Tag: Panglima Medan Barat Tentera Darat

  • Kenaikan Pangkat Adalah Amanah, Tanggungjawab Dan Tugas – PTD

    Kenaikan Pangkat Adalah Amanah, Tanggungjawab Dan Tugas – PTD

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain menjelaskan bahawa kenaikan pangkat merupakan suatu anugerah di mana ianya hadir bersama amanah, tanggungjawab dan tugas yang harus dipikul dengan sebaik-baiknya.

    “Sebagai seorang Pegawai Sukarela dan Tauliah Kehormat Askar Wataniah (AW), kalian terikat dengan peraturan serta arahan yang dikeluarkan oleh Tentera Darat (TD) khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya,” jelas PTD.

    Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Sukarela dan Tauliah Kehormat AW di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira TD pada 13 Mei 2022.

    Terdahulu, PTD dan Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman menyempurnakan pemakaian pangkat ke atas seramai 36 pegawai yang telah diperkenankan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong melalui syor Majlis Angkatan Tentera.

    Kemudian, acara diteruskan dengan Majlis Simbolik Penutupan Program Titipan Kasih Harian Metro-Affin Islamik di mana PTD telah menerima mock cheque daripada Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamik Bank, Encik Nazlee Khalifah dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Encik Husain Jahit.

    Penganjuran program tersebut merupakan inisiatif khusus bagi menghargai komitmen petugas barisan hadapan anggota sukarela AW yang terlibat secara langsung dalam menghadapi pandemik COVID-19 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

    Seramai 371 anggota sukarela AW di Semenanjung Malaysia yang layak telah menerima sumbangan berupa barang keperluan harian bernilai RM 200 dan wang tunai RM 300 setiap orang menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM 185,500.

    Pelaksanaan program seumpama ini seiring dengan tema Hari Tentera Darat Ke-89 iaitu Kesejahteraan Keluarga Tentera Darat Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin.

    Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Hafizuddeain Jantan dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Hj Subari Hj Tomo.

    Gambar: LKpl Zulkarnain Maxmillan Abdullah

  • Aktiviti Kerohanian Warnai Sambutan HTD Ke-89

    Aktiviti Kerohanian Warnai Sambutan HTD Ke-89

    KUALA LUMPUR: Seramai 500 pegawai bersama pasangan dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) sekitar Lembah Klang terlibat dalam Program Kerohanian peringkat Tentera Darat (TD) bertempat di Masjid Thariq bin Ziyad, Sg Besi pada 10 Mac 2022.

    Majlis ini dilaksanakan sempena Hari Tentera Darat (HTD) Ke-89 yang bertemakan Kesejahteraan Keluarga TD Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin dengan niat memohon keredhaan dan keberkatan ilahi setelah TD berusia 89 tahun.

    Terdahulu, acara dimulakan dengan bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pengarah Agama MK TD, Brig Jen Zainal Abidin Mohamed Salleh sebelum disusuli dengan Solat Maghrib secara berjemaah.

    Majlis diteruskan dengan Ceramah Perdana Israk Mikraj yang disampaikan oleh penceramah jemputan, Ustaz Mohamad Uda Kassim bertujuan untuk memberi pendedahan secara terperinci mengenai sejarah peristiwa Israk Mikraj dan hikmah serta pelajaran yang boleh diambil daripada peristiwa tersebut.

    Sejurus selesai Solat Isyak, Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain menyempurnakan penyerahan cenderahati kepada penceramah jemputan semasa sesi jamuan makan malam di Wisma Perwira TD.

    Pelaksanaan program seumpama ini sejajar dengan Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Tonggak Ketiga, Pelestarian Kesejahteraan Warga dan Tonggak Kelima, Peningkatan Hubungan TD Dengan Awam.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Hafizuddeain Jantan dan Ketua Staf TD, Lt Jen Dato’ Hj Subari Hj Tomo.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • PTD Rasmi Eagle Eye 25 M Shooting Range

    PTD Rasmi Eagle Eye 25 M Shooting Range

    PULAU PINANG: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain menyempurnakan Majlis Perasmian Eagle Eye 25 Metres Shooting Range di Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (MK 2 Div) pada 17 Feb 2022.

    Lapang sasar tertutup ini menyediakan pelbagai kemudahan seperti lapan Shooting Booth dilengkapi dengan Target Retrieval System untuk aktiviti menembak bagi jarak 5 hingga 25 m dan terdapat VIP Lounge, lounge, Bilik Kawalan, Bilik Peluru, pantri serta tandas yang disediakan.

    Terdahulu, ketibaan PTD disambut oleh Komander Artileri Divisyen 2 Divisyen (Arti Div 2 Div), lalu beliau mendengar taklimat yang disampaikan oleh wakil Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan (BPKP) sebelum dipersembahkan dengan tayangan video montaj pembangunan lapang sasar tersebut.

    Kemudian, PTD menyempurnakan gimik perasmian dengan melepaskan tembakan ke arah piring dan menarik riben pembukaan tirai penamaan lapang sasar Eagle Eye 25 M Shooting Range.

    Seterusnya, beliau diberi taklimat berhubung hal Perintah Tetap Lapang Sasar serta tatacara penggunaan pistol ketika latihan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

    PTD mengakhiri program dengan melaksanakan latihan menembak bersama pegawai-pegawai kanan bagi meningkatkan kemahiran menembak pistol di samping memupuk semangat berpasukan.

    Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima 2 Div, Mej Jen Dato’ Hj Muhammad Huzaimi Sabri, Ketua Pengarah BPKP, Mej Jen Dato’ Pahlawan Ir Hj Chapiti Hj Redzwan dan Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Mej Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul

  • PW I TD Merupakan Jambatan Menghubungkan Pegawai Atasan dan Anggota Bawahan – PTD

    PW I TD Merupakan Jambatan Menghubungkan Pegawai Atasan dan Anggota Bawahan – PTD

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Waran Satu (PW I) Tentera Darat (TD) di Dewan Tanjung, Wisma Transit Kuala Lumpur pada 15 Feb 2022.

    Seramai 21 PW II dinaikkan pangkat ke PW I terdiri daripada sembilan PW II Rejimen Askar Melayu Diraja, empat PW II Rejimen Renjer Diraja, tiga PW II Kor Perkhidmatan Diraja dan seorang PW II masing-masing daripada Rejimen Sempadan, Kor Perkhidmatan Am (Kerani), Kor Perkhidmatan Am (Pendidikan), Kor Kesihatan Diraja dan Kor Risik Diraja.

    Dalam ucapan PTD, beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada mereka yang dinaikkan pangkat kerana ianya merupakan suatu pencapaian yang wajar dibanggakan.

    “Kenaikan pangkat ini bererti tanggungjawab yang dipikul akan bertambah dan harapan saya agar amanah yang diberi dapat ditunaikan dengan cemerlang dan penuh dedikasi.

    “Selaku PW I TD, saudara saudari mempunyai peranan penting iaitu menjadi jambatan yang menghubungkan pegawai atasan dengan anggota bawahan dalam mewujudkan persekitaran kerja yang harmoni dan kondusif agar segala penugasan yang diamanahkan dapat dilaksanakan dengan sempurna,” ujar beliau.

    Tambahnya lagi, saudara saudari perlu menjadi pemudah cara yang dapat membantu anggota bawahan memahami di mana mereka mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan berilah bimbingan yang sewajarnya serta jagalah kebajikan mereka sebilang masa.

    “Gunakan kebijaksanaan dan pengalaman masing-masing dalam menghadapi setiap cabaran dan permasalahan yang mendatang serta jadikan nilai-nilai murni seperti sifat amanah, jujur, ikhlas dan berintegriti sebagai pegangan.

    “Jika nilai ini dapat diterap dalam jiwa, saudara dan saudari akan dapat menunaikan tanggungjawab yang diberi dengan cemerlang,” tegas PTD.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dan Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.

    Gambar: Lkpl Zulkarnain Maxmillan Abdullah dan Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • Perbarisan Penghargaan Mej Jen Dato’ Dr Mohd Kenali Basiron

    Perbarisan Penghargaan Mej Jen Dato’ Dr Mohd Kenali Basiron

    NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain memanjatkan kesyukuran diberi kesempatan menghadiri perbarisan penghargaan sempena persaraan Mantan Komandan Institut Pegawai Kanan Tentera Darat (INSPEKA), Mej Jen Dato’ Dr Mohd Kenali Basiron yang bakal menamatkan perkhidmatan pada 27 Okt 2021.

    “Sepanjang perkhidmatannya, beliau telah mengorbankan seluruh jiwa dan raganya serta sentiasa komited terhadap tugas yang dipertanggungjawabkan.

    “Saya menyarankan ketokohan dan kecemerlangannya diteladani oleh seluruh warga Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) agar dapat membentuk keperibadian yang terpuji dalam diri masing-masing sekaligus membantu RAMD kekal sebagai sebuah kor yang unggul dan kredibel,” jelasnya.

    PTD berkata demikian semasa ucapan beliau dalam Perbarisan Penghargaan Mej Jen Dato’ Dr Mohd Kenali Basiron di Padang Kawad, Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja (15 RAMD) pada 20 Okt 2021.

    Mej Jen Dato’ Dr Mohd Kenali Basiron mula mengikuti latihan ketenteraan di Sekolah Pegawai Kadet, Port Dickson pada 1 Jun 1980 sebelum memulakan kerjaya sebagai Pegawai Muda pada 17 Jun 1982 di 21 RAMD yang berpangkalan di Sabah pada ketika itu.

    Beliau juga telah menyandang beberapa jawatan penting iaitu sebagai Pegawai Memerintah Batalion 305 Infantri (AW), Pengarah Psikologi dan Kaunseling Tentera Darat di Cawangan Sumber Manusia (CSM), Ketua Staf MK 2 Div, Ketua Bahagian Tadbir dan Logistik ESSCOM dan Penasihat Pertahanan Malaysia di Jakarta.

    Perbarisan perhargaan ini dilaksanakan dalam norma baharu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melibatkan seramai 17 pegawai dan 250 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dan diketuai oleh Pegawai Memerintah 15 RAMD, Lt Kol Ismazaini Ismail.

    Sejurus tamat perbarisan, PTD kemudiannya diiringi ke Wisma Perwira 15 RAMD bagi menikmati jamuan dan menonton tayangan video montaj yang memaparkan serba sedikit coretan kenangan sepanjang perkhidmatan Mej Jen Dato’ Dr Mohd Kenali Basiron.

    Simbolik acara diakhiri dengan Street Lining mengikut SOP bagi mengelakkan penularan COVID-19.

    Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima 2 Div, Mej Jen Datuk Arman Rumaizi Hj Ahmad dan Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.

    Gambar: LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime

  • TD Komited Derma Darah Demi Rakyat

    TD Komited Derma Darah Demi Rakyat

    KUALA LUMPUR: Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Mohammad Abdul Rahman mewakili Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain menyempurnakan perasmian Program Derma Darah Perdana sempena Hari Kebangsaan Ke-64 di Dewan Dato’ Jamil Ahmad, Sg Besi pada 1 Sep 2021.

    Acara ini bertujuan untuk mendokong Tonggak Kelima Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu menekankan Peningkatan Hubungan TD Dengan Awam, khususnya dalam usaha membantu Pusat Darah Negara mengisi keperluan Tabung Darah Negara yang pastinya memberi manfaat kepada masyarakat.

    Program derma darah ini adalah hasil kerjasama di antara Pusat Darah Negara (PDN) bersama Tentera Darat (TD) yang akan berlangsung selama sehari melibatkan anggota TD dari sekitar Lembah Klang dan mensasarkan seramai 400 orang penderma.

    Majlis diakhiri dengan gimik pelancaran program perasmian Program Derma Darah dengan menyerahkan mock up pek darah kepada wakil Pusat Darah Negara.

    Aktiviti ini merupakan tanda kerjasama erat Tentera Darat (TD) dengan Pusat Darah Negara dan secara langsungnya membuktikan pengorbanan warga TD demi kepentingan masyarakat umum.

    Acara dilaksanakan mengikut pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang disarankan oleh pihak kerajaan walaupun dijalankan ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Timbalan Pengarah 1 Pusat Darah Negara, Dr Tun Maizura Mohd Fathullah.