KUALA LUMPUR: Pengerusi Kor Perkhidmatan Am (KPA), Brig Jen Zamzuri Harun melahirkan rasa syukur atas pelbagai kejayaan yang dicapai oleh kor dalam usia menjangkau 65 tahun sekaligus menjadi antara pendukung utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang matang dan komited dalam memikul mandat serta tanggungjawab.
“KPA bukan sahaja berhadapan dengan cabaran dalam konteks peningkatan teknologi, malah perubahan situasi semasa sosioekonomi juga memberi impak kepada KPA untuk memastikan kebajikan warga ATM sentiasa dijaga dan diurus dengan sebaiknya.
“Pusat Data Urusan Gaji Angkatan Tentera (UGAT) yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) pada 13 Mac 2023 merupakan salah satu inisiatif bagi mengadaptasi cabaran-cabaran masa kini.
“Selain itu, KPA (Gaji) menerusi Jabatan Arah UGAT sentiasa prihatin dalam memastikan pelaksanaan pembayaran gaji dan elaun dikemaskini selaras dengan dasar serta peraturan yang berkuatkuasa.
“Pelbagai kemudahan seperti pemberian wang tunai gantian, cuti rehat 90 hari, pemberian Ex-Gratia kematian dan penambahbaikan faedah persaraan atas sebab kesihatan turut disediakan kepada anggota yang sudah bersara.
“Di samping itu, Jabatan Arah Pendidikan juga berjaya melaksanakan empat inisiatif pendidikan di bawah teras kedua dan ketiga Pelan Strategik MINDEF (PSM) 2021-2025 selain berkolaboratif dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam melaksanakan kajian keperluan Behaviour Competency (BC) bagi melahirkan askar berintelektual.
“KPA juga menonjolkan kemahiran dan kepakaran jurugambar di peringkat antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) khususnya dalam Perhubungan Raya (PR) sebagai Pegawai Staf Pemerhati (PST),” ujar Pengerusi KPA.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun (HUT) KPA Ke-65 di Padang Kawad Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD) pada 17 Jul 2023.
Terdahulu, Pengerusi KPA menerima tabik hormat serta memeriksa perbarisan melibatkan tiga detasmen berkekuatan seramai 15 pegawai dan 173 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Lt Kol Zulkarnain Yusof dari Komponen Gaji dengan diiringi Pancaragam Pusat Latihan Muzik Tentera Darat (PUZIDA).
Perbarisan kemudian diteruskan dengan acara pemakaian pangkat melibatkan seorang pegawai dan empat anggota LLP sebelum disusuli dengan penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia (PPS) kepada lima anggota LLP.
Sebelum mengakhiri ucapan, Pengerusi KPA menyeru kepada setiap lapisan warga KPA agar terus bekerjasama dan meningkatkan tahap disiplin diri agar terhindar daripada perlakuan pelanggaran disiplin.
Turut hadir, Pengarah Pendidikan ATM, Brig Jen Hj Mohd Shukri Hj Mohd Ghazali, Pengarah Tenaga Kerja, Brig Jen Roba’i Rahmat, Ketua Pengarah Belanjawan TD, Brig Jen Hj Azaman Jaafar dan pegawai-pegawai kanan TD.
Gambar: LKpl Mohammad Fadzil Akirul