KUALA LUMPUR: Seramai 560 pegawai Angkatan Tentera Malaysia dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan yang bekerja di Kementerian Pertahanan hadir dalam Majlis Perjumpaan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Panglima Hj Zulkifli Hj Zainal Abidin di Auditorium MinDef pada 6 Jul 2018.
Tujuan perjumpaan tersebut adalah bersempena dengan pertukaran tampuk kepimpinan ATM yang baharu di antara mantan PAT Ke-19, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dengan Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Zulkifli Hj Zainal Abidin pada 20 Jun yang lalu.
Terdahulu dari itu turut diadakan Perbarisan Perintah Ulung PAT Ke-20 yang melibat 28 pegawai dan 924 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM yang meliputi empat detasmen dengan konsep perbarisan statik di Dataran Panglima Tentera Darat.
Turut hadir Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Hj Ahmad Badaruddin, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Seri Hj Affendi Hj Buang TUDM dan pegawai-pegawai kanan ATM.
Gambar: SSjn Vijay Gaundar Arikshnan