KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan telah menyempurnakan acara pemakaian pangkat Sjn kepada dua anggota Tentera Darat dari Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) di atas kejayaan mengharumkan nama negara bertempat di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira TD pada 9 Jan 2025.
Anggota tersebut merupakan Kpl Ahmad Fauzan Abd Hadi dinobatkan sebagai juara dalam Kategori Silat Seni (Solo Kreatif) manakala Kpl Thamaraj Vasudevan muncul juara dalam Kategori Bebas Silat Olahraga di Kejuaraan 20TH World Pencak Silat Championship 2024 di Abu Dhabi, UAE pada baru-baru ini.
Kpl Ahmad Fauzan Abd Hadi menjawat jawatan sebagai Sjn Jurulatih, Cawangan Tempur Tanpa Senjata, Pusat Latihan Kor Polis Tentera Diraja (PULAPOT) dan Kpl Thamaraj Vasudevan pula menjawat jawatan sebagai Sjn Jurulatih, Cawangan Provos, PULAPOT.
Dalam ucapan PTD, beliau menekankan bahawa kejayaan sebegini wajar dijadikan sebagai sumber inspirasi dan penyuntik semangat kepada semua warga TD untuk terus menabur sumbang bakti tidak hanya di dalam bidang ketenteraan, malahan di dalam bidang lain mengikut kepakaran dan kemahiran masing-masing.
“Ianya bukan sahaja mengharumkan nama negara, namun turut memartabatkan nama Tentera Darat di persada antarabangsa,” ujarnya.
Gambar: Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir & Pbt Nanatasha Ngadan