NEGERI SEMBILAN: Pengerusi Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Mej Jen Dato’ Hj Mohd Rashidi Bujai menyeru seluruh warga KAGAT agar terus mendukung dasar keselamatan negara demi memastikan peranan KAGAT kekal relevan sebagai teras kerohanian dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Berlandaskan tema 40 Tahun: Sinergi Dakwah, Mendewasakan Sebuah Perjuangan, KAGAT telah menjalinkan kerjasama strategik dalam bidang kerohanian bersama pelbagai agensi di peringkat nasional, serantau mahupun antarabangsa sebagai suntikan aspirasi serta motivasi kepada seluruh warga KAGAT,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa pencemaran tingkah laku dan pelanggaran disiplin dalam kalangan warga KAGAT boleh menjejaskan usaha murni kor dalam memartabatkan kerohanian ATM.
“Justeru, kepimpinan KAGAT tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran disiplin oleh mana-mana pegawai atau anggota,” tegasnya ketika menyampaikan perutusan sempena Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) KAGAT Ke-40 yang diadakan di Padang Kawad Institut Latihan dan Kefahaman Islam (ILMI) ATM pada 16 Apr 2025.
Majlis turut diserikan dengan acara pemakaian pangkat kepada empat pegawai dan enam anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) sebelum diteruskan dengan gimik perasmian serta tayangan montaj bersempena Penganugerahan Pensijilan MS ISO 9001:2015 kepada Jabatan Arah KAGAT dan ILMI.
Pensijilan tersebut merupakan hasil kerjasama dan komitmen berterusan KAGAT dalam aspek pengurusan dan pentadbiran pendidikan, perkhidmatan keagamaan ATM serta pengendalian kursus kerjaya dan fungsional KAGAT yang diperakui bagi tempoh 24 Okt 2024 hingga 27 Okt 2027.
Majlis diakhiri dengan penyampaian sumbangan kebajikan sempena Sambutan HUT KAGAT Ke-40.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Kor 1 KAGAT, Brig Jen Dato’ Hj Mohd Hamzah Adam, Timbalan Pengerusi Kor 2 KAGAT, Brig Jen Dato’ Ab Jabar Mohamad Aris, Komandan ILMI, Kol Ismail Wahab dan pegawai-pegawai kanan TD.
Gambar: Kpl Mohammad Fadzil Akirul, Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir & Rjr Raja Khairul Husaini Raja Roslan