NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan menegaskan bahawa harapan tinggi yang diletakkan oleh kerajaan dan rakyat kepada Tentera Darat (TD) sebagai benteng utama negara dalam mempertahankan kedaulatan serta keamanan tanah air.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda (TLPM) Lelaki Siri 201/24 dan Wanita Siri 49/24 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) pada 1 Feb 2025.
“Tentera Darat merupakan penyumbang terbesar dalam dominan daratan dengan tradisi kepahlawanan yang kukuh serta reputasi yang membanggakan di dalam dan luar negara.
“Kita adalah angkatan yang aktif di rantau ini dengan pelaksanaan gerak kerja pemodenan yang signifikan serta sentiasa menguasai, membentur, mempengaruhi dan berkembang dengan berdasarkan falsafah Kemahuan Untuk Menang,” katanya.
Terdahulu, ketibaan PTD disambut oleh Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, sebelum beliau menerima tabik hormat daripada kontinjen perbarisan yang diketuai oleh PM Keseluruhan Terbaik Lelaki, PM Muhammad Nur Yusrizal Ashraf Yussaini.
Seramai 1,339 PM berjaya menamatkan latihan asas ketenteraan selama enam bulan terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan termasuk Diploma, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Kejayaan ini bukan sahaja melambangkan kejituan semangat mereka dalam menggalas amanah sebagai anggota TD, tetapi juga satu pencapaian besar yang menandakan bermulanya perjalanan mereka dalam dunia ketenteraan.
Perbarisan turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada PM terbaik serta Penganugerahan Pisau TD kepada tiga individu yang telah mengharumkan nama negara dan mempamerkan keberanian luar biasa.
Sjn Ahmad Fauzan Abd Hadi dan Sjn Thamaraj Vasudevan menerima anugerah atas kejayaan mereka dalam 20th World Pencak Silat Championship 2024 yang berlangsung di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu pada Disember lalu manakala SSjn Mohd Nor Khalid menerima anugerah atas keberaniannya dalam menyelamatkan empat remaja yang hampir lemas di sebuah tasik di Puncak Alam pada 24 Nov 2024.
Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Seri Hj Muhammad Huzaimi Sabri, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan.
Gambar: LKpl Mohammad Shukri Suhaimi, LKpl Mohammad Fadzil Akirul, LKpl Muhammad Nor Akram Halib, Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir & Pbt Muhammad Syfiqrullah Mazlan