NEGERI SEMBILAN: Sambutan hangat dengan lebih 10,000 pengunjung dari seluruh Malaysia hadir memeriahkan Karnival Hari Terbuka Tentera Darat (TD) sempena sambutan Hari Tentera Darat (HTD) Ke-90 yang diadakan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) pada 11 dan 12 Mac 2023.
Pelbagai aktiviti-aktiviti menarik dipersembahkan kepada para pengunjung seperti demo survival, war dance, persembahan pancaragam, Tempur Tanpa Senjata (TTS) dan Counter Improvised Explosive Device (CIED).
Selain pertunjukan dan pameran aset-aset TD, karnival ini turut menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan pergigian secara percuma kepada para pengunjung.
Keistimewaan Karnival Hari Terbuka TD 2023 akan menyaksikan tim akrobatik motorsikal TD cuba mencapai rekod baharu dalam Sijil Malaysian Book of Records bagi kategori Most People Riding On A Motorcycle dan Longest Motorcycle Jump (Female) yang akan dilakukan oleh Sjn Saidatul Husna Kamarudin.
Di samping itu, acara utama yang dinantikan para pengunjung ialah persembahan TATU melibatkan persembahan hiburan gabungan muzik, marching dan pertunjukan kemahiran serta kepakaran anggota-anggota TD yang diadakan kali terakhir pada tahun 2020 akibat penularan wabak COVID-19.
Pelaksanaan karnival sebegini semestinya sejajar dengan Teras Keempat Pelan Strategik MINDEF (PSM) Tahun 2021-2025 iaitu Pengukuhan Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) serta memenuhi Tonggak Kelima Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Peningkatan Hubungan TD Dengan Awam.
Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul & Pbt Mohammad Shukri Suhaimi