PAHANG: Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (KPPP) merangkap Pengerusi Kor Risik Diraja (KRD), Lt Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada mantan Asisten Ketua Staf (AKS) Perisikan, Mej Jen Datuk Hamzah Hj Ali di atas segala jasa bakti serta sumbangan yang dicurahkan hampir 41 tahun 10 bulan mengabdikan diri dalam perkhidmatan.
“Keperibadian dan ketokohan cemerlang yang ditonjolkan harus dijadikan iltizam serta teladan oleh seluruh warga demi mengekalkan keunggulan KRD dalam melaksanakan apa jua misi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya dan Tentera Darat (TD) khasnya.
“Sesungguhnya persaraan beliau merupakan satu kehilangan yang besar kepada TD khususnya dan ATM amnya,” ujar KPPP.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Perbarisan Penghargaan Mej Jen Datuk Hamzah Hj Ali di Padang Kawad, Kolej Perisikan ATM (KP ATM) pada 22 Feb 2023.
Perbarisan penghargaan ini berkekuatan seramai 12 pegawai dan 130 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang diketuai oleh Lt Kol Abdul Latif Radzaly dari MK ESSCOM Pertahanan dengan diiringi pancaragam gabungan dari Batalion Pertama Kor Armor Diraja (1 KAD) dan Batalion Ketujuh Rejimen Renjer Diraja (Mekanize) (7 RRD (Mek)).
Mej Jen Datuk Hamzah Hj Ali menitipkan pesanan kepada setiap lapisan warga KRD agar terus menghidu, membongkar serta membasmi rangkaian ancaman non militan berbentuk judi online dan penyalahgunaan najis dadah yang dihadapi masa kini agar ianya dapat dipatahkan daripada terus melemahkan organisasi KRD.
Menyentuh serba sedikit latar belakang Mej Jen Datuk Hamzah Hj Ali, beliau memulakan perkhidmatan pada 1 Mei 1981 dan telah menimba pengalaman dalam pelbagai jawatan penting di serata penempatan dalam serta luar negara.
Sejurus tamat perbarisan, majlis diteruskan dengan sesi penyampaian cenderahati, jamuan makan serta tayangan video montaj di Dewan Serbaguna KP ATM sebelum diakhiri dengan upacara Street Lining sebagai tanda penghormatan ke atas Mej Jen Datuk Hamzah Hj Ali.
Turut hadir, Panglima 4 Bgd (Mek), Brig Jen Mohd Rafi Muhammad dan pegawai-pegawai kanan KRD.
Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul dan Saifun Hakimi Zainon