KUALA LUMPUR: Jen Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab Rahman secara rasminya menjadi Panglima Angkatan Tentera (PAT) Ke-22 selepas berlangsungnya Majlis Serah Terima Tugas Panglima Angkatan Tentera yang disaksikan oleh Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan di Auditorium Wisma Pertahanan pada 6 Sep 2023.
Majlis dimulakan dengan menandatangani Sijil Serah Terima Tugas di antara PAT Ke-21, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM dan PAT Ke-22, Jen Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab Rahman berkuatkuasa pada 6 Sep 2023.
MENHAN mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM atas sumbangan khidmat bakti dan kegigihannya sepanjang perkhidmatan sehingga dapat meningkatkan kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Majlis kemudian diakhiri dengan upacara Street Lining oleh seluruh warga tentera yang berkhidmat di Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) sebagai tanda penghormatan terakhir kepada mantan PAT Ke-21.
Turut hadir, Timbalan MENHAN, Tuan Hj Adly Zahari, Panglima Tentera Darat, Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob, Ketua Staf ATM, Lt Jen Datuk Arman Rumaizi Hj Ahmad dan pegawai-pegawai kanan ATM.
Gambar: PW II Shamsul Zaidi Zolkoffly, Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi, Pbt Tuan Mohamad Farizal Tuan Dir dan Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein & Saiful Hakimi Zainon.