KUALA LUMPUR: Seramai 11 pegawai dan 44 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari pelbagai kor Tentera Darat (TD) yang terpilih mewakili Tim Menembak Tentera Darat dalam Pertandingan Asean Armies Rifle Meet (AARM) menerima Jalur Gemilang dari Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim di Auditorium Wisma Pertahanan pada 31 Okt 2017.
Penyerahan Jalur Gemilang tersebut merupakan simbolik sebagai tanda Tim Menembak TD akan mewakili TD ke Pertandingan Menembak AARM sekaligus membawa nama dan mewakili Malaysia ke pertandingan tersebut selain sebagai pembakar semangat kepada anggota TD.
AARM merupakan pertandingan menembak tahunan di kalangan TD Asean yang terdiri dari TD Malaysia, TD Brunei, TD Cambodia, TD Laos, TD Myanmar, TD Filipina, TD Singapura, TD Thailand dan TD Vietnam dimana akan berlangsung pada 6 hingga 24 Nov 2017 di Infantry Training Institute (ITI) Singapura.
Pertandingan ini juga bertujuan untuk memupuk semangat muhibbah, setiakawan dan Semangat ASEAN serta meningkatkan keupayaan operasi tentera dalam pertempuran yang tertumpu kepada kemahiran dan pertandingan senjata.
Tim menembak TD akan bertanding dalam kategori Repal, Carbine, pistol lelaki, pistol wanita dan General Machine Gun (GPMG) diketuai oleh Lt Kol Roszaini Mohamad Alide.
Dalam ucapan PTD, beliau mengucapkan tahniah kepada anggota baharu yang menyertai Tim Menembak TD dimana pertandingan ini merupakan satu pertandingan yang agak berprestij bagi menonjolkan semangat berpasukan yang tinggi sekaligus mengharumkan nama TD khasnya dan Malaysia amnya.
Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi, Ketua Staf TD, Mej Jen Dato’ Pahlawan Redzuan Hj Baharudin dan Panglima Latihan TD, Mej Jen Dato’ Wira Tajri Alwi.
Gambar: LKpl Ainur Aisyah Yahaya