PAHANG: Eksesais JUNGLE FALCON Siri 2/2025 antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan Tentera Darat Emiriah Arab Bersatu (UAELF) telah dirasmikan oleh Panglima Briged Keempat Infantri Malaysia (Mekanize) (4 Bgd (Mek)), Brig Jen Wan Mohd Faizal Shahrin W. Mohamad Fablillah di Padang Kawad Batalion Ke-12 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) (12 RAMD (Mek)) pada 14 Apr 2025.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa latihan ini merupakan manifestasi hubungan kerjasama ketenteraan erat antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu yang bertujuan meningkatkan kebolehoperasian bersama melalui pelaksanaan prosedur serta latihan dua hala.
“Latihan edisi kedua ini memberi tumpuan kepada peperangan konvensional berasaskan operasi mekanize yang merangkumi dua fasa utama iaitu Cross Training Exercise (CTX) dan Field Training Exercise (FTX),” jelasnya.
Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa eksesais ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran taktikal, malah menjadi platform untuk bertukar pengetahuan serta pengalaman antara kedua-dua angkatan tentera, di samping membina persefahaman dalam suasana operasi sebenar.
“Delegasi UAE turut diberi peluang menyesuaikan diri dengan iklim dan bentuk muka bumi Malaysia, manakala TDM dapat menimba ilmu baharu daripada rakan sejawat UAELF,” ujar Panglima 4 Bgd (Mek) ketika berucap semasa upacara Perbarisan Pembukaan Eks JUNGLE FALCON Siri 2/2025.
Perbarisan ini yang terdiri daripada empat kontinjen melibatkan trup TDM dan UAELF berkekuatan seramai 15 pegawai, 270 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) serta 14 Kenderaan Jenis A yang diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Ketujuh Rejimen Renjer Diraja (Mekanize) (7 RRD (Mek)), Lt Kol Mohd Fadi Rullah Yahya.
Majlis turut menyaksikan pemakaian toha yang disempurnakan oleh Panglima 4 Bgd (Mek) dan Ketua Staf Briged Emiriah UAELF, Kol Ateeq Zefna Alwaihi Zefna bagi pelantikan jawatan sepanjang eksesais sebelum disusuli gimik sebagai simbolik perasmian eksesais.
Latihan bilateral ini akan berlangsung di kawasan am Felda Sungai Panching Timur, Kuantan mulai 14 hingga 26 Apr 2025 melibatkan seramai 556 pegawai dan anggota LLP TDM serta 110 pegawai dan anggota LLP daripada UAELF.
Gambar: Pbt Muhammad Syfiqrullah Mazlan