NEGERI SEMBILAN: Pengarah Kor Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja (KJLJD), Brig Jen Dato’ Ir. Ts. Hj Khairul Said Hj Mohd Ali merangkap Pengerusi KJLJD menjelaskan sepanjang 65 tahun kewujudan kor seiring dengan pemodenan organisasi Tentera Darat (TD) terus memberikan khidmat kejuruteraan yang terbaik untuk organisasi dalam memacu misi serta visi seiring dengan era yang serba canggih.
“Tanggal 15 Julai 1957 merupakan tarikh keramat bagi KJLJD di mana selama 65 tahun, pengiktirafan demi pengiktirafan, kejayaan demi kejayaan, pahit manis semua telah kita lalui dan dicoretkan di dalam lipatan sejarah.
“Bertunjangkan tiga Prinsip dan lima Tonggak yang telah digariskan oleh Panglima Tentera Darat, Kor Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja mampu untuk memberikan khidmat kejuruteraan yang baik untuk organisasi.
“Setiap lapisan pemerintah pasukan dan seluruh warga KJLJD hendaklah peka dengan lima teras strategik utama yang digariskan dalam Pelan Strategik KJLJD 2021 – 2030 iaitu Pembangunan Organisasi, Pembangunan Sumber Manusia, Pembangunan Doktrin dan Latihan, Pembangunan Keupayaan Operasi JLJ dan Produktiviti serta Pembangunan Sistem Maklumat Pengurusan.
“Sehingga kini, sebanyak 30 strategi dan 55 inisiatif telah dibangunkan di mana setiap keperluan yang digariskan dalam Pelan Strategik ini telah dilaksanakan dengan jayanya sehingga di peringkat formasi,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa Perbarisan Hari Ulang Tahun (HUT) KJLJD Ke-65 di Padang Kawad Institut Kejuruteraan Tentera Darat (IJED) pada 15 Jul 2022.
Terdahulu, Pengerusi KJLJD menerima tabik hormat dan memeriksa kontinjen perbarisan yang diketuai oleh Lt Kol Ir. Azhan Muhammad Sufian dari MK 2 Div melibatkan seramai 15 pegawai dan 193 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dengan diiringi brass band dari Rejimen Kedua Kor Armor Diraja (2 KAD).
Tambahnya lagi, tema Hari Tentera Darat (HTD) Ke-89 iaitu ‘Kesejahteraan Keluarga TD Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin’ yang memberi penekanan terhadap kepentingan kebajikan warga adalah menjadi keutamaan, baik dari segi rumah keluarga, pendidikan, kerohanian, kesihatan mahupun pengiktirafan.
“Demi merealisasikan tema ini, terdapat enam fokus utama yang perlu difahami dan diambil tindakan sewajarnya iaitu pertama, mengambil berat berkenaan aspek kesejahteraan dan kebajikan warga.
“Kedua, mempertingkatkan usaha dalam kesiagaan dan keupayaan KJLJD, manakala fokus ketiga mempertingkatkan pengstrukturan dan pengurusan organisasi KJLJD.
“Fokus keempat, pemerkasaan tadbir urus, kelima, meningkatkan hubungan diplomasi dan keenam, komitmen KJLJD dalam memberikan bantuan JLJ selaras dengan organisasi teras TD.
“Dalam mematuhi enam amanat ini, pelbagai cabaran akan dihadapi oleh pemerintah pasukan mahupun di peringkat formasi, maka ianya perlulah diperhalusi dan diselesaikan mengikut prosedur sedia ada untuk tidak membelakangkan undang-undang yang sedia termaktub,” katanya.
Di samping itu, KJLJD kini melakar sejarah di mana Program Pengiktirafan Profesional Lembaga Teknologis Malaysia telah memperakui sebahagian pegawai dan anggota KJLJD sebagai Profesional Teknologis dan Juruteknik Bertauliah.
Sejurus tamat perbarisan, Brig Jen Dato’ Ir. Ts. Hj Khairul Said Hj Mohd Ali sempat menyantuni mantan-mantan Pengerusi dan Pengarah KJLJD serta veteran-veteran KJLJD yang hadir dalam sambutan tersebut.
Sambutan HUT KJLJD diserikan lagi dengan upacara memotong pulut kuning dan jamuan makan di Hangar Kenderaan Jenis A (KJA), IJED.
Turut hadir, Kol Senggaraan MK PMBTD, Kol Mohd Nadzri Samiran @ Jumiran, Kol Senggaraan MK PMTTD, Kol Hj Roslan Mat Saad, Ket Kump JLJ MK Log, Kol Muhammad Shafiq Poh Abdullah dan Juruarah Logistik INSPEKA TD, Kol Ir. Suthan a/l Venkatachalam.
Gambar: PW II Shamsul Zaidi Zolkoffly dan LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime