KUALA LUMPUR: Jen Datuk Mohammad Hafizuddeain Jantan yang dilantik sebagai Panglima Tentera Darat (PTD) Ke-30 telah memulakan tugas secara rasminya sebagai PTD baharu di Wisma Pertahanan pada 7 Sep 2023.
Beliau telah mengambil alih tugas daripada mantan PTD Ke-29, Jen Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab Rahman pada 6 Sep 2023 di Auditorium Wisma Pertahanan yang disaksikan oleh Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan dan mantan Panglima Angkatan Tentera (PAT) Ke-21, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM.
Terdahulu, ketibaan PTD diperkarangan Wisma Pertahanan disambut oleh Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim untuk menerima Tabik Hormat dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) yang terdiri daripada tiga pegawai serta 103 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Mej Nurul Fauzan Md Sabri dan diiringi Pancaragam Pusat RAMD.
Jen Datuk Mohammad Hafizuddeain Jantan kemudian dibawa ke pejabatnya untuk diperkenalkan kepada pegawai dan anggota LLP sebelum diakhiri dengan menandatangani Nota Mula Tugas PTD.
Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Huzaimi Sabri, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan dan pegawai-pegawai kanan Tentera Darat.
Gambar: PW II Shamsul Zaidi Zolkoffly, Pbt Muhamad Shafirin Md Radzi dan Pbt Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein