KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain telah merasmikan Program Khatan Perdana Peringkat Tentera Darat (TD) di Kompleks Sajian Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) pada 17 Dis 2020.
Seramai 148 peserta yang menyertai program tersebut terdiri daripada anak-anak pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) TD yang berkhidmat di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang.
Program yang dianjurkan merupakan hasil kerjasama diantara TD dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi mengukuhkan kerohanian di kalangan pegawai dan anggota LLP TD dalam menegakkan syiar Islam.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Hj Akhbar Hj Samon berkata, penganjuran Program Khatan Perdana Peringkat TD ini adalah menerusi Skim Bantuan Zakat kepada asnaf di Wilayah Persekutuan.
Bantuan ini bertujuan menggalakkan agensi dan institusi di Wilayah Persekutuan melaksanakan aktiviti keagamaan dan dakwah seterusnya dapat menyemarakkan syiar Islam khususnya di Wilayah Persekutuan ini.
Menurut PTD pula, program yang dilaksanakan ini dapat meningkatkan semangat kekeluargaan dan mengukuhkan lagi ikatan perpaduan dalam kalangan warga TD disamping membuktikan bahawa TD tetap bersatu terutamanya apabila membabitkan tuntutan ataupun syariat agama dan juga adat budaya bangsa.
Majlis diakhiri dengan gimik pelancaran program dan penyampaian cendera kenangan serta Mockup Check sumbangan Zakat dari MAIWP bernilai RM 90,000 untuk kegunaan kebajikan TD.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Hasagaya Abdullah, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman dan pegawai-pegawai kanan TD.