Bersama PemimpinSemasa

Roket M31A1 dan ASTROS II Sembah Bumi Tanjung Hantu

PERAK: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan menyambut keberangkatan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim ke Lapang Sasar Tanjung Hantu bagi menyaksikan demonstrasi tembakan ASTROS II dan HIMARS sempena Eksesais LEMBING SAKTI pada 28 Jul 2025.

Eksesais ini merupakan latihan medan anjuran Briged Artileri Roket di bawah Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (PMBTD) yang bertujuan untuk menilai tahap kesiagaan operasi serta keupayaan sistem bantuan tembakan jarak jauh seperti Multiple Launch Rocket System (MLRS) dan Weapon Locating Radar (WLR).

Pelaksanaan eksesais pada tahun ini turut diperkukuhkan dengan penyertaan sistem HIMARS dari Tentera Darat Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada pelaksanaan bersama dalam Eksesais KERIS STRIKE Siri 30/25 yang sedang berlangsung.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan taklimat keselamatan oleh Pegawai Memerintah Rejimen Ke-52 Artileri Diraja, Lt Kol Eugene Gnanaratchagar sebelum gimik pelancaran roket disempurnakan oleh DYMM Sultan Perak.

Sebanyak enam pelancar dan 256 roket SS30 telah digunakan dalam latihan ini, dimulakan dengan tembakan rintis oleh ASTROS II sebelum disusuli pelancaran roket oleh HIMARS menggunakan roket Mike 31 Alpha 1 (M31A1).

DYMM Raja Permaisuri Perak turut diberi penghormatan untuk menyempurnakan gimik pelancaran roket ASTROS II yang melepaskan 96 roket secara serentak, disusuli gelombang kedua tembakan bagi memaksimumkan kemusnahan ke atas sasaran yang ditetapkan.

Eksesais ini memberi pendedahan secara langsung kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam aspek pengoperasian sistem ASTROS II merangkumi penempatan kedudukan tembakan, pelaksanaan prosedur tembakan serta pengukuhan struktur perintah dan kawalan di medan sebenar.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Hj Malek Razak Sulaiman dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Ahmad Abu Bakar.

Gambar: LKpl Muhammad Nor Akram Halib

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

bonus new member

sicbo online