NEGERI SEMBILAN: Seramai 15 pegawai dan 209 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Artileri Divisyen 3 Div terlibat dalam Perbarisan Ulung Komander Artileri Divisyen (KAD), 3 Div di Lapang Sasar Gemas yang diketuai Lt Kol Faizul Halil Amidon, Pegawai Memerintah Rejimen Ke-21 Artileri Diraja pada 12 Jul 2018.
Perbarisan Ulung KAD ini turut melibatkan aset-aset kenderaan serta persenjataan Artileri Divisyen 3 Div seperti meriam 155mm G5 dan meriam 105mm PH.
Brig Jen Ahmad Abu Bakar telah mengambil alih tampuk pemerintahan Artileri Divisyen 3 Div dari Mej Jen Dato’ Nordin Hj Salleh pada 5 Feb 2018 yang lalu.
Di dalam ucapan ulung beliau, Brig Jen Ahmad Abu Bakar merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua warga Artileri Divisyen 3 Div di atas kerjasama dan sokongan tidak berbelah bahagi semenjak beliau memegang tampuk pemerintahan Artileri Divisyen 3 Div.
Sebagai seorang pemimpin yang sangat berkebolehan dan berwawasan, beliau menasihatkan seluruh warga Artileri Divisyen 3 Div agar sentiasa mengekalkan tahap profesional ketenteraan khususnya berkaitan pengetahuan gunnery untuk memastikan organisasi Artileri Divisyen 3 Div sentiasa hebat.
Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua pegawai dan anggota kerana berjaya melaksanakan Latihan Kuasa Tembakan 2018 dengan jayanya.
Di akhir perbarisan, Pertandingan Direct Shoot di antara pasukan-pasukan Artileri Divisyen 3 Div telah diadakan.
Pertandingan ini merupakan pertandingan tembakan langsung yang dilaksanakan oleh detasmen meriam bagi menguji kecekapan anggota di dalam melaksanakan tembakan ke atas sasaran yang ditetapkan.
Setiap detasmen meriam dianggotai oleh pegawai-pegawai dan diketuai oleh Pegawai Memerintah pasukan masing-masing dan pertandingan diungguli oleh detasmen dari Rejimen Ke-2 Artileri Diraja yang diketuai oleh Mej Mohd Fadlan Yusoff.
Gambar: Bdr Faizul Azrinnor Mohamad Baki