Tag: Panglima Medan Timur Tentera Darat

  • Penyerahan Aset Meningkatkan Tahap Kesiapsiagaan TD

    Penyerahan Aset Meningkatkan Tahap Kesiapsiagaan TD

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan menyempurnakan Majlis Penyerahan Aset Tentera Darat Siri 3/23 di Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Perdana Sungai Besi pada 31 Okt 2023.

    Aset-aset yang diserahkan melibatkan Kenderaan Jenis B (KJB), Peralatan Perairan, Senjata dan Peralatan Elektronik bagi suku ketiga tahun 2023.

    Aset-aset yang diterima berjumlah 661 unit terdiri daripada Trak 3 Tan GS Kargo, Unmanned Aerial System, Ambulan Medan, Kenderaan Pembawa Senjata AGL, Special Operation Vehicle, Assault Boat, Trailer Boat, Rubber Inflatable Boat, Logistic Support Bridge, Mortar 60mm, Night Vision Goggle dan Laser Range Finder dengan jumlah keseluruhan perolehan bernilai RM96,344,306.00.

    Majlis penyerahan ini semestinya memaparkan TD sentiasa mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara disamping memberikan bantuan terutama semasa negara ditimpa bencana alam.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Pahlawan Haji Muhammad Huzaimi Sabri, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan dan pegawai kanan TD.

  • MMR Sempena Penghargaan PTD Ke-29

    MMR Sempena Penghargaan PTD Ke-29

    KUALA LUMPUR: Warga Tentera Darat (TD) meraikan Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dan isteri, Puan Sri Datin Seri Ramlah Dawi dalam Majlis Makan Malam Rejimental (MMR) Penghargaan PTD Ke-29 di Dewan Perkasa, Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 5 Sep 2023.

    Majlis penuh istiadat ini dimulakan dengan Minum Ucap Selamat kepada Seri Paduka Baginda (SPB) Yang di-Pertuan (YDP) Agong sebelum diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku dan acara MMR.

    Majlis ini dilaksanakan sebagai tanda penghargaan kepada PTD yang akan mengakhiri tanggungjawab sebagai PTD setelah hampir enam bulan mencurah bakti memacu TD terus ke hadapan.

    Dalam ucapan PTD, beliau menyeru untuk sentiasa mengukuhkan perpaduan, bekerjasama sebagai sebuah angkatan dan menumpahkan seluruh ketaatsetiaan kepada pemimpin, raja dan negara.

    Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa TD perlulah sentiasa bersedia untuk menghadapi apa jua bentuk cabaran yang mendatang.

    Seterusnya, majlis turut diserikan dengan gimik perasmian Buku Biografi PTD Ke-29 yang berkisar tentang perjalanan hidup beliau sebelum diteruskan dengan acara penyampaian cendera kenangan dan persembahan daripada Badan Kesenian Tentera Darat (BKTD).

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizzudeain Jantan, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, Panglima Latihan Tentera Darat, Mej Jen Datuk Marzuki Hj Mokhtar dan pegawai-pegawai kanan TD.

    Gambar: Gambar: PW II Shamsul Zaidi Zolkoffly, Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi, Pbt Tuan Mohamad Farizal Tuan Dir dan Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein

  • Perbarisan Penghargaan Jen Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab Rahman

    Perbarisan Penghargaan Jen Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab Rahman

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD) Ke-29, Jen Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab Rahman bakal mengakhiri tanggungjawabnya sebagai PTD selama lebih kurang enam bulan selepas mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain pada 22 Mac 2023 yang lalu.

    PTD menyeru kepada seluruh warga Tentera Darat (TD) untuk terus merapatkan barisan dan berkhidmat sebagai sebuah ketumbukan dengan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi terhadap barisan kepimpinan.

    Pesanan tersebut disampaikan semasa Istiadat Perbarisan Penghargaan PTD Ke-29 yang berkekuatan seramai 46 pegawai dan 1,110 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) berserta tujuh panji-panji Rejimen dan Kor dalam TD di Dataran PTD pada 5 Sep 2023.

    Menelusuri latar belakang PTD, beliau ditauliahkan pada 1 Jul 1987 dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dengan menjawat jawatan sebagai Ketua Platun di Batalion Keempat Rejimen Askar Melayu Diraja (4 RAMD).

    Sepanjang perkhidmatannya, beliau menyandang pelbagai jawatan penting seperti Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan (AKS P&P) Markas Tentera Darat (MK TD), Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div), Panglima Latihan Tentera Darat, Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMBTD) dan Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD).

    Istiadat Perbarisan Penghargaan PTD Ke-29 yang berlangsung ini menandakan pucuk pimpinan tertinggi TD bakal berubah dengan menyaksikan penyerahan tugas dan tanggungjawab PTD kepada TPTD, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan selaku PTD Ke-30.

    Hadir sama, PMB TD, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan.

    Gambar: PW II Shamsul Zaidi Zolkoffly, Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi, Pbt Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein, Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir & Saiful Hakimi Zainon.

  • Warga RAMD Dan KPD Berbuka Puasa Bersama Kol YDP

    Warga RAMD Dan KPD Berbuka Puasa Bersama Kol YDP

     

    KUALA LUMPUR: Kol Yang Dipertua (YDP) Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Kor Perkhidmatan Diraja (KPD), Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Tuanku Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin berkenan mencemar duli ke Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga RAMD dan KPD di Masjid Thoriq Ziyad pada 9 Apr 2023.

    Terdahulu, keberangkatan tiba Kol YDP disambut oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dan Pemangku Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi.

    Selesai berbuka, Kol YDP menunaikan solat Maghrib berjemaah dan menyempurnakan acara penyampaian sumbangan kepada pelajar-pelajar Sekolah Tahfiz Anak Yatim (STAY) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    Turut hadir, Ketua Staf ATM, Lt Jen Datuk Arman Rumaizi Hj Ahmad, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mardzuki Muhammad.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • PTD Meraikan Majlis Berbuka Puasa Peringkat TD

    PTD Meraikan Majlis Berbuka Puasa Peringkat TD

    KUALA LUMPUR: Warga Tentera Darat (TD) sekitar Lembah Klang hadir dalam Majlis Berbuka Puasa Peringkat TD bersama Panglima Tentera Darat (PTD) Ke-29, Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dan isteri, Datin Seri Ramlah Dawi di Masjid Thoriq Ziyad pada 30 Mac 2023.

    Majlis ini dianjurkan bagi menyemarakkan bulan Ramadan serta mengeratkan silaturahim selain mengambil berat tentang kebajikan warga TD.

    Sempena majlis berbuka ini, PTD menyampaikan sumbangan kebajikan kepada seorang anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dan empat orang waris yang mengalami masalah kesihatan kronik serta 10 orang golongan asnaf.

    Sumbangan kebajikan diteruskan lagi dengan penyerahan bantuan kepada 10 orang saudara baharu dan 10 orang penuntut dari Sekolah Anak Yatim Angkatan Tentera Malaysia (STAY ATM).

    Penyerahan sumbangan ini disampaikan bagi membantu meringankan beban ketika menjalani ibadah puasa.

    Turut hadir, Pemangku Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad dan pegawai-pegawai kanan TD.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul & Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir

  • Tahlil Dan Doa Selamat Meraikan PTD Ke-29

    Tahlil Dan Doa Selamat Meraikan PTD Ke-29

     

    KUALA LUMPUR: Warga Tentera Darat (TD) di sekitar Lembah Klang menghadiri Majlis Tahlil Kesyukuran dan Doa Selamat sempena pelantikan Panglima Tentera Darat (PTD) Ke-29, Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman bertempat di Wisma Perwira TD pada 22 Mac 2023.

    Majlis dimulakan dengan bacaan yasin, tahlil dan doa selamat yang dipimpin oleh Pengarah Agama Markas Tentera Darat (MK TD), Kol Hasbullah Salleh sebelum diteruskan dengan solat sunat tarawih.

    Turut hadir, Ketua Staf Tentera Darat merangkap pemangku Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mardzuki Muhammad.

    Gambar: Pbt Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein

  • Perbarisan Penghargaan PTD Ke-28

    Perbarisan Penghargaan PTD Ke-28

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain bersama isteri, Puan Sri Datin Seri Zainuriah Hj Mustapha diraikan dalam Perbarisan Penghargaan PTD Ke-28 di Dataran PTD pada 21 Mac 2023.

    “Cabaran dan dugaan yang datang semestinya menjadi pengajaran berguna sebagai asas merangka pembaharuan dan penambahbaikan terhadap organisasi Tentera Darat (TD).

    “Jutaan terima kasih diucapkan kepada seluruh warga TD yang memberi sepenuh komitmen terhadap rancangan pembangunan seiring dengan tiga prinsip dan lima tonggak yang digariskan dalam Perintah Ulung saya,” jelas PTD Ke-28.

    Beliau berkata demikian ketika perbarisan penghargaannya yang berkonsepkan Perbarisan Istiadat melibatkan detasmen gabungan daripada elemen tempur, bantuan tempur, bantuan khidmat dan wanita TD dengan kekuatan seramai 43 pegawai serta 1,137 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP).

    Tambahnya lagi, diharapkan pemerintahan baharu akan terus mengutamakan kebajikan warga TD agar moral dan produktiviti kerja dapat dipelihara serta berpesan bahawa pemimpin dan anggota akan sentiasa bersilih ganti tetapi ketumbukan TD akan kekal relevan.

    Majlis kemudian diteruskan dengan jamuan makan dan penyampaian cenderahati sebelum diakhiri dengan upacara Street Lining sebagai tanda penghormatan terakhir ke atas beliau.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Ketua Staf Angkatan Tentera Malaysia, Lt Jen Datuk Arman Rumaizi Hj Ahmad, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad, Ketua Staf TD, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Lt Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal dan pegawai-pegawai kanan TD.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi, Pbt Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein, Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir & Kpl Mohammad Shahrun Nizam Mohamad Radzuan

  • Majlis Penghargaan Persaraan Mej Jen Dato’ Pahlawan Ir Anhar Anuar

    Majlis Penghargaan Persaraan Mej Jen Dato’ Pahlawan Ir Anhar Anuar

    PERAK: Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan (BPKP), Mej Jen Dato’ Pahlawan Ir Anhar Anuar atas segala sumbangan jasa dan bakti yang dicurahkan sepanjang perkhidmatan beliau kepada Tentera Darat (TD) amnya dan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) khasnya.

    Mej Jen Dato’ Pahlawan Ir Anhar Anuar adalah seorang pegawai kanan TD yang sentiasa komited dan cemerlang dalam melaksanakan tugas diamanahkan kepada beliau.

    “Ketokohan dan kecemerlangan beliau seharusnya diteladani serta dijadikan sebagai panduan oleh seluruh warga RAJD agar kekal sebagai sebuah kor yang unggul dan kredibel,” ujar TPTD.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penghargaan Persaraan Mantan Ketua Pengarah BPKP, Mej Jen Dato’ Pahlawan Ir Anhar Anuar di Dewan Makan Kem Sangro pada 12 Jul 2022.

    Mej Jen Dato’ Pahlawan Ir Anhar Anuar bakal bersara secara rasmi pada 14 Jul 2022 setelah berkhidmat hampir 38 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    Mantan BPKP dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pucuk pimpinan TD dan RAJD atas kesudian merealisasikan majlis persaraannya meskipun Perbarisan Penghargaan tidak dapat dijalankan seperti yang dirancang disebabkan cuaca tidak mengizinkan.

    “Sesungguhnya majlis pada hari ini merupakan peristiwa yang penuh bermakna buat sejarah diri saya selama bergelar seorang tentera,” ujar mantan BPKP.

    Menyentuh serba sedikit latar belakang Mej Jen Dato’ Pahlawan Ir Anhar Anuar, beliau memulakan perkhidmatan pada 1 Nov 1984 dengan pangkat Kapt dan bertugas sebagai Pegawai Staf 3 Senggaraan di Jabatan Arah Perumahan dan Pembinaan sebelum dipindahkan ke Markas ATM dan Formasi dengan menyandang pelbagai jawatan.

    Selain itu, beliau juga pernah menjawat jawatan penting antaranya ialah Pengarah Teknik Pembangunan, Pengarah Cawangan Perkhidmatan Kejuruteraan Timur dan jawatan terakhir beliau sebagai Ketua Pengarah BPKP.

    Kemudian, majlis diteruskan dengan sesi penyampaian cenderahati sebelum diakhiri dengan upacara street lining sebagai penghargaan terakhir kepada mantan Ketua Pengarah BPKP.

    Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad dan Pengerusi Kor RAJD, Mej Jen Dato’ Pahlawan Ir Hj Chapiti Hj Redzwan.

    Gambar: Riffat Mohd Yusof

  • HTD Ke-89 : PTD Komited Capai Enam Fokus Tahun 2022

    HTD Ke-89 : PTD Komited Capai Enam Fokus Tahun 2022

    NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain menyifatkan demonstrasi dinamik yang dipamerkan merupakan manifestasi Tentera Darat (TD) kepada kerajaan dan rakyat bahawa TD sentiasa bersedia pada sebilang masa dan berupaya melaksanakan segala tugasan serta misi yang diamanahkan.

    “Sepanjang tempoh 89 tahun, TD telah menempa kejayaan demi kejayaan, antaranya menamatkan pemberontakan komunis, mematahkan konfrontasi oleh negara jiran, memainkan peranan signifikan sebagai pengaman di negara-negara bergolak, menggagalkan pencerobohan anasir-anasir pengganas serta menjadi peranan utama dalam usaha membantu rakyat yang terkesan akibat bencana alam.

    “Dalam Amanat Tahun 2022, kita telah mencapai banyak kejayaan untuk kelima-lima tonggak yang digariskan hasil daripada kerja keras serta komitmen tinggi yang diberikan oleh seluruh warga TD.

    “Walau bagaimanapun masih terdapat beberapa perkara yang belum dicapai sepenuhnya seperti tertangguhnya beberapa rancangan perolehan, jumlah Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) belum mencukupi, kelengkapan Head To Toe belum mencapai tahap seratus peratus serta kekangan pelaksanaan kerjasama pertahanan akibat penularan wabak COVID-19,”  ujar PTD dalam perutusannya semasa Perbarisan Sambutan Hari Tentera Darat (HTD) Ke-89 di Padang Kawad Kem Segenting pada 1 Mac 2022.

    Tambah beliau lagi, memandangkan aspek meningkatkan kebajikan warga TD akan terus diberi tumpuan, maka tema HTD pada tahun ini, Kesejahteraan Keluarga Tentera Darat Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin.

    Secara tidak langsung, pemilihan tema ini sejajar dengan amanat yang disampaikan oleh beliau minggu lalu yang menggariskan enam fokus iaitu aspek kesejahteraan dan kebajikan warga TD, usaha meningkatkan kesiagaan dan keupayaan TD, penstrukturan dan penyusunan organisasi TD, pemerkasaan tadbir urus dan perbelanjaan berhemah, meningkatkan diplomasi pertahanan dan komitmen TD untuk membantu kerajaan dalam Military Operations Other Than War (MOOTW).

    PTD turut menyatakan cabaran yang mungkin boleh menjejaskan usaha mencapai fokus tahun ini adalah ketidakstabilan persekitaran geo-politik dunia serta ancaman penularan wabak COVID-19 yang masih belum menampakkan pengakhirannya.

    “Saya menyeru kepada semua peringkat kepimpinan untuk sentiasa mempersiapkan anggota masing-masing dengan melaksanakan latihan yang berkesan, menerapkan kemahiran-kemahiran khusus serta meneguhkan aspek kerohanian dan jati diri anggota sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” tegas PTD.

    Terdahulu, PTD menerima tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) sebelum diteruskan dengan segmen demonstrasi dinamik yang mempersembahkan 72 aset serta persenjataan membabitkan kenderaan seperti kereta kebal PT 91-M Pendekar, Lipan Bara, kenderaan perisai 8×8 Gempita dan kenderaan perisai berantai Adnan.

    Turut dipertontonkan Meriam 105mm LG 1 MK III, Helikopter LOH A109 Agusta, SUPACAT, kenderaan pengangkut senjata VAMTAC, motorsikal Scrambler, 72 Bot Tempur, Rigid Inflatable Boat (RIB) dan lain-lain aset.

    Selain itu, perbarisan tempur berkekuatan seramai 35 pegawai dan 753 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) melibatkan lapan detasmen terdiri daripada detasmen Tempur Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div), detasmen Gerup Gerak Khas, detasmen 10 Briged (Para), detasmen Tempur 3 Div, detasmen Bantuan Tempur 3 Div, detasmen Bantuan Tempur 2 Div, detasmen Bantuan Khidmat 2 Div dan detasmen Wanita TD turut melaksanakan Kawad Berjalan Lalu Dalam Masa Cepat melintasi pentas hormat.

    Seterusnya, PTD turut menyempurnakan acara penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia (PPS) dan Pisau Tempur TD, Anugerah Khidmat Cemerlang (AKC) 2021 dan Anugerah Kesiagaan Panglima Angkatan Tentera (AKPAT) 2021.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mardzuki Muhammad dan Ketua Staf TD, Lt Jen Dato’ Hj Subari Hj Tomo.

    Gambar: LKpl Zulkarnain Maxmillan Abdullah, Pbt Mohammad Shukri Suhaimi, Pbt Mohammad Fadzil Akirul dan Saifun Hakimi Zainon.

     

     

  • 43 Pegawai Kadet PALAPES Zon Sabah Dan Sarawak Bergelar Pegawai Muda

    43 Pegawai Kadet PALAPES Zon Sabah Dan Sarawak Bergelar Pegawai Muda

    SARAWAK: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain mengucapkan syabas dan tahniah kepada 43 Pegawai Kadet yang berjaya ditauliahkan sebagai Pegawai Muda dalam Rejimen Askar Wataniah (AW) setelah tiga tahun mengikuti latihan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

    “Profesion ketenteraan merupakan satu bidang kerjaya yang amat mulia dan sentiasa dipandang tinggi oleh masyarakat kerana kerjaya ini menuntut setiap warganya memiliki jati diri yang teguh serta mengamalkan nilai-nilai murni sebilang masa.

    “Sebagai Pegawai Muda AW, anda adalah aset yang akan membantu ganti anggota tetap dan sentiasa bersedia untuk diaturgerak bagi mengambil alih tanggungjawab anggota tetap,” jelas PTD.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Darat Universiti Awam Ke-39 Zon Sarawak dan Sabah di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR PUTRA) UNIMAS pada 22 Jan 2022.

    Dalam majlis ini, Pegawai Kadet Terbaik PALAPES UNIMAS dianugerahkan kepada Lt M Mohamad Nur Syahid Mohd Rozaidi berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik, manakala Pegawai Kadet Terbaik PALAPES UMS dianugerahkan kepada Lt M Hanif Fikri Peter berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan.

    Kedua-dua Pegawai Kadet Terbaik dianugerahkan Pedang Kehormat sebagai hadiah di atas semangat dan kesungguhan yang telah ditunjukkan sepanjang menjalani latihan PALAPES.

    Majlis ringkas pengisytiharan dan pemakaian pangkat ini dilaksanakan bagi menggantikan Perbarisan Pentauliahan yang kebiasaannya dilakukan di padang kawad bagi memenuhi keperluan kerajaan dalam membendung serta memutuskan rantaian penularan COVID-19.

    Tambah PTD lagi, Pegawai Muda yang baharu ditauliah disarankan untuk terus terlibat secara aktif di dalam aktiviti dan latihan AW dengan melapor diri ke siri Rej 500 AW agar pengetahuan ketenteraan yang dimiliki dapat terus dikembangkan.

    “Manfaatkanlah semua pengalaman, ilmu dan kemahiran yang telah dipelajari serta pupuk keyakinan diri agar bersesuaian dengan bidang tugas dan cabaran yang dihadapi dalam kerjaya selepas ini,” ujar beliau.

    Sebelum mengakhiri ucapan, PTD merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (MK PLDTD), Bahagian Pasukan Simpanan, Pasukan PALAPES, Universiti Awam, para pegawai serta jurulatih yang terlibat dalam melahirkan barisan PALAPES kepimpinan negara.

    Turut hadir, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mardzuki Muhammad, Komandan PALAPES UNIMAS, Kol Kehormat Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi dan Panglima Latihan Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Nazari Abd Hadi.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi