Tag: Panglima Medan Barat Tentera Darat

  • Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan TPTD Ke-26

    Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan TPTD Ke-26

    KUALA LUMPUR: Mantan Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD), Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dilantik menjadi Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD) Ke-26 bagi menggantikan Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman yang kini memegang jawatan Panglima Tentera Darat (PTD) Ke-29 dan memulakan tugas secara rasminya di Pejabat TPTD pada 19 Apr 2023.

    Ketibaan Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan disambut oleh Ketua-ketua Bahagian, Cawangan dan Jabatan (BCJ) Markas Tentera Darat (MK TD) di lobi Wisma Pertahanan.

    Sesi menandatangani Sijil Serah Terima Tugas berlaku di antara Pemangku TPTD iaitu Ketua Staf Tentera Darat (KS TD), Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi dan Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan yang disaksikan oleh PTD.

    Simbolik acara ini diakhiri dengan pertukaran Sijil Serah Terima Tugas oleh kedua-dua pihak yang terlibat.

    Gambar: Saifun Hakimi Zainon

  • Pemakaian Pangkat PW I

    Pemakaian Pangkat PW I

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Waran I (PW I) Tentera Darat (TD) melibatkan seramai 61 Pegawai Tidak Tauliah Kanan (PTTK) di Dewan Tanjung, Wisma Transit pada 12 Apr 2023.

    PTD mengucapkan tahniah atas kenaikan pangkat dan berpesan bahawa pangkat yang diterima semestinya datang bersama tanggungjawab serta amanah yang perlu dipikul dengan telus.

    “Setiap PTTK menggalas tanggungjawab yang besar kerana mereka ini merupakan jambatan kepada para pegawai atasan dalam mentadbir organisasi,” kata PTD.

    Turut hadir, Pemangku Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Asisten Ketua Staf Markas Tentera Darat-Cawangan Sumber Manusia, Mej Jen Azhan Hj Md Othman.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul

  • PTD Meraikan Majlis Berbuka Puasa Peringkat TD

    PTD Meraikan Majlis Berbuka Puasa Peringkat TD

    KUALA LUMPUR: Warga Tentera Darat (TD) sekitar Lembah Klang hadir dalam Majlis Berbuka Puasa Peringkat TD bersama Panglima Tentera Darat (PTD) Ke-29, Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dan isteri, Datin Seri Ramlah Dawi di Masjid Thoriq Ziyad pada 30 Mac 2023.

    Majlis ini dianjurkan bagi menyemarakkan bulan Ramadan serta mengeratkan silaturahim selain mengambil berat tentang kebajikan warga TD.

    Sempena majlis berbuka ini, PTD menyampaikan sumbangan kebajikan kepada seorang anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dan empat orang waris yang mengalami masalah kesihatan kronik serta 10 orang golongan asnaf.

    Sumbangan kebajikan diteruskan lagi dengan penyerahan bantuan kepada 10 orang saudara baharu dan 10 orang penuntut dari Sekolah Anak Yatim Angkatan Tentera Malaysia (STAY ATM).

    Penyerahan sumbangan ini disampaikan bagi membantu meringankan beban ketika menjalani ibadah puasa.

    Turut hadir, Pemangku Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad dan pegawai-pegawai kanan TD.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul & Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir

  • Perbarisan Penghargaan PTD Ke-28

    Perbarisan Penghargaan PTD Ke-28

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain bersama isteri, Puan Sri Datin Seri Zainuriah Hj Mustapha diraikan dalam Perbarisan Penghargaan PTD Ke-28 di Dataran PTD pada 21 Mac 2023.

    “Cabaran dan dugaan yang datang semestinya menjadi pengajaran berguna sebagai asas merangka pembaharuan dan penambahbaikan terhadap organisasi Tentera Darat (TD).

    “Jutaan terima kasih diucapkan kepada seluruh warga TD yang memberi sepenuh komitmen terhadap rancangan pembangunan seiring dengan tiga prinsip dan lima tonggak yang digariskan dalam Perintah Ulung saya,” jelas PTD Ke-28.

    Beliau berkata demikian ketika perbarisan penghargaannya yang berkonsepkan Perbarisan Istiadat melibatkan detasmen gabungan daripada elemen tempur, bantuan tempur, bantuan khidmat dan wanita TD dengan kekuatan seramai 43 pegawai serta 1,137 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP).

    Tambahnya lagi, diharapkan pemerintahan baharu akan terus mengutamakan kebajikan warga TD agar moral dan produktiviti kerja dapat dipelihara serta berpesan bahawa pemimpin dan anggota akan sentiasa bersilih ganti tetapi ketumbukan TD akan kekal relevan.

    Majlis kemudian diteruskan dengan jamuan makan dan penyampaian cenderahati sebelum diakhiri dengan upacara Street Lining sebagai tanda penghormatan terakhir ke atas beliau.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Ketua Staf Angkatan Tentera Malaysia, Lt Jen Datuk Arman Rumaizi Hj Ahmad, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad, Ketua Staf TD, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Lt Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal dan pegawai-pegawai kanan TD.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi, Pbt Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein, Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir & Kpl Mohammad Shahrun Nizam Mohamad Radzuan

  • Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan TD

    Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan TD

    KUALA LUMPUR: Majlis Pemakaian Pangkat melibatkan seramai 57 pegawai kanan Tentera Darat dan dua orang Pegawai Kadet disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira TD pada 17 Jan 2023.

    Kenaikan pangkat ke Mej Jen melibatkan Brig Jen Anuar Abdul Wahab yang bakal menjawat jawatan Panglima Divisyen Keempat Infantri Malaysia dan Brig Jen Azman @ Norazman Selamat kekal sebagai Ketua Provos Marsyal, Bahagian Perkhidmatan Anggota – Markas Angkatan Tentera Malaysia.

    Manakala enam pegawai kanan dinaikkan ke pangkat Brig Jen, seorang pegawai kanan dipakaikan pangkat Brig Jen (Sukarela), 18 pegawai kanan dinaikkan ke pangkat Kol, dua orang Tauliah Kehormat Kol, 22 pegawai dinaikkan ke pangkat Lt Kol, seorang Tauliah Kehormat Lt Kol dan tiga pegawai kanan dipakaikan pangkat Lt Kol (Sukarela).

    Sesi diakhiri dengan pemakaian pangkat Lt M kepada dua Pegawai Kadet lepasan luar negara.

    PTD dalam ucapannya mengingatkan bahawa kenaikan pangkat hadir bersama tanggungjawab yang lebih besar sesuai dengan pepatah Inggeris ‘A Leader Leads By Example’.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman bersama isteri, Ketua Staf TD, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi bersama isteri, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan bersama isteri dan pegawai-pegawai kanan TD.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • Op SAR Batang Kali Bukti Keprihatinan TD

    Op SAR Batang Kali Bukti Keprihatinan TD

    PAHANG: “Tentera Darat bukan sahaja bersiap siaga dalam menjaga keselamatan dan keamanan negara, malah perlu berganding bahu dan membantu masyarakat awam yang berada dalam kesusahan.

    “Keupayaan bergerak pantas menghulurkan bantuan semestinya akan meraih kepercayaan masyarakat terhadap kredibiliti dan keupayaan Tentera Darat dalam melaksanakan tugas”, ujar Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain.

    Demikian sebahagian ucapan PTD semasa Majlis Penghargaan Anggota Operasi Search and Rescue (SAR) Tragedi Tanah Runtuh Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor di Dewan Makan Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (25 RAMD) pada 6 Jan 2023.

    Majlis ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada 26 pegawai dan 326 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang terlibat secara langsung dalam mencari 31 mangsa korban insiden di tapak perkhemahan berkenaan pada 16 Dis 2022 yang lalu.

    Dalam majlis tersebut, PTD menyampaikan cenderahati kepada para pegawai dan anggota LLP terdiri daripada Markas Briged Ke-11 Infantri Malaysia (11 Bgd), 8 RAMD, 25 RAMD, Skuadron Semboyan Briged Ke-11 Infantri (11 SSB), 12 SSB, Rejimen 502 Askar Wataniah (Rej 502 AW), 91 Rejimen Bantuan Rejimen Askar Jurutera Diraja (91 Rej Bantuan RAJD), Rejimen Semboyan Divisyen Keempat Infantri (4 RSD), Rejimen Keempat Kor Polis Tentera Diraja (4 KPTD) dan Cawangan Serigala Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA).

    PTD turut mengucapkan syabas dan tahniah atas komitmen yang dipamerkan dan berharap agar semangat pengorbanan seperti ini dapat dijadikan ikutan oleh seluruh warga Tentera Darat.

    Majlis diteruskan dengan jamuan makan sebelum diakhiri dengan menandatangani Buku Lawatan dan acara bergambar.

    Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Divisyen Keempat Infantri Malaysia, Mej Jen Dato’ Hj Ya’cob Hj Samiran, Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan, Mej Jen Malek Razak Sulaiman Bahrom dan Panglima 11 Bgd, Brig Jen Hj Fazal Hj Abdul Rahman.

  • Profesionalisme dan Keupayaan KPTD Terus Dipertingkatkan

    Profesionalisme dan Keupayaan KPTD Terus Dipertingkatkan

    KUALA LUMPUR: Julung kali selepas 69 tahun penubuhannya, Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) memperoleh 40 buah Motorsikal Penguatkuasa model BMW R 1250 RT.

    Terdahulu, Majlis Perasmian Penyerahan Motorsikal Penguatkuasa KPTD telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain dalam Perbarisan Perasmian Motorsikal Penguatkuasa KPTD yang diketuai Lt Kol Kamarulzaman Abu Kassim dengan kekuatan seramai sembilan pegawai dan 41 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) di Padang Kawad Pusat Latihan Polis Tentera (PULAPOT), Kem Genting Klang pada 22 Dis 2022.

    “Melihat kepada aspek mobiliti serta atur gerak aset semasa KPTD, semestinya menjadi kekangan utama dalam melaksanakan tugas-tugas kepolisan yang kian mencabar.

    “Justeru, Tentera Darat telah meluluskan perolehan 40 buah Motorsikal Penguatkuasa secara sewaan selama lima tahun bagi membantu KPTD melaksanakan tugas dengan lebih efektif,” jelas PTD dalam ucapannya.

    Model BMW R 1250 RT merupakan motorsikal dari kelas sport touring memiliki kuasa, kelajuan dan keselesaan serta beberapa ciri-ciri keselamatan yang sesuai dengan tunggangan jarak jauh.

    Perkhidmatan Motorsikal Polis Tentera atau Military Police Patrol Bike telah digunakan sejak awal penubuhan KPTD sebagai kenderaan rondaan keselamatan dan tugas pengiring bagi orang kenamaan, konvoi kenderaan tentera serta konvoi membawa peluru dan bahan letupan.

    Antara jenis motorsikal yang digunakan dalam perkhidmatan merupakan jenis scrambler dan Cruise Police Bike berjenama Suzuki GS550, Honda CBX 750P, Honda ST 1300P dan Kawasaki GTR 1400.

    Jelas sekali perolehan motorsikal ini secara langsung akan meningkatkan keupayaan aspek penguatkuasaan KPTD dalam menjalankan tugas dan peranannya.

    Perolehan aset dalam perkhidmatan semestinya mendukung tonggak pertama Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Kelangsungan Misi dan Kesiagaan.

    Usai perbarisan, PTD meneruskan sidang media di Ruang Rehat Pegawai PULAPOT sebelum diakhiri dengan acara bergambar dan menandatangani Buku Lawatan.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan pegawai-pegawai kanan TD.

    Gambar: LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime & Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • Majlis Penghargaan Persaraan Mej Jen Dato’ Pahlawan Ir Anhar Anuar

    Majlis Penghargaan Persaraan Mej Jen Dato’ Pahlawan Ir Anhar Anuar

    PERAK: Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan (BPKP), Mej Jen Dato’ Pahlawan Ir Anhar Anuar atas segala sumbangan jasa dan bakti yang dicurahkan sepanjang perkhidmatan beliau kepada Tentera Darat (TD) amnya dan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) khasnya.

    Mej Jen Dato’ Pahlawan Ir Anhar Anuar adalah seorang pegawai kanan TD yang sentiasa komited dan cemerlang dalam melaksanakan tugas diamanahkan kepada beliau.

    “Ketokohan dan kecemerlangan beliau seharusnya diteladani serta dijadikan sebagai panduan oleh seluruh warga RAJD agar kekal sebagai sebuah kor yang unggul dan kredibel,” ujar TPTD.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penghargaan Persaraan Mantan Ketua Pengarah BPKP, Mej Jen Dato’ Pahlawan Ir Anhar Anuar di Dewan Makan Kem Sangro pada 12 Jul 2022.

    Mej Jen Dato’ Pahlawan Ir Anhar Anuar bakal bersara secara rasmi pada 14 Jul 2022 setelah berkhidmat hampir 38 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    Mantan BPKP dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pucuk pimpinan TD dan RAJD atas kesudian merealisasikan majlis persaraannya meskipun Perbarisan Penghargaan tidak dapat dijalankan seperti yang dirancang disebabkan cuaca tidak mengizinkan.

    “Sesungguhnya majlis pada hari ini merupakan peristiwa yang penuh bermakna buat sejarah diri saya selama bergelar seorang tentera,” ujar mantan BPKP.

    Menyentuh serba sedikit latar belakang Mej Jen Dato’ Pahlawan Ir Anhar Anuar, beliau memulakan perkhidmatan pada 1 Nov 1984 dengan pangkat Kapt dan bertugas sebagai Pegawai Staf 3 Senggaraan di Jabatan Arah Perumahan dan Pembinaan sebelum dipindahkan ke Markas ATM dan Formasi dengan menyandang pelbagai jawatan.

    Selain itu, beliau juga pernah menjawat jawatan penting antaranya ialah Pengarah Teknik Pembangunan, Pengarah Cawangan Perkhidmatan Kejuruteraan Timur dan jawatan terakhir beliau sebagai Ketua Pengarah BPKP.

    Kemudian, majlis diteruskan dengan sesi penyampaian cenderahati sebelum diakhiri dengan upacara street lining sebagai penghargaan terakhir kepada mantan Ketua Pengarah BPKP.

    Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad dan Pengerusi Kor RAJD, Mej Jen Dato’ Pahlawan Ir Hj Chapiti Hj Redzwan.

    Gambar: Riffat Mohd Yusof

  • Perbarisan Penghargaan Brig Jen Dato’ Zainal Mohd Noor

    Perbarisan Penghargaan Brig Jen Dato’ Zainal Mohd Noor

    SELANGOR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain menyaksikan Perbarisan Penghargaan Persaraan Mantan Panglima Grup Artileri Pertahanan Udara (GAPU), Brig Jen Dato’ Zainal Mohd Noor di Padang Kawad Rejimen Ke-31 Artileri Diraja (31 RAD) pada 22 Jun 2022.

    Perbarisan ini terdiri daripada lima detasmen yang berkekuatan seramai 18 pegawai bersama 170 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari pasukan-pasukan naungan formasi GAPU diketuai oleh Pegawai Memerintah 32 RAD, Lt Kol Hairul Aziz dan diiringi Pancaragam Pusat Kor Armor Diraja.

    Turut berlangsung adalah acara Lintas Hormat Kenderaan melibatkan lapan buah kenderaan tempur yang terdiri daripada kenderaan Fitted For Radio (FFR) Ketua Bateri, FFR Bateri Kapten, FFR Ketua Terup, 7 Tan Command Post, dua buah Meriam 35mm Oerlikon bersama sebuah Radar Skyguard dan 3 Tan BKMS.

    Brig Jen Dato’ Zainal Mohd Noor dalam ucapannya menyatakan rasa terharu dan berbangga di atas persembahan perbarisan yang mantap serta mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PTD yang melapangkan masa menghadiri majlis penghargaannya walaupun terikat dengan aktiviti dan tugas yang padat.

    Sejurus tamat perbarisan, majlis diteruskan dengan sesi jamuan makan serta tayangan montaj yang memaparkan serba sedikit coretan kenangan sepanjang perkhidmatan Brig Jen Dato’ Zainal Mohd Noor.

    Beliau mula mengikuti latihan kadet pada tahun 1980 lalu memulakan kerjaya sebagai Pegawai Seksyen di 31 RAD pada tahun 1981 yang dahulunya dikenali sebagai Rejimen Keenam Meriam, Pangkalan Udara Kuala Lumpur.

    Beliau telah berkhidmat selama 41 tahun lapan bulan dengan menyandang beberapa jawatan penting termasuk sebagai jurulatih di Cawangan Pertahanan Udara dan Pegawai Memerintah 31 RAD.

    Simbolik acara diakhiri dengan Street Lining sebagai tanda penghargaan kepada Brig Jen Dato’ Zainal Mohd Noor.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Hj Subari Hj Tomo.

    Gambar: Riffat Mohd Yusof

  • Disiplin Dan Profesionalisme Tunjang Kekuatan Organisasi – PTD

    Disiplin Dan Profesionalisme Tunjang Kekuatan Organisasi – PTD

    NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kerana seramai 2,234 para Perajurit Muda (PM) Lelaki dan 263 PM Wanita yang begitu bertekad tinggi serta bersemangat waja telah dapat menamatkan latihan asas dengan jayanya walaupun dibatasi norma baharu COVID-19.

    “Syabas dan tahniah diucapkan kerana berjaya menempuh setiap cabaran dan rintangan yang menjadi dasar pembentukan jati diri seorang pahlawan sebagai persediaan menggalas amanah mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara tercinta.

    “Kejayaan terhasil daripada kegigihan usaha serta kesabaran tinggi yang ditunjukkan oleh para PM sepanjang latihan serta doa yang tidak pernah putus dipanjatkan ke hadrat Allah SWT.

    “Saya berkehendakkan nilai-nilai murni yang dipupuk dan disuburkan sepanjang latihan akan terus dipraktikkan sewaktu melaksanakan tugas dan tanggungjawab di pasukan masing-masing kelak,” tegas PTD.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 194/2021 Dan Wanita Siri 47/2021 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) pada 21 Mei 2022.

    Tambah beliau lagi, Tentera Darat (TD) tidak akan sesekali berkompromi dengan salah laku yang dilakukan oleh warganya kerana aspek disiplin dan profesionalisme amat dipandang serius di mana ianya merupakan tunjang kekuatan organisasi.

    “Oleh itu, saya menyeru saudara dan saudari untuk meneguhkan niat dengan sentiasa menjaga etika serta budaya ketenteraan agar dapat melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan dengan sebaik-baiknya,” jelasnya.

    Terdahulu, PTD menerima tabik hormat daripada kontinjen perbarisan diketuai oleh PM Keseluruhan Terbaik iaitu PM Mohamad Nor Farhan Mahzal yang berasal dari Segamat, Johor dan berkelulusan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

    Dengan pelaksanaan fasa endemik, perbarisan pada kali ini dilaksanakan mengikut tradisi rejimental dengan mengehadkan kehadiran keluarga sebagai penonton bagi menyuntik semangat para PM yang terlibat.

    Seramai 2,497 PM terdiri daripada 83 PM berkelulusan Diploma, sembilan berkelulusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), 13 berkelulusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), 107 berkelulusan Sijil Vokasional Malaysia (SVM), 179 berkelulusan SKM dan 2,106 PM berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjaya menamatkan latihan selama enam bulan bermula 26 Nov 2021.

    Selain itu, PTD turut menyampaikan anugerah dan piala pusingan kepada lapan PM sebagai pengiktirafan di atas setiap pencapaian serta kecemerlangan yang dipamerkan sepanjang menjalani latihan.

    PM yang cemerlang menerima anugerah meliputi beberapa kategori di mana PM Lelaki Kecergasan Jasmani Terbaik diberikan kepada PM Edison, PM Lelaki Akademik Terbaik disandang oleh PM Nelson Ovinver Jemis, PM Lelaki Kawad Terbaik dianugerahkan kepada PM Aiman Ruzzaini Romzi dan PM Lelaki Ketenteraan Terbaik diberikan kepada PM Muhamad Aminur Rasyid Mat Radzi.

    Manakala, bagi PM Wanita Kecergasan Jasmani Terbaik dianugerahkan kepada PM Nur Nazwa Herman, PM Wanita Akademik Terbaik diberikan kepada PM Nur Farah Huda Azman dan PM Wanita Terbaik disandang oleh PM Nur Syafiqah Liyana Mohd Noor.

    Acara perbarisan rejimental seumpama ini sejajar dengan Tonggak Kedua Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Memperkasakan Keutuhan Organisasi.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Hafizuddeain Jantan dan Panglima Latihan Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Nazari Abd Hadi.

    Gambar: Mej Suriatie Alias, SSjn Shamsul Zaidi Zolkoffly, Pbt Mohammad Fadzil Akirul, Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi dan Saifun Hakimi Zainon