JOHOR: Seramai 495 pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari unit dibawah naungan 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) bersama Askar Timbalan Setia Negeri Johor (ATSNJ) terlibat dalam pelaksanaan Eksesais Thunderstorm Siri 1/2025 bertempat di Desaru, Pengerang pada 1 hingga 13 Mei 2025 dengan penglibatan Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Pemangku Sultan Johor (PSJ) selaku Komandan ATSNJ.
Eksesais ini berkonsepkan kepada Military Operation Other Than War (MOOTW) bagi menangani ancaman bukan tradisional iaitu ancaman keganasan terhadap kedaulatan dan kepentingan negara ini.
Pelaksanaan eksesais adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kefahaman Pasukan Khas Tentera Darat berkenaan perancangan aturgerak Operasi Lawan Keganasan mengikut proses Staff Military Appreciation Process (SMAP) dan Interoperability merangkumi Elemen Penggempur GGK, Bantuan Tempur Tentera Darat (TD) dan pasukan Elit ATSNJ dalam menangani ancaman keganasan.
Selain itu, eksesais ini meliputi Field Training Exercise (FTX) yang memfokuskan kepada pelan menyelamatkan tebusan dimana beberapa subjek dan latihan telah diterapkan bagi meningkatkan kemahiran anggota dalam aturgerak operasi khusus merangkumi latihan menembak pelbagai jenis senjata, Tactical Combat Casualty Care (TCCC), Operasi Lawan Keganasan, latihan Chemical, Biological, Radiological, Nuclear and Explosives (CBRNe), latihan bersama anjing perang, anjing pencari, aturgerak bersama pesawat udara TD dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Turut serta dalam latihan kali ini adalah Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK), Mej Jen Ahmad Suhaimi Mat Wajab dan Ketua Staf Am 21 GGK (KSA), Brig Jen Samsyawal Muhamad.
Gambar : Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir & Raja Khairul Husaini Raja Roslan