NEGERI SEMBILAN: Panglima Angkatan Tentera Malaysia (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Mohammad Ab Rahman menyempurnakan Perbarisan Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) Dan Pembubaran Malaysian Battalion (MALLBAT) 850-10 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) pada 4 Dis 2023.
MALBATT 850-10 berkekuatan seramai 84 pegawai dan 779 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk pegawai dan anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang diketuai oleh Kol Mohd Rizman Hj Ramli selaku Komander MALBATT 850-10.
Terdahulu, ketibaan PAT disambut oleh Panglima Angkatan Bersama (PAB), Lt Jen Dato’ Noor Mohamed Akhmar Mohd Dom TUDM sebelum diteruskan dengan Penganugerahan Pingat PNBB.
Penganugerahan Pingat PNBB kontinjen MALBATT 850-10 adalah satu pengiktirafan serta kejayaan semasa menjalankan misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL) di bawah PBB di Lubnan selama 415 hari di mana ianya mula diaturgerak pada 27 Okt 2022 sehingga 14 Nov 2023.
Sepanjang penugasan, anggota MALBATT 850-10 telah berjaya melaksanakan mandat PNBB dalam memenuhi resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB ke atas keselamatan sejagat di Selatan Lubnan dan sesungguhnya, komitmen yang telah ditunjukkan oleh semua peringkat pegawai dan anggota MALBATT 850-10 telah mengharumkan nama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khasnya dan Malaysia amnya di persada antarabangsa.
Majlis diakhiri dengan jamuan dan cendera kenangan kepada PAT yang disampaikan oleh Komander MALBATT 850-10, Kol Mohd Rizman Hj Ramli.
Turut hadir, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob, Panglima Operasi Udara mewakili Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Mohd Shahada Ismail TUDM, Panglima Angkatan Bersama Lt Jen Dato’ Noor Mohamed Akmar Mohd Dom TUDM, Panglima Latihan Tentera Darat, Mej Jen Datuk Marzuki Hj Mokhtar mewakili Panglima Tentera Darat dan Penasihat Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunai (ABDB) Lt Kol Rudie Asmawi Hj Abidin.
Gambar, LKpl Muhammad Shafirin Mohd Radzi & Pbt Nanatasha Ngadan