serta keluarga dalam bentuk saluran bantuan berupa kewangan atau keperluan barangan harian yang diharapkan dapat meningkatkan kualiti kehidupan segenap lapisan warga TD

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman dan Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Hafizuddeain Jantan.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul

  • Kenaikan Pangkat Hadir Bersama Tanggungjawab Lebih Besar – PTD

    Kenaikan Pangkat Hadir Bersama Tanggungjawab Lebih Besar – PTD

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain menjelaskan mengingatkan bahawa kenaikan pangkat ini hadir bersama tanggungjawab yang jauh lebih besar dan kegagalan memikul amanah bukan hanya membawa implikasi buruk terhadap diri sendiri tetapi juga kepada organisasi Tentera Darat (TD).

    “Anugerah pangkat ini sebagai dorongan untuk mereka yang dinaikkan pangkat memberi perkhidmatan yang lebih cemerlang dalam jawatan baharu yang akan disandang kelak yang mana anda semua perlu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tugas serta laksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab, taat setia, jujur dan berintegriti.

    “Jadikan nilai-nilai murni sebagai pegangan yang akan menjamin kecemerlangan kerjaya saudara dan saudari pada masa hadapan,” jelas PTD ketika ucapannya dalam Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan, Pegawai Senarai Tugas Khas (STK) dan Pegawai Kadet Luar Negara Tentera Darat (TD) di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira TD pada 28 Apr 2021.

    Tambahnya lagi, apa yang diperolehi hari ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan daripada pasangan dan ahli keluarga yang turut sama berkorban masa, tenaga serta perhatian demi memastikan saudara dan saudari dapat memberi sepenuh tumpuan terhadap tugas.

    “Suka saya nasihatkan agar detik kejayaan ini dirai bersama  yang tersayang kerana mereka berhak merasa bangga dengan kejayaan saudara dan saudari,” ujarnya.

    Terdahulu dari itu. PTD menyempurnakan acara pemakaian pangkat kepada 45 pegawai kanan TD dimulai dengan Mej Jen Dato’ Hashim Aman Shah dan Mej Jen Dato’ (Dr) Zulkeffeli Mat Jusoh yang dinaikkan pangkat Lt Jen.

    Selain itu dua pegawai kanan dinaikkan pangkat Mej Jen iaitu Brig Jen Dato’ (Dr) Mohammad Amirrudin Hamdan dan Brig Jen Hamzah Ali manakala dua pegawai kanan dinaikkan pangkat Brig Jen, tiga pegawai kanan dinaikkan pangkat Kol, 35 pegawai kanan dinaikkan pangkat Lt Kol, seorang pegawai dinaikkan pangkat Mej, 10 pegawai STK dinaikkan pangkat Lt M dan empat pegawai Kadet Luar Negara dinaikkan pangkat Lt M.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman,  Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Lt Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Lt Jen Dato’ Pahlawan (Dr) Md Amin Muslan.

    Gambar: SSjn Shamsul Zaidi Zolkoffly dan Sjn Saiful Fazley Rusli

     

  • Program Pengagihan Bubur Lambuk Peringkat Wisma Pertahanan

    Program Pengagihan Bubur Lambuk Peringkat Wisma Pertahanan

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain mengiringi Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob bagi menyempurnakan Program Pengagihan Bubur Lambuk yang diadakan di Wisma Pertahanan pada 22 Apr 2021.

    Pengagihan bubur lambuk ini diagihkan kepada warga Wisma Pertahanan yang terdiri daripada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan penjawat awam yang berkhidmat di Wisma Pertahanan.

    Walaubagaimanapun, program ini dilaksanakan dengan mengikut norma baharu dengan pematuhan Standard Operasi Prosuder (SOP) sebagaimana yang telah digariskan kerajaan.

    Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz dan Ketua Staf Markas ATM, Lt Jen Datuk Mohd Zakaria Hj Yadi.

  • Patuhi SOP Elak Jangkitan COVID-19 Meningkat – PTD

    Patuhi SOP Elak Jangkitan COVID-19 Meningkat – PTD

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain menekankan agar semua peringkat pegawai dan anggota Tentera Darat (TD) agar sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

    “Kesedaran dari semua pihak amatlah perlu bagi mengurangkan kadar kebolehjangkitan COVID-19 dari terus meningkat dan kita perlu sentiasa berdoa agar penularan wabak ini akan bertambah baik.

    “Saya juga mendoakan agar seluruh warga TD dikurniakan kesihatan yang baik dan dapat menunaikan ibadah puasa dibulan Ramadan ini dengan lebih sempurna serta disyukuri,” jelas PTD.

    PTD berkata demikian ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa Markas Tentera Darat (MKTD) peringkat TD bertempat di Masjid Angkatan Tentera Kem Perdana Sg Besi pada 16 Apr 2021.

    Terdahulu ketibaan PTD dan isteri diperkarangan masjid disambut oleh Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman bersama Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.

    Majlis dimulakan dengan berbuka puasa dan selepas itu PTD bersama warga MKTD menunaikan Solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah.

    Selesai solat Terawih berjemaah, majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan Mock Cheque Ihya’ Ramadan oleh PTD kepada enam formasi iaitu Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat, Markas Tentera Darat, Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat, Markas Pemerintahan Logistik Tentera Darat, Markas Gerup Gerak Khas dan Markas 10 Briged (Para) yang diperuntukkan sebanyak RM105,500.00 bagi sumbangan kepada masjid dan surau di bawah TD.

    Seterusnya, PTD menyampaikan sumbangan kepada penerima dari kalangan asnaf, anak yatim serta balu anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) iaitu sumbangan Bantuan Tabung Zakat ATM kepada kepada 10 orang penerima, terdiri daripada enam orang asnaf dari kalangan warga TD dan empat orang anak-anak yatim dari Sekolah Tahfiz Anak Yatim (STAY) ATM dimana setiap penerima menerima wang tunai berjumlah RM200.00.

    Di samping itu, sumbangan Sinar Kasih Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) kepada dua orang balu anggota TD yang meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya iaitu Puan Nur Farrah Adillah Meor Zaini balu kepada Allahyarham LKpl Mohamad Fazril Amiruddin dan Puan Liana Jamil balu kepada Allahyarham Kpl Sayidin Luat, yang menerima sumbangan wang tunai RM200.00 selama empat bulan bagi setiap orang anak.

    Selain itu, 15 orang anggota TD turut menerima Bantuan Musa’adah ATM berjumlah RM100.00 dan barangan keperluan asas bernilai RM100.00 di mana sumbangan ini disalurkan bertujuan membantu mengurangkan bebanan yang ditanggung.

    Turut hadir, Asisten Ketua Staf Perisikan, Lt Jen Dato’ Rezil Shahidin, Ketua Staf Markas Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Hj Subari Hj Tomo dan Panglima 10 Bgd (Para), Brig Jen Khairul Azmizal Ahmad Natal.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul

  • Kenderaan OP BENTENG Tingkat Mutu Kesiagaan TD

    Kenderaan OP BENTENG Tingkat Mutu Kesiagaan TD

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain telah melakukan Lawatan Pemeriksaan Motosikal Scrambler 300cc di 92 Depot Kenderaan Pusat (92 DKP) pada 15 Apr 2021.

    Sejurus ketibaan PTD, acara dimulakan dengan penyampaikan taklimat pengoperasian kenderaan oleh Pengarah Syarikat Global Mahawangsa Sdn Bhd, Datuk Cham Nong Aliap.

    Dalam pemeriksaan ini, terdapat sebanyak 378 unit Motosikal Scrambler 300cc yang diperolehi bagi kegunaan operasi dalam OP BENTENG.

    Seterusnya, majlis penyerahan kenderaan tersebut telah disempurnakan dengan penyerahan Replika Kunci Motosikal Kawasaki kepada PTD sebagai simbolik penyerahan Motosikal Scrambler tersebut kepada Tentera Darat (TD).

    Kenderaan tersebut bertujuan untuk membantu meningkatkan aspek mobiliti dalam penugasan OP BENTENG di sempadan negara sejajar dengan Tonggak Pertama Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Kelangsungan Misi dan Kesiagaan.

    Turut hadir, Panglima Logistik Tentera Darat, Mej Jen Muhammad Ariff Soo Abdullah dan Pegawai Kanan TD.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • RM6.4 Juta Bina RKAT PULADA

    RM6.4 Juta Bina RKAT PULADA

    JOHOR: Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peruntukan kira-kira RM 6.4 juta bagi tambahan pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA).

    “Saya juga akan meminta peruntukan kira-kira RM 2.2 juta untuk pembinaan pagar kem dan RM 1.7 juta bagi menaiktaraf penginapan penuntut kursus serta membaikpulih atap masjid di PULADA yang akan dimasukkan ke dalam bajet Kementerian Pertahanan pada tahun hadapan,” jelas beliau.

    Menteri Pertahanan berkata demikian dalam ucapannya ketika melakukan Lawatan Kerja ke PULADA di Ulu Tiram pada 10 Apr 2021.

    Terdahulu ketibaan Menteri Pertahanan disambut oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain lalu beliau menerima tabik hormat serta memeriksa Kawalan Kuarter sebelum mendengar taklimat perkara G, A dan Q oleh Komandan PULADA.

    Seterusnya, Menteri Pertahanan dipertontonkan dengan pertunjukan sesi demonstrasi Kompetensi Anjing Perang dari PULADA dan beliau juga turut meluangkan masa meninjau kawasan projek pembangunan infrastruktur yang dirancang untuk dilaksanakan.

    Hal ini selari dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga dalam memastikan tempat tinggal anggota berada dalam keadaan selamat dan kondusif.

    Sementara itu, Menteri Pertahanan dalam satu sidang media meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat pengumuman lebih awal mengenai keputusan untuk membenarkan atau tidak pergerakan rentas negeri sempena perayaan Aidilftri bagi memudahkan orang ramai membuat persiapan dan mengurangkan kesesakan pembelian tiket pengangkutan awam.

    Program diakhiri dengan sesi menandatangani Buku Lawatan oleh Menteri Pertahanan.

    Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz dan Panglima Latihan Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Nazari Abd Hadi.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • Ihya Ramadhan Tingkatkan Kesedaran Warga ATM

    Ihya Ramadhan Tingkatkan Kesedaran Warga ATM

    KUALA LUMPUR: Seramai 450 pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hadir dalam Majlis Pelancaran Tabung Ihya’ Ramadhan dan Sumbangan Tabung Zakat ATM 1442H/2021 disempurnakan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM.

    “Dengan wujudnya tabung ini, peluang untuk kita memperbanyakkan amal jariah serta membelanjakan harta ke jalan Allah akan lebih dipermudahkan.

    “Hasil yang diperolehi daripada kutipan tabung Ihya’ Ramadhan tersebut akan digunakan untuk menampung perbelanjaan pelaksanaan aktiviti-aktiviti sepanjang bulan Ramadhan seperti penyediaan juadah berbuka puasa serta pelaksanaan program memasak dan mengagihkan bubur lambuk,” jelas PAT.

    PAT berkata demikian semasa ucapan beliau dalam menyempurnakan Majlis Pelancaran Tabung Ihya’ Ramadhan dan Sumbangan Tabung Zakat ATM 1442H/2021 di Masjid Khalid Al-Walid pada 9 Apr 2021.

    Acara tahunan yang dikoordinasikan oleh Jabatan Arah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) ini adalah bertujuan mengutip sumbangan derma dari individu dan syarikat bagi membiayai program dan aktiviti sepanjang Ramadan 1442H, menyemarakkan aktiviti syiar Islam di setiap masjid dan surau ATM khususnya pada bulan Ramadan dan meningkatkan kesedaran anggota untuk membuat persediaan fizikal dan spiritual bagi menyambut bulan Ramadan 1442H.

    Majlis diteruskan dengan Penyampaian Mock Cheque Ihya’ Ramadan serta Sumbangan Tabung Zakat (TZ) ATM untuk Masjid dan Surau ATM berjumlah RM183,500 yang disampaikan oleh PAT kepada Panglima Tentera Darat, (PTD) Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain mewakili Tentera Darat, Ketua Staf Markas ATM, Lt Jen Datuk Mohd Zakaria Hj Yadi mewakili Markas ATM, wakil-wakil perkhidmatan TLDM dan TUDM dan wakil Surau Al-Hidayah, Wisma Kementerian Pertahanan.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman dan Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • Sorotan Sejarah Jen Tan Sri (Dr) Borhan Hj Ahmad (B) Didokumentasikan

    Sorotan Sejarah Jen Tan Sri (Dr) Borhan Hj Ahmad (B) Didokumentasikan

    KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM menyempurnakan Pelancaran Buku In Pursuit of Quality Soldiering: The Story of the Man Behind The Malaysian Green Beret yang merupakan hasil tulisan mantan Panglima Angkatan Tentera Ke-12, Jen Tan Sri (Dr) Borhan Hj Ahmad (B) di Dewan Perkasa, Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 8 Apr 2021.

    Buku hasil terbitan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malayisa (ATM) ini berkisarkan fakta sebenar tentang kerjaya dan pengalaman penulis sepanjang berkhidmat di dalam Tentera Darat (TD) pada tahun 1953 sehingga 1995.

    Selain itu, kandungan buku ini juga mencoretkan tahap-tahap penubuhan Gerup Gerak Khas (GGK) serta operasi-operasi khas yang dilaksanakan oleh unit GGK semasa menentang Komunis dan musuh-musuh negara yang tidak pernah diceritakan bagi menyuntik semangat patriotisme dan cintakan tanah air dalam kalangan generasi masa kini.

    Pada masa yang sama, perkongsian pelbagai cabaran dan pengalaman penulis dapat dijadikan rujukan serta diteladani oleh pemimpin masa kini dan generasi akan datang dalam memastikan keamanan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara daripada diceroboh atau ditakluki pihak luar.

    Mengimbas keperibadian Jen Tan Sri (Dr) Borhan Hj Ahmad (B), beliau dilahirkan pada 12 Dis 1939 di Pasir Mas, Kelantan dan menjalani latihan sebagai Pegawai Kadet di Cawangan Kadet, Maktab Tentera Persekutuan pada tahun 1958 serta telah ditauliahkan sebagai Lt M pada 13 Dis 1959 dan unit pertama adalah Batalion Keempat Rejimen Askar Melayu Diraja (4 RAMD).

    Sepanjang kerjaya dalam perkhidmatan beliau telah menghadiri pelbagai kursus kepakaran dan kerjaya di dalam dan luar negara, antaranya ialah Special Forces Officer Course, United States (1966), Small Scale Amphibious Operations, Australia (1967) serta National Defence College, India (1986).

    Beliau juga telah menyandang beberapa jawatan penting dalam cabang pemerintah, staf dan kejurulatihan iaitu Pegawai Memerintah Rejimen Gerak Khas, Komandan Pusat Latihan Peperangan Khas ATM, Ketua Staf 4 Div, Panglima 21 GGK, Panglima Tentera Darat Ke-13 dan menjadi satu-satunya Komando yang menjawat jawatan PAT.

    Sementara itu, di dalam ucapan Jen Tan Sri (Dr) Borhan Hj Ahmad (B), beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap segala usaha yang telah dilaksanakan dalam memastikan coretan pengalaman serta perkara yang telah dilalui beliau sepanjang perkhidmatan dapat dibukukan sebagai rujukan kepada generasi baharu.

    Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain, Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Dato’ Abdul Rahman Hj Ayob, Ketua Staf Markas ATM, Lt Jen Datuk Mohd Zakaria Hj Yadi, Naib Canselor UPNM, Lt Jen Dato’ Hasagaya Abdullah dan Mantan PTD Ketujuh, Jen Tan Sri Dato’ Mohd Ghazali Md Seth.

    Gambar: Pbt Mohammad Shukri Suhaimi

  • Majlis Penutup Kursus Asas Sniper Siri Khas KDYMM Pemangku Raja Pahang

    Majlis Penutup Kursus Asas Sniper Siri Khas KDYMM Pemangku Raja Pahang

    MELAKA: Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Penutup Kursus Asas Sniper Siri Khas KDYMM Pemangku Raja Pahang di Lapang Sasar 600 Meter (m), Kem Terendak pada 7 Apr 2021.

    Terdahulu keberangkatan tiba KDYMM Pemangku Raja Pahang disambut oleh Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain.

    Kursus Asas Sniper ini telah dilaksanakan selama empat minggu bermula pada 15 Mac hingga 7 Apr 2021 di Pusat Latihan Peperangan Khusus Tentera Darat (PULPAK) dimana kursus ini dibahagikan kepada tiga fasa iaitu kelas teori di Kem Sungai Udang, latihan menembak di Lapang Sasar 600 M di Kem Terendak serta latihan dan ujian aplikasi medan di sekitar Lendu.

    Acara diteruskan dengan demonstrasi menembak senjata sniper oleh KDYMM iaitu menembak sasaran jenis Plate di pelbagai jarak, menembak belon di kedudukan 300 M dan menembak Popper Banner.

    Diakhir majlis, acara pemakaian lencana Sniper dan penyampaian Sijil Kursus Asas Sniper Kepada KDYMM yang disempurnakan oleh PTD.

    Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Asisten Ketua Staf Perisikan, Lt Jen Dato’ Rezil Shahidin, Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan TD, Mej Jen Rashidin Hashimi Ab Rashid, Panglima 10 Briged (Para), Brig Jen Khairul Azmizal Ahmad Natal.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul

  • Forum Perdana Ehwal Islam Tingkat Pengetahuan Agama Warga TD

    Forum Perdana Ehwal Islam Tingkat Pengetahuan Agama Warga TD

    MELAKA: Tentera Darat (TD) telah melaksanakan Program Bual Bicara Forum Perdana Ehwal Islam sempena Hari Tentera Darat (HTD) Ke-88 yang dipaparkan secara langsung melalui Facebook Live Streaming dari Dewan Serbaguna, Kem Terendak pada 5 Apr 2021.

    Program ini anjuran 10 Briged (Para) dengan kerjasama Bank Muamalat Malaysia dengan kehadiran 250 pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) hadir dalam forum ini yang mana ianya merupakan program tahunan TD.

    Tajuk forum pada kali ini ialah Sinergi Tentera Darat dan Rakyat: Tunjang Kedaulatan Negara yang dihoskan oleh Ketua Sel Dakwah, Jabatan Arah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Lt Kol Mohd Jihadi Ahmad dan Penceramah Jemputan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau di Jabatan Agama Islam Pahang, Dato’ Badli Shah Alauddin, Ikon YADIM, Ustaz Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang dan Ustaz Zulkifli Ahmad.

    Selain itu, forum ini membincangkan mengenai kepimpinan Rasulullah S.A.W dan sejarah ketenteraan Islam terdahulu yang boleh dijadikan panduan bagi warga TD mempertingkatkan kredibiliti dan keutuhan ketumbukan TD dalam mencapai misi dan visi yang telah ditetapkan oleh Panglima Tentera Darat (PTD) melalui Perintah Ulung PTD Ke-28 yang berlandaskan prinsip 3P dan 5T.

    Walaupun TD baharu berusia 88 tahun dan boleh dianggap muda jikalau dibandingkan dengan tentera negara lain yang mencecah ratusan tahun namun dari segi kedaulatan negara, haruslah dipertahankan demi kepentingan tanah air.

    Pada masa sama penceramah menekankan bahawa pengorbanan tentera perlu diiktiraf sewajarnya memandangkan tugas memelihara kedaulatan negara adalah amanah berat yang dipikul dan ia merupakan suatu tugas yang mulia di sisi agama.

    Forum ini juga memberi pengetahuan dan kesedaran mengenai peranan TD dan masyarakat dalam menjaga kedaulatan negara serta memberi pendidikan kepada masyarakat untuk menjalani kehidupan yang diredhai berdasarkan perspektif Islam.

    Penganjuran forum ini diadakan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

    Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mardzuki Muhammad, Panglima 10 Briged (Para), Brig Jen Khairul Azmizal Ahmad Natal dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Berhad, Khairul Kamarudin.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul dan Saifun Hakimi Zainon