PAHANG: Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (KPPP) merangkap Pengerusi Kor Risik Diraja (KRD), Lt Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal optimis dan yakin bahawa KRD akan menjadi sebuah entiti perisikan kelas pertama dengan mandat dan sokongan daripada kerajaan serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam meningkatkan keupayaan dan pembangunan kor.
Pengerusi KRD menekankan kepelbagaian dimensi landskap geostrategik semasa, serantau dan antarabangsa telah merealisasikan beberapa inisiatif seperti penubuhan Tim Nukleus Batalion 166 Risik Tentera Darat (Bn 166 Risik TD) bagi meningkatkan tahap kesiagaan kor untuk menghadapi pelbagai ancaman baharu yang lebih kompleks.
Susulan itu juga, perolehan aset Unmanned Aircraft System (UAS) dapat meningkatkan lagi pengawasan udara di peringkat operasi daratan di semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Terdahulu, Pengerusi KRD menerima tabik hormat dan memeriksa Perbarisan Hari Ulang Tahun (HUT) KRD melibatkan empat detasmen berkekuatan seramai 15 pegawai dan 185 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang diketuai oleh Lt Kol Janie Ratib dari Tim Nukleus Bn 166 Risik TD dengan diiringi pancaragam gabungan platun tambor Batalion Kelapan Rejimen Askar Melayu Diraja (8 RAMD) dan Batalion Ketujuh Rejimen Renjer Diraja (Mekanize) (7 RRD (Mek)) pada 6 Dis 2022.
Perbarisan kemudian diteruskan dengan penyampaian Anugerah Kecemerlangan KRD yang disempurnakan oleh Pengerusi KRD ke atas sembilan pegawai dan 13 anggota LLP.
Anugerah kecemerlangan turut disampaikan bagi kategori sukan melibatkan seramai empat pegawai dan lapan anggota LLP yang merangkul johan dalam perlawanan bola jaring di peringkat TD manakala naib johan di peringkat ATM.
Sejurus tamat perbarisan, Lt Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal sempat menyantuni mantan-mantan Pengerusi dan Pengarah KRD serta veteran-veteran KRD yang hadir dalam sambutan tersebut.
Usai perbarisan, sambutan HUT KRD diserikan lagi dengan acara memotong pulut kuning dan jamuan makan sebelum Pengerusi KRD beredar meninggalkan majlis.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Mej Jen Dato’ Mohd Razali Alias, Group Managing Director of Weststar, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim, mantan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Lt Jen Dato’ Sri Abdul Hadi Hj Hussin (B), Presiden Kelab Veteran Risik Malaysia, Mej Jen Dato’ Hj Mohd Zahar Hj Hashim (B) dan pegawai-pegawai kanan KRD.
Gambar: Kapt Mursyideen, PW II Shamsul Zaidi Zolkoffly, LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime & Pbt Mohammad Fadzil Akirul