Bersama PemimpinSemasa

KPD Nadi Rangkaian Logistik ATM

PERAK: Pengerusi Kor Perkhidmatan Diraja (KPD), Mej Jen Dato’ Abdul Aziz Abu Hassan menyatakan bahawa sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) KPD Ke-68 yang bertemakan ‘Rangkaian Logistik Bersepadu, Nadi Daya Tempur Domain Daratan’ melambangkan tekad serta komitmen warga kor untuk terus menjadi tunjang utama dalam membangunkan sistem logistik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kukuh, efisien dan strategik.

Menurut beliau, sepanjang 68 tahun penubuhannya, KPD telah memainkan peranan penting dalam semua krisis dan konflik yang melibatkan ATM.

“Penglibatan aktif KPD bukan sahaja di medan tempur, malah turut menyerlah dalam acara bertaraf dunia seperti CHOGM 1989, SUKOM 1998, Pameran LIMA dan DSA sekali gus membuktikan bahawa kita sentiasa bersedia dan dipercayai dalam memastikan kelancaran serta kejayaan setiap misi yang dipertanggungjawabkan,” tambah beliau.

Pengerusi KPD berkata demikian ketika menyampaikan perutusan sempena Perbarisan HUT KPD Ke-68 yang berlangsung di Padang Kawad Pusat Latihan Kor Perkhidmatan (PULMAT) pada 19 Jul 2025.

Perbarisan berkonsepkan tempur ini melibatkan seramai 15 pegawai dan 197 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) serta diiringi oleh Pancaragam Pusat Kor Armor Diraja.

Beliau turut menekankan bahawa kekuatan KPD bukan sahaja terletak pada keupayaan logistik semata-mata, sebaliknya turut bergantung kepada kebajikan dan kesejahteraan seluruh warga kor.

“KPD sentiasa menitikberatkan aspek kebajikan pegawai, anggota serta keluarga mereka melalui pelbagai inisiatif, khususnya dalam membantu mereka yang berdepan musibah atau cabaran hidup.

“Antara inisiatif utama ialah pelaksanaan program RSCNEXT 3.0 yang menjadi asas kepada pendekatan pembangunan kor secara menyeluruh.

“Program tersebut membawa pendekatan holistik yang bukan sahaja memantapkan keupayaan ketenteraan, malah mengangkat nilai kemanusiaan, memupuk kerjasama antarabangsa serta memelihara kesejahteraan masyarakat.

Pendekatan ini adalah bukti bahawa KPD bukan sahaja bersedia dari sudut ketenteraan, bahkan sentiasa peka terhadap tuntutan semasa dan tanggungjawab sosial dalam memperkukuh peranan logistik yang menyeluruh untuk ATM,” ujar beliau

Turut hadir, Asisten Ketua Staf Logistik Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Abd Hafiz Ahmad, Pengarah Kor Perkhidmatan Diraja, Brig Jen Logistik Muzafar Shah Mosam Shah dan Timbalan Komander Eastern Sabah Security Command, Brig Jen Mohamad Ismail Kamrudin.

Gambar: Kpl Mohammad Shukri Suhaimi & LKpl Muhammad Nor Akram Halib

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

bonus new member

sicbo online