KUALA LUMPUR: Seramai 48 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama waris sama ada masih berkhidmat mahupun bersara yang tercedera ketika bertugas diraikan oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Affendi Buang TUDM dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Anggota Cedera Sempena Hari ATM Ke-89 di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM pada 8 Mac 2023.
Majlis ini disambut pada setiap tahun sebagai tanda penghargaan daripada ATM terhadap jasa bakti dalam memastikan keamanan dan kedaulatan negara terpelihara selain bertujuan mengenang pengorbanan yang dicurahkan ketika melaksanakan operasi atau latihan berisiko tinggi.
Dalam ucapan PAT, beliau berhasrat acara tradisi dan legasi sebegini diteruskan dalam melestarikan aspek kebajikan warganya pada sebilang masa.
“Saudara dan saudari yang diraikan serta para pengiring hendaklah sentiasa mengemaskini status terkini agar pihak ATM dapat mengikuti perkembangan semasa bagi menghulurkan bantuan yang sewajarnya.
“Usaha ini akan diteruskan dari masa ke masa mengikut keperluan dan kemampuan sehinggalah ke akhir hayat mereka,” jelas PAT.
Tambahnya lagi, sejak penubuhan 90 tahun yang lalu, ATM tetap teguh dengan pendirian untuk terus memastikan kebajikan warganya sentiasa terpelihara termasuklah kebajikan para waris dan veteran.
Acara diakhiri dengan penyampaian sumbangan saguhati kepada anggota-anggota yang diraikan oleh PAT dan panglima-panglima perkhidmatan.
Turut hadir, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Rahman Ayob, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Lt Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal.
Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul & Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi