Bersama PemimpinMK Latihan & DoktrinMK Medan TimurSemasa

43 Pegawai Kadet PALAPES Zon Sabah Dan Sarawak Bergelar Pegawai Muda

SARAWAK: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain mengucapkan syabas dan tahniah kepada 43 Pegawai Kadet yang berjaya ditauliahkan sebagai Pegawai Muda dalam Rejimen Askar Wataniah (AW) setelah tiga tahun mengikuti latihan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

“Profesion ketenteraan merupakan satu bidang kerjaya yang amat mulia dan sentiasa dipandang tinggi oleh masyarakat kerana kerjaya ini menuntut setiap warganya memiliki jati diri yang teguh serta mengamalkan nilai-nilai murni sebilang masa.

“Sebagai Pegawai Muda AW, anda adalah aset yang akan membantu ganti anggota tetap dan sentiasa bersedia untuk diaturgerak bagi mengambil alih tanggungjawab anggota tetap,” jelas PTD.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Darat Universiti Awam Ke-39 Zon Sarawak dan Sabah di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR PUTRA) UNIMAS pada 22 Jan 2022.

Dalam majlis ini, Pegawai Kadet Terbaik PALAPES UNIMAS dianugerahkan kepada Lt M Mohamad Nur Syahid Mohd Rozaidi berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik, manakala Pegawai Kadet Terbaik PALAPES UMS dianugerahkan kepada Lt M Hanif Fikri Peter berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan.

Kedua-dua Pegawai Kadet Terbaik dianugerahkan Pedang Kehormat sebagai hadiah di atas semangat dan kesungguhan yang telah ditunjukkan sepanjang menjalani latihan PALAPES.

Majlis ringkas pengisytiharan dan pemakaian pangkat ini dilaksanakan bagi menggantikan Perbarisan Pentauliahan yang kebiasaannya dilakukan di padang kawad bagi memenuhi keperluan kerajaan dalam membendung serta memutuskan rantaian penularan COVID-19.

Tambah PTD lagi, Pegawai Muda yang baharu ditauliah disarankan untuk terus terlibat secara aktif di dalam aktiviti dan latihan AW dengan melapor diri ke siri Rej 500 AW agar pengetahuan ketenteraan yang dimiliki dapat terus dikembangkan.

“Manfaatkanlah semua pengalaman, ilmu dan kemahiran yang telah dipelajari serta pupuk keyakinan diri agar bersesuaian dengan bidang tugas dan cabaran yang dihadapi dalam kerjaya selepas ini,” ujar beliau.

Sebelum mengakhiri ucapan, PTD merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (MK PLDTD), Bahagian Pasukan Simpanan, Pasukan PALAPES, Universiti Awam, para pegawai serta jurulatih yang terlibat dalam melahirkan barisan PALAPES kepimpinan negara.

Turut hadir, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mardzuki Muhammad, Komandan PALAPES UNIMAS, Kol Kehormat Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi dan Panglima Latihan Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Nazari Abd Hadi.

Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button