Profil Pasukan

Peranan Sel Psikologi Dan Kaunseling Dalam Membantu Aspek Kesihatan Mental Warga Tentera Darat Malaysia

Pendahuluan

Sejak akhir-akhir ini isu kesihatan mental sering diperkatakan menerusi media sosial dan telah mendapat perhatian daripada pelbagai lapisan masyarakat. Warga TD juga tidak terkecuali daripada belenggu permasalahan ini. Simptom tekanan, kebimbangan, kemurungan dan desakan hidup adalah beberapa faktor yang menyumbang ke arah gejala kesihatan mental. Perbuatan mencederakan diri sendiri, pasangan mahupun anak semakin membimbangkan. Justeru, penubuhan Sel Psikologi & Kaunseling TD merupakan langkah proaktif bagi membantu menangani isu kesihatan mental di peringkat awal dalam kalangan warga TD.

Sejarah Penubuhan dan Latar Belakang Awal

Pekeliling Perkhidmatan Awam Bil 1 Tahun 1999, Bil 18 Tahun 2005 dan Bil 12 Tahun 2009, menekankan pentingnya penerapan bidang psikologi dan kaunseling di dalam pengurusan sumber manusia. Justeru, Tentera Darat (TD) telah mengambil inisiatif mewujudkan Sel Psikologi dan Kauseling bagi memperkasakan modal insan ke tahap optimum terutama dalam kalangan warga TD dan ahli keluarga. JKPTD meluluskan penubuhan Tim Psikologi dan Kaunseling (P&K) TD melalui mesyuarat siri 2/2007. Ianya ditubuhkan secara adhoc bertujuan mengurus segala keperluan perkhidmatan psikologi dan kaunseling demi kesejahteraan psikologi dan daya juang warga TD.

Pada 17 Apr 09, Tim Nukleus P&K TD ditubuhkan secara rasmi di mana peranan tim ini adalah bertanggungjawab terus kepada PTD dalam aspek melibatkan konsep pemikiran, emosi, tingkah laku, sikap dan jiwa (Military Mind) warga TD, khususnya berhubung kait dengan Daya Juang Ketenteraan (Military Morale). Tim Nukleus P&K TD telah dikembangkan sebagai Sel P&K TD yang berkekuatan seramai empat Pegawai dan tiga Lain-lain Pangkat (LLP). Berdasarkan kepada penambahan bidang tugas dan bagi memenuhi kehendak perkhidmatan, Tim Nukleus P&K TD telah ditingkatkan keanggotaannya dengan menggunakan perjawatan implimentasi pada 29 Apr 2010 menjadikan kekuatannya seramai enam Pegawai dan lima LLP diketuai oleh Pengarah Psikologi dan Kaunseling berpangkat Kolonel.

Apakah Psikologi dan Kaunseling?

Psikologi dan Kaunseling merupakan dua perkara yang berbeza. Psikologi merupakan satu bidang sains gunaan yang mengkaji tingkah laku dan minda manusia untuk menerangkan tentang pemikiran, tindakan, perasaan manusia dan sebagainya. Manakala, Kaunseling merupakan satu proses perhubungan menolong secara sistematik berasaskan prinsip psikologi yang dilakukan oleh kaunselor terlatih bagi menghasilkan perubahan, perkembangan dan penyesuaian peribadi klien yang menyeluruh untuk sepanjang hayat berlandaskan etika kaunseling. Dalam hal ini, jiwa anggota TD perlu ditadbir secara sistematik bagi memahami, meramal dan memodifikasi tingkah laku individu agar daya juang anggota sentiasa berada di tahap yang tinggi untuk diatur gerak bagi melaksanakan sebarang misi atau tugas ketenteraan.

Masalah psikologi seperti kemurungan serta masalah mental yang lain adalah semakin lumrah dan warga TD juga tidak terkecuali untuk menghadapinya. Secara amnya, kemurungan adalah gangguan perasaan menyebabkan seseorang itu merasa sedih yang berpanjangan, keletihan dan ketiadaan tenaga serta cepat marah dan hilang minat dalam aktiviti harian. Kemurungan boleh berlarutan melangkaui tempoh masa tertentu sehingga bertahun-tahun bahkan ia juga boleh mendorong seseorang itu terjebak dengan masalah mental yang serius seperti tidak dapat menguruskan diri sendiri serta hilang kefungsiannya. Kemurungan ini boleh berpunca daripada beberapa perkara seperti masalah keluarga, konflik rumahtangga, krisis ekonomi, sejarah lampau, penyalahgunaan bahan ubatan serta tekanan di persekitaran tempat kerja.

Struktur Organisasi, Tugas dan Peranan

Pada masa ini Sel P&K TD dianggotai lima Pegawai dan tiga Lain-lain Pangkat (LLP) iaitu 1 x Lt Kol sebagai PS 1 R&D Psikologi merangkap Ketua Tim Sel P&K TD, serta 2 x Mej dengan menjawat jawatan sebagai PS 2 Kaunseling dan PS 2 R&D Psikologi. Manakala 2 x Kapt berperanan sebagai PS 3 Kaunseling dan PS 3 R&D Psikologi. Anggota LLP terdiri daripada 1 x Sjn sebagai Ketua Kerani dan 2 x Kpl sebagai Kerani Kaunseling dan Kerani R&D Psikologi. Pada 14 Apr 2020 penambahan perjawatan hakiki 1 x Mej sebagai PS 2 Psikologi yang bertugas di MK PMTTD.

Peranan utama Sel P&K TD adalah bertanggungjawab kepada PTD bagi menentukan aspek psikologi TD berada di landasan yang betul selari dengan jiwa dan tingkah laku tentera (Military Mind). Jiwa anggota perlu ditadbir secara sistematik bagi memahami, meramal dan modifikasi tingkah laku agar daya juang anggota TD sentiasa berada pada tahap yang tinggi dan kredibel untuk diaturgerak bagi melaksanakan sebarang tugas ketenteraan. Selain itu, Sel P&K TD juga menjurus kepada keperluan meningkatkan modal insan serta tahap profesionalisme pegawai dan anggota TD. Demi mencapai objektif yang ditetapkan oleh pucuk pimpinan, pendekatan yang diguna pakai ialah dengan mengaplikasi psikologi dan kaunseling dalam pengurusan sumber manusia merangkumi tiga aspek iaitu Psikologi Perkembangan, Psikologi Pencegahan dan Psikologi Intervensi atau Pemulihan.

Psikologi Perkembangan merangkumi aspek dalam merancang, mengatur dan memantau program psikologi yang dapat mempertingkatkan potensi diri dan prestasi serta meningkatkan motivasi dan daya juang anggota bagi melaksanakan tugas ketenteraan, sama ada di dalam atau di luar negara. Sebagai contoh, perancangan program seperti seminar dan bengkel topik psikologi untuk meningkatkan prestasi dan potensi diri anggota. Selain itu, pelaksanaan kajian psiko-sosial dilakukan secara proaktif demi meningkatkan perkembangan prestasi perlakuan anggota TD secara berterusan. Dengan ini, hasil kajian boleh digunakan sebagai input bagi mengkaji dan menilai dasar serta polisi sumber manusia TD. Berlanjutan daripada itu, antara perkhidmatan yang dilaksanakan adalah Kaunseling Kerjaya kepada anggota dan Forum Khidmat Nasihat Persaraan bakal-bakal pesara.

Manakala dalam Psikologi Pencegahan, menggunakan kaedah psikologi yang bersesuaian bagi memastikan warga TD dianggotai oleh pegawai yang berkualiti melalui proses pemilihan, penempatan, pengurusan prestasi dan pembangunan kompetensi. Penggunaan alat ukuran psikologi seperti ujian psikometrik dan ujian psikososial dipraktikkan bagi membantu pengurusan sumber manusia memahami minat, personaliti, emosi, sikap dan pencapaian seseorang pegawai dan anggota LLP untuk kesesuaian seperti dalam sistem penugasan, pertukaran, kenaikan pangkat dan lain-lain yang diperlukan oleh TD. Selain itu, anggota juga dipupuk untuk merancang pengurusan kewangan dengan mendapatkan khidmat nasihat daripada Agensi Kaunseling Pengurusan Kewangan (AKPK). Dengan cara ini, sedikit sebanyak dapat mencegah anggota terjerumus dalam masalah kewangan di mana jika tidak dikesan awal, masalah kewangan merupakan antara salah satu punca utama yang turut menyumbang kepada gejala kesihatan mental.

Seterusnya Psikologi Pemulihan atau Intervensi memberi dan menyediakan program psikologi untuk individu membuat perubahan dengan mempertingkatkan keupayaan mengurus emosi, tingkah laku dan pemikiran. Ia adalah melibatkan perkhidmatan Kaunseling Individu, Kaunseling Perkahwinan dan Keluarga serta Kaunseling
Kelompok kepada warga TD dan ahli keluarga. Perkhidmatan Kaunseling Kelompok dilihat dapat memberi kesan positif kepada lebih ramai klien kerana ia melibatkan aktiviti seperti perbincangan antara ahli kumpulan bagi membantu ke arah mengenal diri, melihat kelemahan diri, mengenal serta menghargai rakan baharu dan menggunakan seluruh potensi ke arah kesempurnaan diri selain dapat meningkatkan kemahiran komunikasi dan keyakinan diri anggota. Perkhidmatan ini juga dilakukan dengan melaksanakan kajian psiko-sosial untuk memahami dan mencari penyelesaian ke atas permasalahan tingkah laku anggota dalam organisasi TD.

Keberkesanan Sel P&K TD

Peranan Sel P&K TD membantu meningkatkan aspek motivasi dan jati diri anggota dapat dilihat berdasarkan Kajian Jiwa Tentera dan Kajian Kepuasan Warga TD yang telah dilaksanakan ke atas pegawai dan anggota TD. Kajian pada tahun 2021 dilaksanakan untuk menilai tahap kepuasan warga TD dalam enam konstruk yang merangkumi aspek pelaksanaan tugas, kualiti tempat kerja, kualiti tempat tinggal, pembangunan kerjaya, sosial dan kebajikan serta motivasi. Hasil kajian menunjukkan seramai 97% responden berpuas hati dengan kualiti perkhidmatan yang disediakan oleh TD dengan tahap motivasi di tahap 96.4%. Manakala kajian jiwa tentera mendapati 99.6% responden mempunyai tahap jiwa tentera dan jati diri pada tahap Tinggi dan Sederhana. Manakala seramai 0.4% responden berada di tahap Rendah. Hasil kaji selidik ini seterusnya digunakan untuk membangunkan strategi bagi meningkatkan kepuasan kerja serta jati diri warga TD dari semasa ke semasa supaya berada pada tahap yang diperlukan.

Way Forward

Bagi memastikan kelangsungan motivasi dan tahap kesiapsiagaan psikologi anggota TD sentiasa berada pada tahap yang baik dan cemerlang, Sel P&K TD telah merangka beberapa pelan tindakan untuk memperkasakan perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling TD ketahap yang optimun seperti berikut:

a. Cadangan mewujudkan Jawatan Kuasa Kerja Khas yang melibatkan kolaborasi antara Pemerintah, Pakar Psikiatri, Pegawai Psikologi, Kaunselor, Pegawai Agama serta Pegawai Pendidikan bagi mengkoordinasi program kesejahteraan sosial dan kesihatan mental warga TD secara menyeluruh.

b. Meningkatkan Kesiapsiagaan dan Capaian (availability & accessibility) kepada perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling agar warga TD serta keluarga boleh mendapatkan khidmat dan nasihat secara berterusan pada sebilang masa dengan mewujudkan One Stop Crisis Centre (OSCC) dan menempatkan Peg Psikologi dan Kaunselor secara sepenuh masa di setiap MK Formasi.

c. Meningkatkan pengetahuan dan kesedaran tentang aspek psikologi, kesejahteraan sosial dan kepentingan penjagaan kesihatan fizikal, mental dan spiritual dalam kalangan pemerintah, pegawai, anggota dan keluarga. Pendedahan dan pengetahuan ini penting kepada setiap lapisan pemimpin agar dapat menguruskan sumber manusia di pasukan dengan lebih efektif.

d. Meningkatkan latihan kompetensi kepada Pegawai Psikologi, Kaunselor, Pegawai Agama dan Pegawai Pendidikan pasukan agar ilmu dan kemahiran mereka sentiasa ditingkatkan selaras dengan keperluan semasa. Perkhidmatan psikologi dan kaunseling ini memerlukan kemahiran bagi mengekalkan kompetensi agar warga TD mendapat manfaat yang optimum dari perkhidmatan yang diberi.

e. Pelantikan Pegawai Kerja Psikologi dan Kaunseling Markas Formasi dan pasukan bagi membantu kekurangan Pegawai Psikologi dan Kaunselor terlatih di dalam organisasi TD.

f. Menggalakkan pegawai dan PTT Kanan yang berminat dalam bidang Psikologi dan Kaunseling agar melanjutkan pengajian diperingkat Ijazah Sarjana bagi mendapatkan pengiktirafan dari Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM) untuk melayakkan diri bergelar Kaunselor Berdaftar (KB. PA.) dan seterusnya membantu perkhidmatan dalam menambah baik potensi diri, motivasi dan meningkatkan daya juang anggota TD secara menyeluruh.

Penutup

Tanggungjawab dalam aspek psikologi dan kaunseling dalam sesuatu organisasi daripada perkhidmatan sehingga ke unit paling kecil iaitu seksyen haruslah dipikul oleh setiap lapisan pemerintah. Selain daripada pembudayaan pengurusan kendiri dan kewangan yang sihat, persekitaran tempat kerja yang kondusif dan selesa juga membantu aspek motivasi dan jati diri anggota seterusnya dapat mencegah masalah dan gangguan kesihatan mental. Kerjasama dan sokongan pemerintah juga amat diperlukan bagi membolehkan Sel P&K TD melaksanakan fungsinya pada tahap yang optimum.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

bonus new member

sicbo online