KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain menyeru kepada semua pegawai kanan yang dinaikkan pangkat untuk sentiasa berusaha memberikan khidmat bakti yang terbaik dengan penuh kejujuran keikhlasan dan kesungguhan yang tinggi.
Beliau juga mengingatkan agar gunakanlah pengalaman dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan supaya ianya dapat membawa kebaikan dan kesan yang signifikan kepada Tentera Darat (TD).
“Kegagalan memikul amanah yang diberi pastinya akan membawa kesan yang buruk kepada diri saudara dan saudari serta kepada TD secara keseluruhannya.
“Dalam menghadapi pelbagai cabaran sebagai pemimpin, saudara dan saudari perlu memiliki keberanian untuk membuat keputusan yang kritikal dengan pantas dan tepat,” jelas PTD semasa ucapannya dalam Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan TD di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira TD pada 2 Apr 2021.
Tambahnya lagi, beliau percaya mereka yang dinaikkan pangkat memiliki ilmu dan kemahiran dalam bidang kepakaran masing-masing, namun keupayaan mengambil keputusan yang tepat adalah bergantung kepada kebijaksanaan dalam menilai keadaan dan membuat pertimbangan yang bernas.
Menurut PTD pemimpin yang adil pasti akan menerima rahmat di hari kebangkitan nanti serta menyeru mereka berlaku adil terhadap semua dan jangan mengamalkan favouritism dan perbuatan pilih kasih.
Sementara itu dalam ucapan balas Asisten Ketua Staf Perisikan, Lt Jen Dato’ Rezil Shahidin yang mewakili semua pegawai kanan yang dinaikkan pangkat mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan TD, khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), amnya atas restu yang membolehkan mereka melangkah setingkat lagi dalam kerjaya.
“Sesungguhnya, kami amat bersyukur atas rezeki ini yang datangnya tidak semudah itu kerana liku-liku dan dugaan yang kami tempuhi untuk mencapai ke tahap ini adalah berbeza-beza bagi setiap pegawai.
“Kenaikkan pangkat ini bukan sekadar satu ganjaran, tetapi lebih kepada melambangkan kepercayaan dan keyakinan pucuk pimpinan TD yang perlu kami jaga dan kami berazam untuk terus memberi yang terbaik demi negara dan perkhidmatan yang tercinta khususnya TD,” jelas AKS Perisikan.
Beliau juga mengatakan kudrat semata-mata tidak mampu menepati sasaran tugas atau menongkah arus perkhidmatan sebaliknya kejayaan mereka hari ini adalah berkat hasil sokongan dan bantuan padu semua pihak.
Terdahulu dari itu PTD menyempurnakan acara pemakaian pangkat kepada 47 pegawai kanan TD dimulai dengan Mej Jen Dato’ Rezil Shahidin yang dinaikkan pangkat Lt Jen dan kekal menjawat jawatan AKS Perisikan.
Selain itu dua pegawai kanan dinaikkan pangkat Mej Jen iaitu Brig Jen Dato’ Abdul Aziz Ismail dan Brig Jen Dr. Kwong Fook Wen manakala enam pegawai kanan dinaikkan pangkat Brig Jen, 10 pegawai kanan dinaikkan pangkat Kol dan 28 pegawai kanan dinaikkan pangkat Lt Kol.
Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman, Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Lt Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Lt Jen Dato’ Pahlawan (Dr) Md Amin Muslan.
Gambar: SSjn Shamsul Zaidi Zolkoffly dan Pbt Mohammad Fadzil Akirul