Tag: PMB TD

  • Warga 2 Bgd Bakal Terima Masjid Baharu

    Warga 2 Bgd Bakal Terima Masjid Baharu

    PERAK: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan menyempurnakan acara gimik Perasmian Pecah Tanah Masjid Baharu Briged Kedua Infantri Malaysia (2 Bgd) di Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) pada 13 Mac 2024.

    Masjid baharu berkonsepkan Modern Nusantara ini akan dibina di atas tanah seluas dua ekar dan bangunan masjid berkeluasan 1003.6 meter persegi di mana mampu menampung hampir 1,000 jemaah serentak pada satu-satu masa.

    Acara ini merupakan sebahagian daripada program sempena Lawatan Ulung PTD ke Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (PMBTD) di 2 Bgd sejak mengambil alih jawatan sebagai PTD pada 6 Sep 2023 yang lalu.

    Terdahulu, ketibaan beliau di MK 2 Bgd disambut oleh Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD), Lt Jen Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Huzaimi Sabri lalu diberi penghormatan untuk mengambil tabik hormat serta memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) dari Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (23 RAMD).

    Sesi lawatan diteruskan dengan taklimat perkara G, A dan Q yang disampaikan oleh PMB TD bagi memberi gambaran lebih jelas berkenaan perkara-perkara kesiagaan dan keupayaan serta kekangan yang dihadapi oleh pasukan.

    Pada masa yang sama turut diadakan Majlis Ramah Mesra dan Sumbangan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) sempena Lawatan Ulung Pengerusi Jemaah BAKAT Darat, Puan Sri Datin Hartiah Hamzah ke BAKAT naungan PMBTD bertempat di Rumah BAKAT Kem 2 Bgd dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) 2 Bgd.

    Pada sebelah petang, PTD meluangkan masa melaksanakan lawatan kebajikan di Kinta Perdana, Ipoh bagi menziarahi Brig Jen Salim Ahmad Miandad (Bersara) yang menghidap penyakit mild stroke melibatkan tangan sebelah kiri sejak Feb yang lalu.

    Seterusnya, PTD dan isteri menghadiri Majlis Iftar Ramadan bersama warga PMBTD di Padang Kawad 23 RAMD sebelum menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih secara berjemaah.

    Ketika jamuan moreh, PTD turut berkesempatan beramah mesra dan menyampaikan sumbangan serta kotak rezeki kepada 15 orang golongan asnaf dan warga PMBTD yang mengalami masalah kesihatan bagi mengurangkan beban yang ditanggung.

    Turut hadir, Panglima Divisyen Keempat Infantri Malaysia, Mej Jen Dato’ Ts Reizal Arif Tan Sri Ismail dan pegawai-pegawai kanan TD.

    Gambar: LKpl Mohammad Shukri Suhaimi & LKpl Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein

  • HTD 91: Gagasan TD Dan Rakyat, Kekal Siaga

    HTD 91: Gagasan TD Dan Rakyat, Kekal Siaga

    JOHOR: Hari Tentera Darat (HTD) merupakan acara tradisi tahunan yang dianjurkan dengan matlamat mengukuhkan kesatuan warga Tentera Darat (TD) serta mengeratkan hubungan dengan masyarakat selain bertujuan mengenang kembali segala pengorbanan warga TD terdahulu yang telah berjuang demi mengekalkan kedaulatan tanah air.

    Sambutan pada kali ini bertemakan ‘Gagasan Tentera Darat dan Rakyat, Kekal Siaga’ yang membawa maksud bahawa tugas dan tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara tidak hanya digalas oleh TD semata-mata, sebaliknya perlu digalas bersama rakyat.

    Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga TD yang mempamerkan kecemerlangan pada perbarisan hari ini dengan tujuan membentuk jati diri dan menyuburkan etos kepahlawanan di kalangan warganya.

    “Melalui komitmen yang tidak berbelah bahagi, TD sentiasa bertekad untuk meningkatkan keupayaan dan kesiagaannya agar berada di tahap tertinggi sepanjang masa,” ujar PTD ketika menyampaikan perutusan sempena Perbarisan HTD Ke-91 di Dataran Segamat pada 1 Mac 2024.

    Menurutnya lagi, pemilihan daerah Segamat sebagai lokasi sambutan HTD pada kali ini disebabkan ianya signifikan dalam menghargai kedaulatan dan keamanan negara pada masa kini kerana memiliki sejarah penting semasa Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu di mana tertubuhnya barisan pertahanan pertama tentera berikat di negeri Johor untuk menghalang kemaraan tentera Jepun.

    “Salah satu peristiwa penting adalah tindakan tentera berikat meletupkan jambatan Buloh Kasap untuk melengahkan kemaraan tentera Jepun ke Singapura selain daerah ini juga menjadi saksi peranan aktif masyarakat setempat dalam menentang Parti Komunis Malaya (PKM) semasa era darurat,” jelas PTD.

    Perbarisan HTD Ke-91 yang berkonsepkan perbarisan tempur diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD), Lt Kol Mohd Shahrul Hamidon melibatkan seramai 38 pegawai dan 1,244 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) terdiri daripada enam kontinjen iaitu kontinjen tempur, bantuan tempur, bantuan perkhidmatan, Briged Ke-10 Para (10 Bgd (Para)), Gerup Gerak Khas (GGK) dan kontinjen wanita.

    Selain itu, turut diadakan terbang Lintas Hormat lima buah pesawat yang terdiri daripada tiga buah pesawat A109 LOH dan dua buah pesawat MD 530G serta dimeriahkan dengan segmen perarakan melibatkan aset-aset TD di penghujung acara.

    Dalam perbarisan ini, Kpl Ronald Manchik dari 7 RAMD telah dianugerahkan Sijil Keberanian dan Pisau TD atas tindakannya berjaya menyelamatkan seorang daripada dua mangsa yang lemas di laut pada 13 Okt 2023 di Kem Terendak sekali gus meningkatkan imej dan kredibiliti TD.

    PTD turut berkesempatan menyampaikan Anugerah Kesiagaan Panglima Angkatan Tentera (AKPAT), Anugerah Pengurusan Inovasi Tentera Darat (APITD), Penganugerahan Pisau Tentera Darat, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Pingat Kedaulatan Negara (PKN).

    Usai perbarisan, PTD dan warga TD bergerak ke Masjid Jamek Segamat bagi membaca Yasin dan mendengar khutbah yang disampaikan oleh Pengerusi Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Mej Jen Hj Mohd Rashidi Bujai sebelum melaksanakan Solat Jumaat.

    Turut hadir, Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Lt Jen Dato’ Mohd Razali Alias, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Huzaimi Sabri, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Lt Jen Dato’ (Dr) Zulkeffeli Mat Jusoh dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan.

    Gambar: LKpl Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • Perbarisan Penghargaan Jen Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab Rahman

    Perbarisan Penghargaan Jen Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab Rahman

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD) Ke-29, Jen Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab Rahman bakal mengakhiri tanggungjawabnya sebagai PTD selama lebih kurang enam bulan selepas mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain pada 22 Mac 2023 yang lalu.

    PTD menyeru kepada seluruh warga Tentera Darat (TD) untuk terus merapatkan barisan dan berkhidmat sebagai sebuah ketumbukan dengan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi terhadap barisan kepimpinan.

    Pesanan tersebut disampaikan semasa Istiadat Perbarisan Penghargaan PTD Ke-29 yang berkekuatan seramai 46 pegawai dan 1,110 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) berserta tujuh panji-panji Rejimen dan Kor dalam TD di Dataran PTD pada 5 Sep 2023.

    Menelusuri latar belakang PTD, beliau ditauliahkan pada 1 Jul 1987 dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dengan menjawat jawatan sebagai Ketua Platun di Batalion Keempat Rejimen Askar Melayu Diraja (4 RAMD).

    Sepanjang perkhidmatannya, beliau menyandang pelbagai jawatan penting seperti Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan (AKS P&P) Markas Tentera Darat (MK TD), Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div), Panglima Latihan Tentera Darat, Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMBTD) dan Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD).

    Istiadat Perbarisan Penghargaan PTD Ke-29 yang berlangsung ini menandakan pucuk pimpinan tertinggi TD bakal berubah dengan menyaksikan penyerahan tugas dan tanggungjawab PTD kepada TPTD, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan selaku PTD Ke-30.

    Hadir sama, PMB TD, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan.

    Gambar: PW II Shamsul Zaidi Zolkoffly, Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi, Pbt Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein, Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir & Saiful Hakimi Zainon.

  • 46 Pegawai Kanan TD Dinaikkan Pangkat

    46 Pegawai Kanan TD Dinaikkan Pangkat

    KUALA LUMPUR: Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Tentera Darat (TD) seramai 46 pegawai kanan disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira TD pada 1 Jun 2023.

    Acara dimulakan dengan kenaikan pangkat Brig Jen ke Mej Jen didahului oleh Brig Jen Dato’ Md Rahim Mohammad yang kekal menjawat jawatan sebagai Asisten Ketua Staf (AKS) Markas Angkatan Bersama – J2 dan diikuti Brig Jen Hj Azelan Abu Bakar dinaikkan ke pangkat yang sama menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Tadbir dan Logistik Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (MK PMTTD).

    Seterusnya, tiga pegawai dinaikkan ke pangkat Brig Jen melibatkan Kol Dr Mohamad Rudi Othman menjawat jawatan sebagai Pengarah Peperangan Informasi di Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO) manakala Kol (Dr) Mohd Farid Alias menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Kesihatan MK PMTTD dan Kol Abu Hashim Jamaludin kekal menjawat jawatan sebagai Pengarah Kor Risik Diraja (KRD).

    Acara diteruskan dengan pemakaian pangkat ke atas Lt Kol Ahmad Rizakee Ahmad Satibi yang dinaikkan ke pangkat Kol dan sesi terakhir berlangsung dengan menyaksikan seramai 40 pegawai dinaikkan ke pangkat Lt Kol.

    PTD mengucapkan tahniah kepada semua pegawai yang dinaikkan pangkat serta menjelaskan bahawa kenaikan pangkat merupakan suatu anugerah yang hadir bersama amanah, tanggungjawab dan tugas yang harus dipikul dengan sebaik-baiknya.

    “Jadikan nilai-nilai murni sebagai pegangan yang akan menjamin kecemerlangan kerjaya saudara dan saudari pada masa hadapan,” jelasnya lagi.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Lt Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Lt Jen Dato’ (Dr) Zulkeffeli Mat Jusoh dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul

  • Hari Pertama PTD Ke-29

    Hari Pertama PTD Ke-29

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD) Ke-29, Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman secara rasminya memulakan tugas sebagai PTD yang baharu pada hari pertama di Wisma Pertahanan pada 23 Mac 2023.

    Sejurus tiba di perkarangan Wisma Pertahanan, PTD menerima tabik hormat lalu memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Mej Azham Mohamad dengan diiringi Pancaragam Pusat RAMD.

    Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman telah mengambil alih tugas sebagai PTD Ke-29 daripada PTD Ke-28, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain pada 22 Mac 2023 di Auditorium Wisma Pertahanan disaksikan Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan dan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM.

    Seterusnya, beliau diiring oleh Ketua Staf Tentera Darat merangkap pemangku TPTD, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi ke pejabatnya untuk diperkenalkan kepada pegawai dan anggota LLP sebelum diakhiri dengan menandatangani Nota Mula Tugas PTD.

    Turut hadir, Ketua Staf Angkatan Tentera Malaysia, Lt Jen Datuk Arman Rumaizi Hj Ahmad, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mardzuki Muhammad dan pegawai-pagawai kanan TD.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul, Pbt Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein, Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir dan Saifun Hakimi Zainon

  • Pemakaian Pangkat Dan Serah Terima Tugas Pegawai Kanan TD

    Pemakaian Pangkat Dan Serah Terima Tugas Pegawai Kanan TD

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat melibatkan seramai sembilan pegawai kanan Tentera Darat (TD) di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira TD pada 21 Mac 2023.

    Majlis didahului dengan pemakaian pangkat Mej Jen melibatkan Brig Jen Hj Fazal Hj Abdul Rahman yang dinaikkan ke pangkat Mej Jen berkuatkuasa pada 14 Mac 2023 menjawat jawatan sebagai Ketua Staf Markas Angkatan Bersama dan Brig Jen Abdul Aziz Abu Hassan yang berkuatkuasa pada 22 Mac 2023 menjawat jawatan sebagai Asisten Ketua Staf (AKS) Bahagian Logistik Pertahanan – Markas Angkatan Tentera Malaysia (MK ATM).

    Seterusnya, seramai tiga pegawai dinaikkan ke pangkat Brig Jen manakala tiga pegawai dinaikkan ke pangkat Kol dan seorang pegawai dinaikkan ke pangkat Lt Kol.

    Acara diteruskan dengan Majlis Serah Terima Tugas Pemangku Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD) yang menyaksikan Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman menyerahkan tugas kepada Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi serta disusuli dengan Serah Terima Tugas Pengarah Kor Perkhidmatan Diraja (KPD) di antara Mej Jen Abdul Aziz Abu Hassan dan Brig Jen Abd Malek Othman.

    PTD mengucapkan tahniah atas kenaikan pangkat serta berpesan agar menjadi seorang pemimpin yang sentiasa komited dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.

    Selain itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para isteri yang sentiasa memberikan suntikan semangat dan dorongan kepada para suami untuk terus mencapai kemajuan dalam kerjaya.

    Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad dan pegawai-pegawai Kanan TD.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul

  • MMR Sempena Penghargaan PTD Ke-28

    MMR Sempena Penghargaan PTD Ke-28

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis makan malam penghargaannya.

    “Setiap pertemuan pasti ada perpisahan yang meninggalkan seribu satu pengalaman berharga.

    “Saya menyeru kepada semua peringkat pegawai dan anggota supaya memberikan sokongan serta kerjasama sepenuhnya kepada PTD yang baharu demi memastikan segala perancangan dapat dilaksanakan dengan baik,” ujarnya.

    PTD berkata demikian ketika diraikan bersama isteri, Puan Sri Datin Seri Zainuriah Hj Mustapha dalam Majlis Makan Malam Rejimental (MMR) Penghargaan PTD Ke-28 di Dewan Perkasa, Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 19 Mac 2023.

    Majlis ini dilaksanakan sebagai penghargaan kepada beliau yang akan menamatkan perkhidmatan setelah 43 tahun mencurah bakti dalam memacu Tentera Darat (TD) terus ke hadapan.

    Selain itu, majlis turut diserikan dengan gimik perasmian Buku Biografi PTD Ke-28 yang berkisar tentang perjalanan hidup beliau sebelum diteruskan dengan acara penyampaian cendera kenangan dan persembahan daripada Badan Kesenian Tentera Darat (BKTD).

    Pelaksanaan majlis ini sejajar dengan pengukuhan sistem pemerintahan rejimental bagi memperkasakan tradisi ketenteraan selain mengeratkan esprit de corps dalam kalangan warga TD.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Ketua Staf ATM, Lt Jen Datuk Arman Rumaizi Hj Ahmad, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad, Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Lt Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • Kesejahteraan Warga TD Terus Dipelihara

    Kesejahteraan Warga TD Terus Dipelihara

    NEGERI SEMBILAN: Ladang Integrasi Tentera Darat (LITD) diwujudkan sebagai salah satu inisiatif membantu warga TD meringankan beban kos sara hidup yang kian meningkat selain menjadi persediaan jangka masa panjang bagi menangani krisis makanan yang dijangka akan berlaku pada masa hadapan.

    Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain berkata demikian ketika menyempurnakan pelancaran LITD dan kiosk tani Markas Garison (MK Garison) yang merupakan sebahagian daripada Projek Pelestarian Kesejahteraan Warga di Kem Syed Sirajuddin pada 14 Feb 2023.

    Cetusan idea LITD ini merupakan kerjasama bersama syarikat swasta iaitu Desatera Sdn. Bhd. yang terbahagi kepada empat fasa iaitu pembersihan kawasan, penyediaan tanah, pengurusan tanah dan pembangunan sistem irigasi serta penanaman.

    Hasil tuaian daripada LITD akan dijual di kiosk tani MK Garison pada harga 30 peratus lebih rendah berbanding harga di pasaran luar.

    Projek LITD ini juga akan diperluaskan ke seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak mengikut ketetapan zon-zon yang dirancang berserta ekosistem yang lebih lengkap.

    PTD kemudian berkesempatan menyampaikan sumbangan kebajikan kepada seorang pegawai dan dua orang waris anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang mengalami masalah kesihatan.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Hafizuddeain Jantan, Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Mej Jen Dato’ Rashidin Hashimi Ab Rashid, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Brahim’s Dewina, Dato’ Seri Ibrahim Hj Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Desatera, Dato’ Paduka Feizal Nor Nurbi dan pegawai-pegawai kanan TD.

    Gambar: Pbt Mohammad Shukri Suhaimi & Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat TD Disambut Meriah

    Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat TD Disambut Meriah

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain dan isteri, Puan Sri Datin Seri Zainuriah Hj Mustapha menyaksikan Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Tentera Darat di Dewan Dato’ Othman Harun, Kem Wardieburn pada 27 Jan 2023.

    Sambutan ini diadakan bagi meraikan pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) berbangsa Cina di samping dapat mengeratkan lagi jalinan persahabatan warga TD berbilang bangsa yang telah terjalin.

    Acara dimulakan dengan gimik membakar mercun yang disempurnakan oleh PTD sebagai simbolik meraikan perayaan Tahun Baharu Cina yang merupakan Tahun Arnab menurut kalendar lunar Cina.

    Seterusnya, acara dimeriahkan lagi dengan pelbagai persembahan seperti pertunjukan tarian singa, pukulan gendang, tarian masyarakat Cina, nyanyian lagu, cabutan bertuah serta turut berpeluang menggaul Yee Sang di meja makan masing-masing.

    Selain itu, PTD turut menyempurnakan penyampaian angpau kepada anak-anak dan anggota bujang yang hadir sebelum diakhiri dengan pertunjukan bunga api.

    Sambutan perayaan ini sejajar dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung beliau iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul

  • 19 RAMD (Mek) Julang Piala Sultan Sallehuddin 2022

    19 RAMD (Mek) Julang Piala Sultan Sallehuddin 2022

    KUALA LUMPUR: Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) (19 RAMD (Mek)) berjaya menjulang Piala Sultan Sallehuddin Tahun 2022 setelah menewaskan Batalion Ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para) (17 RAMD (Para)) dengan jaringan satu (1) berbalas kosong (0) dalam perlawanan akhir bola sepak yang berlangsung di Stadium Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) pada 19 Jan 2023.

    Kemelut berhubung aksi pemain pada suku akhir kedua akhirnya selesai menerusi gol tunggal hasil sepakan percuma oleh pemain 19 RAMD (Mek).

    Terdahulu, Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain diiringi oleh Panglima Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div) merangkap Pengerusi RAMD, Mej Jen Dato’ Hj Muhammad Huzaimi Sabri diperkenalkan kepada para pemain sebelum menyempurnakan gimik perasmian perlawanan akhir.

    Kejohanan yang disertai sebanyak 26 buah pasukan RAMD ini diadakan untuk mewujudkan semangat kesukanan dan daya juang yang tinggi selain menjadi platform dalam memilih pemain berpotensi bagi mewakili RAMD di peringkat Tentera Darat.

    Usai perlawanan berakhir, PTD menyempurnakan upacara penyampaian hadiah yang mana Anugerah Penjaring Terbanyak disandang oleh Kpl Mohamad Amir Ahmad dari 14 RAMD (Mek) manakala Anugerah Pemain Terbaik dirangkul oleh LKpl Mohd Shahrul Anuar Sulaiman dari 19 RAMD (Mek).

    Pasukan 19 RAMD (Mek) yang dinobatkan sebagai johan telah membawa pulang pingat emas, wang tunai bernilai RM4,000 serta piala pusingan manakala 17 RAMD (Para) selaku naib johan membawa pulang pingat perak dan wang tunai RM2,000.

    Penglibatan dan semangat kesukanan yang dipamerkan dalam kejohanan ini sejajar dengan Tonggak Kedua Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Memperkasakan Keutuhan Organisasi.

    Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad, Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi dan pegawai-pegawai kanan TD.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul, Pbt Tuan Muhammad Farizal Tuan Dir & Pbt Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein