KUALA LUMPUR: Jen Datuk Zamrose Mohd Zain dilantik sebagai Panglima Tentera Darat Ke-28 yang baharu dalam Majlis Serah Terima Tugas Panglima Tentera Darat disaksikan Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob bertempat di Auditorium Wisma Pertahanan pada 11 Jun 2020.
Dalam majlis tersebut mantan PTD Ke-27, Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi menyerahkan tugasnya kepada Jen Datuk Zamrose Mohd Zain yang berkuatkuasa pada 11 Jun 2020.
Majlis diteruskan dengan menandatangani Nota Serah Terima Tugas PTD Ke-28 dan terdahulu dari itu diadakan Majlis Pemakaian Pangkat Jeneral kepada Lt Jen Datuk Zamrose Mohd Zain disempurnakan oleh Menteri Kanan Pertahanan dan disaksikan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM.
Mengimbas keperibadian PTD Ke-28, beliau dilahirkan pada 22 Sep 1962 di Seremban, Negeri Sembilan dan memulakan karier dengan menyertai latihan sebagai Pegawai Kadet pada tahun 1980.
Seterusnya beliau ditauliahkan sebagai Leftenan Muda pada 24 Jan 1981 dan pasukan pertama beliau ialah Batalion Kelapan Rejimen Askar Melayu Diraja (8 RAMD).
Sepanjang 39 tahun usia perkhidmatannya, beliau telah menyandang pelbagai jawatan penting di dalam Tentera Darat Malaysia (TDM) dan jawatan terakhir beliau sebelum ini sebagai Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMT TD).
Jen Datuk Zamrose Mohd Zain telah mendirikan rumahtangga bersama Datin Zainuriah Hj Mustapha dan dikurniakan lima orang cahaya mata perempuan dan seorang lelaki.
Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Hasagaya Abdullah dan Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Ashgar Khas Goriman Khan TUDM.
Gambar: Saifun Hakimi Zainon