Tag: Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain

  • Lawatan Kebajikan PTD Ke atas Anggota 2 Div

    Lawatan Kebajikan PTD Ke atas Anggota 2 Div

    PULAU PINANG: Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain bersama Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Darat, Puan Sri Datin Zainuriah Hj Mustapha melakukan Lawatan Kebajikan keatas anak anggota formasi 2 Div yang mengalami penyakit kritikal di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) pada 10 Dis 2020.

    Seramai tiga waris anggota disantuni terdiri dari anak kepada Kpl Mohamad Helmi Amran dari pasukan 2 RAMD, iaitu adik Muhammad Harith Aisy Qusyairi Mohd Helmi berusia enam tahun yang menghidapi penyakit Hypoxic Ischemic Encephalopathy sejak lahir.

    Penyakit tersebut berkaitan masalah saraf otak dan kini terlantar serta bergantung kepada alat bantuan pernafasan di mana perlu menjalani rawatan berkala di Hospital Pulau Pinang.

    Lawatan kebajikan diteruskan dengan PTD menyantuni Siti Hazirah Hassan isteri kepada Kpl Mohamad Fadli Mangsyor, anggota Markas Artileri Div 2 Div yang dikesan menghidap Kanser Limfoma Tahap dua pada bulan Jul 2020 dan telah menjalani enam siri rawatan kemoterapi sejak Ogos 2020 yang lalu.

    PTD mengakhiri Lawatan Kebajikan dengan menyantuni adik Nur Jannah Sabhi Azim, iaitu anak kepada Kpl Sabhi Azim Shuhaimi, anggota 2 RAMD.

    Adik Nur Jannah yang berusia dua tahun telah disahkan menghidapi penyakit Cornelia De Lange Syndrome iaitu sejenis penyakit berkaitan masalah genetik dan tumbesaran.

    Akibat pelbagai komplikasi kesihatan yang dialaminya, adik Nur Jannah kini mengalami masalah pendengaran serta rabun penglihatan dan sedang menunggu ketetapan dari pihak Hospital Pulau Pinang untuk melaksanakan pembedahan di perut bagi memasukkan Ryles Tube (saluran pemakanan).

    Acara diakhiri sumbangan PTD berbentuk hamper, barangan harian, sumbangan peribadi PTD dan sumbangan dari Tabung Kebajikan TD bagi meringankan beban yang ditanggung anggota.

    Turut hadir Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman, Panglima 2 Div, Mej Jen Datuk Arman Rumaizi Hj Ahmad, Asisten Ketua Staf Perisikan, Mej Jen Dato’ Rezil Shahidin, Panglima 6 Bgd, Brig Jen Dato’ Hj Mohd Halim Khalid, Pengarah Infantri, Brig Jen Dato’ Hj Muhammad Huzaimi Sabri, Pengerusi Rejimen Artileri Diraja, Brig Jen Dato’ Dr Hj Ibrahim Yasir dan Sarjan Mejar Rejimen Tentera Darat, Pegawai Waran I Mohd Pauzi Mohd Ali.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • 40 Tahun Mej Jen Dato’ Md Din Hj Abu Mengorbankan Jiwa dan Raga Dalam Tentera

    40 Tahun Mej Jen Dato’ Md Din Hj Abu Mengorbankan Jiwa dan Raga Dalam Tentera

    PERAK: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mantan Panglima 1 Div, Mej Jen Dato’ Md Din Hj Abu diatas khidmat bakti dengan mengorbankan seluruh jiwa dan raganya sepanjang 40 tahun perkhidmatan di dalam tentera.

    “Sesungguhnya persaraan Mej Jen Dato’ Md Din Hj Abu merupakan satu kehilangan besar kepada Rejimen Renjer Diraja (RRD) khususnya dan Tentera Darat (TD) amnya dimana beliau merupakan seorang pegawai kanan yang dikagumi oleh banyak pihak.

    “Ciri kepimpinan cemerlang yang dimilikinya serta perwatakan yang mudah dibawa berunding amat disenangi oleh semua peringkat anggota,” ujar PTD.

    Tambah PTD lagi, disebabkan sifat terpuji itu segala penugasan yang diamanahkan dapat dilaksanakan dengan cemerlang kerana Mej Jen Dato’ Md Din Hj Abu berjaya memupuk semangat kerjasama yang jitu di pasukan dan formasi dimana beliau berkhidmat.

    PTD berkata demikian semasa ucapan beliau dalam Perbarisan Penghargaan Mej Jen Dato’ Md Din Hj Abu di Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) pada 9 Dis 2020.

    Mengimbas keperibadian Mej Jen Dato’ Md Din Hj Abu, beliau mula menceburi bidang ketenteraan dengan mengikuti latihan Pegawai Kadet di Maktab Tentera Diraja pada 1 Jun 1980 dan pada 17 Jun 1982, beliau ditauliahkan ke dalam RRD dan memulakan perkhidmatannya sebagai Ketua Platun di 5 RRD.

    Antara jawatan penting yang pernah disandang ialah Pegawai Memerintah 2 RRD, Timbalan Pengarah Infantri di Markas Tentera Darat, Panglima 4 Bgd (Mek) dan jawatan terakhir sebagai Panglima 1 Div.

    Terdahulu dari itu, Mej Jen Dato’ Md Din Hj Abu menerima tabik hormat terakhir dari Kontinjen Perbarisan terdiri daripada sembilan pegawai dan 130 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Lt Kol Mazli Mohamed Sain @ Mohd Said dalam keadaan norma baharu mengikut Standard Operasi Prosedur (SOP) yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    Sementara itu, dalam ucapan Mantan Panglima 1 Div beliau menzahirkan rasa penuh kesyukuran dan ucapan penghargaan kepada PTD di atas kesudian beliau hadir bersama-sama pada perbarisan penghargaan persaraannya.

    “Walaupun dengan ancaman COVID-19, perkhidmatan tetap memberikan pengiktirafan sempena persaraan saya pada 27 Dis 2020 melalui perbarisan penghargaan dengan pengamalan norma baharu.

    “Penghormatan nostalgik ini akan sentiasa terpahat di fikiran saya serta acara penghargaan ini amat tinggi makna dan nilainya kepada saya,” katanya.

    Beliau menyeru kepada semua warga pasukan agar tetapkan niat dan taat setia kepada pucuk pimpinan TD.

    Tambahnya lagi, seorang anggota perlu memegang teguh lafaz keramat Ikrar Kesatria dalam membentuk jati diri serta terus komited dalam menjunjung tinggi segala tugas, tanggungjawab dan amanah dengan penuh integriti.

    Turut hadir, Panglima 1 Div merangkap Pengerusi RRD, Mej Jen Dato’ Dzulkafli Hj Mustaffa, Panglima 4 Div, Mej Jen Hj Ya’cob Hj Samiran dan AKS SM, Mej Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul dan Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • PUTD Aset Penting TD – PTD

    PUTD Aset Penting TD – PTD

    JOHOR: Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain menjelaskan walaupun Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) baharu berusia 25 tahun, namun PUTD telah dapat membuktikan bahawa ia adalah aset penting Tentera Darat (TD) bagi menangani ancaman keselamatan yang multi domain sifatnya.

    “Pucuk pimpinan tertinggi TD sentiasa memberikan tumpuan dan keutamaan terhadap aspek pembangunan keupayaan PUTD yang mana antara pembangunan yang dirancang ialah perolehan pesawat baharu MD530G buatan Amerika Syarikat dijangka akan memasuki inventori PUTD pada bulan Jun 2021.

    “Bagi meningkatkan keupayaan operasi serta kemahiran Juruterbang, TD ketika ini sedang mengusahakan penyewaan pesawat bagi menggantikan pesawat Nuri yang telah ditamatkan perkhidmatannya dan bertujuan memastikan kesiagaan PUTD dapat dikekalkan serta bertindak sebagai combat multiplier kepada formasi-formasi tempur,” jelas PTD.

    Tambah beliau lagi dengan sokongan dan kepercayaan penuh oleh kerajaan serta pucuk pimpinan TD, matlamat mewujudkan angkatan udara yang kredibel akan menjadi realiti dan keupayaan pertahanan menyeluruh dapat dicapai.

    PTD berkata demikian semasa ucapannya dalam Pebarisan Lawatan Ulung PTD dan Jubli Intan PUTD Ke-25 di Padang Kawad Dispersal Area Rejimen 881 PUTD pada 8 Dis 2020.

    Selain itu PTD turut menyeru seluruh warga PUTD sentiasa memberikan komitmen yang sepenuhnya terhadap tugas serta perlu bersatu dengan mengamalkan semangat esprit de corps dan moral yang tinggi.

    “Anda semua perlu profesional, terampil dan berupaya menzahirkannya ke tahap yang membanggakan kerana hanya dengan itu pasukan ini dapat menjadi angkatan yang versatil, ampuh serta dapat diharapkan untuk mempertahankan kedaulatan negara tercinta,” tegas PTD.

    PTD juga merakamkan penghargaan kepada mantan pengarah-pengarah PUTD di atas segala sumbangan dan pengorbanan yang pernah dicurahkan dalam membentuk organisasi ini sehingga berusia 25 tahun.

    Mengimbas sejarah PUTD, pasukan ini telah ditubuhkan dengan rasminya pada 11 Mac 1995 bertempat di Pangkalan Udara, Kluang dan dirasmikan oleh Dato’ Seri Mohammad Najib Tun Abdul Razak selaku Menteri Pertahanan ketika itu.

    Sejak detik bersejarah itu, PUTD telah berkembang dengan pesat dan kini mempunyai dua buah pasukan iaitu Rejimen 881 PUTD  dan Tim Nukleus Rejimen 882 PUTD.

    PUTD juga telah mengoperasikan beberapa jenis pesawat iaitu Alloute MK III, A109 LOH serta S61A-4 Nuri TD manakala pesawat MD530-G bakal memasuki inventori PUTD pada tahun hadapan.

    Terdahulu sebaik ketibaan PTD, beliau menerima tabik hormat dari kontijen perbarisan melibatkan tiga detasmen terdiri daripada 13 pegawai dan 155 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) daripada Jabatan Arah PUTD, Rejimen 881 PUTD dan Tim Nukleus Rejimen 882 PUTD diketuai oleh Lt Kol Muhammad Fadzarudin Othman.

    Perbarisan yang diadakan ini adalah berkonsepkan tempur secara statik sesuai dengan norma baharu serta pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 yang ditetapkan kerajaan.

    Acara dimulakan dengan Penganugerahan Beret Kehormat PUTD kepada PTD dan pemakaian Sayap Juruterbang TD kepada dua pegawai iaitu Kapt Mohamad Hudha Mohd Mortador dan Kapt Muhammad Saifuddin Shaharoni diikuti pemakaian Sayap Kuartermaster Udara TD kepada Sjn Mohd Izham Amirul Amir serta PTD menandatangani plat Jubli Perak PUTD diiringi Pengarah PUTD, Brig Jen Yazid Yusuf.

    Selesai acara perbarisan, PTD bergerak ke Bilik Horizon bagi sesi taklimat berkaitan perkara Operasi, Pentadbiran dan Logistik PUTD yang telah disampaikan oleh Pengarah PUTD.

    Turut hadir Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Tentera Darat, Mej Jen Datuk Hamdan Hj Ismail dan Panglima 7 Bgd, Brig Jen Mohamed Fauzi Kamis.

    Gambar: Pbt Mohammad Shafirin Mohd Radzi

  • PTD Di Anugerah Beret Kehormat PUTD

    PTD Di Anugerah Beret Kehormat PUTD

    JOHOR: Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain dianugerahkan Beret Kehormat Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) yang disempurnakan oleh Pengarah PUTD, Brig Jen Yazid Yusuf di Padang Kawad Dispersal Area Rejimen 881 PUTD pada 8 Dis 2020.

    Penganugerahan ini merupakan pengiktirafan ke atas sifat kepimpinan, keterampilan, kewibawaan dan kecemerlangan Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain sebagai PTD.

    Selain itu, penganugerahan tersebut merupakan penghormatan tertinggi PUTD kepada PTD bagi mengenang jasa dan keperihatinan beliau serta bersempena dengan sambutan Jubli Perak PUTD.

    Turut hadir Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Tentera Darat, Mej Jen Datuk Hamdan Hj Ismail dan Panglima 7 Bgd, Brig Jen Mohamed Fauzi Kamis.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi