PAHANG: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain mengiringi Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menyempurnakan Pelancaran Projek Jiwa Murni (PJM) sempena Hari Tentera Darat (HTD) Ke-88 di Kg Kuala Triang, Bandar Bera pada 6 Mac 2021.
Acara dimulakan dengan sesi taklimat berkenaan pelaksanaan keseluruhan rancangan PJM yang disampaikan oleh Ketua Jurutera, Mej Jen Dato’ Pahlawan Ir Hj Chapiti Hj Redzwan.
Majlis diteruskan dengan gimik pelancaran projek yang mana Menteri Kanan Pertahanan dan PTD meletakkan batu bata sebagai simbolik pembinaan dinding rumah.
Dalam projek ini, pihak kerajaan Negeri Pahang dan Tentera Darat (TD) memutuskan untuk membina rumah baharu untuk keluarga Mohd Tahir Nong Chik, berusia 64 tahun yang tiada pendapatan tetap kini tinggal di sebuah rumah yang sangat uzur di atas tanah seluas satu ekar bersama anak, menantu dan cucunya yang mana keseluruhannya seramai enam orang.
Kos projek yang menelan belanja sekitar RM65 ribu ini ditanggung oleh kerajaan Negeri Pahang dan projek pembinaan ini dilaksanakan sepenuhnya oleh anggota Skuadron Ke-11 Rejimen Askar Jurutera Diraja (11 Skn RAJD) (Mek) serta dibantu oleh anggota Rejimen Ke-34 Artileri Diraja (34 RAD).
Sementara itu, penerima projek, Mohd Tahir Nong Chik mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak kerajaan dan TD serta berasa amat bersyukur kerana telah terpilih untuk menerima bantuan tersebut.
Aktiviti seumpama ini sangat signifikan dan bertepatan dengan tema HTD pada tahun ini iaitu Sinergi Tentera Darat Dan Rakyat: Tunjang Kedaulatan Negara.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Tindakan Sosial Negeri Pahang, Dato’ Seri Hjh Shahaniza Shamsuddin, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pertahanan, Datuk Hj Ruji Hj Ubi.
Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul, Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi dan Saifun Hakimi Zainon