KUALA LUMPUR: Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terdiri daripada pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) hadir dalam Majlis Perjumpaan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Panglima Hj Zulkifli Hj Zainal Abidin bersama warga MK ATM sempena Perutusan Hari Raya Aidilfitri di Auditorium Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) pada 30 Mei 2019.
Tujuan perjumpaan tersebut adalah untuk mengucapkan Selamat Hari Raya dan menyampaikan cenderahati kepada warga ATM serta menasihatkan kepada semua warga ATM sentiasa mengamalkan sikap berjimat cermat dalam perbelanjaan, sentiasa memandu dengan berhati-hati ketika pulang ke kampung halaman dan sentiasa patuhi undang-undang.
Dalam perutusan PAT, beliau menyatakan bahawa warga ATM yang berpeluang untuk berhari raya di kampung halaman, raikan lah dengan penuh hikmah dan kegembiraan, eratkan tautan silaturahim kekeluargaan, persahabatan serta perpaduan.
“Kepada perwira dan perajurit yang bertugas, saya ingin berpesan supaya sentiasa kekal berwaspada terhadap sebarang kemungkinan dan ancaman serta meletakkan disiplin diri pada tahap tertinggi.
“Sesungguhnya khidmat bakti sahabat seperjuangan sekalian adalah satu pengorbanan besar yang sangat istimewa, disanjung tinggi oleh agama dan negara.
“Kerana khidmat bakti saudara saudari lah, maka rakyat seluruhnya dapat mengecapi nikmat hidup aman di bumi bertuah ini,” ujar PAT.
Turut hadir Panglima Tentera Darat, Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang.
Gambar: Kpl Ainur Aisyah Yahaya