KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain menyempurnakan Majlis Perasmian Pengoperasian Intelligence Fusion Centre (IFC) di Cawangan Perisikan, Markas Tentera Darat (MK TD) pada 14 Mac 2022.
Pembangunan IFC ini bertujuan untuk melaksanakan penyatuan maklumat dengan memberi gambaran situasi sebenar menerusi Common Intelligence Picture (COP) yang berkeupayaan mendapatkan Real Time Data daripada semua elemen Intelligence Surveillance & Reconnaisance (ISR).
Selain itu, ianya bersandarkan kepada Pelan Pembangunan Keupayaan Strategik TD (Army 4NextG) 2021-2050 dan antara salah satu daripada manifestasi matlamat keupayaan TD iaitu pengesanan.
Terdahulu, ketibaan PTD di Cawangan Perisikan disambut oleh Asisten Ketua Staf (AKS) Perisikan, Mej Jen Datuk Hamzah Hj Ali lalu dimulakan bacaan doa oleh Pengarah Agama MK TD, Brig Jen Zainal Abidin Mohamed Salleh yang dipaparkan dengan menggunakan teknologi holografik.
Seterusnya, PTD menyaksikan tayangan video gimik perasmian dan montaj keupayaan IFC sebelum mendengar taklimat mengenai Pengenalan Pengoperasian IFC yang disampaikan oleh AKS Perisikan.
PTD turut menandatangani Plat Perasmian Pengoperasian IFC sebelum diakhiri acara penyampaian cenderahati dan sesi bergambar.
Pewujudan pusat penyatuan perisikan seumpama ini sejajar dengan Tonggak Pertama Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Kelangsungan Misi dan Kesiagaan.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Ketua Staf TD, Lt Jen Dato’ Hj Subari Hj Tomo dan Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Mej Jen Mohd Razali Alias.
Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul dan Riffat Mohd Yusuf