PAHANG: Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-92 bertemakan ‘Angkatan Masa Hadapan: Kedaulatan Dijulang, Pertahanan Diperkasa’ dimeriahkan dengan persembahan demonstrasi dinamik yang menggabungkan kekuatan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM bersama pasukan khas.
Demonstrasi yang memukau para pengunjung secara tidak langsung mempamerkan keupayaan ATM dalam menggalas tugas utama bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.
Aksi penuh dramatik itu memperlihatkan kepantasan dan ketepatan operasi ATM disokong dengan aset canggih seperti kereta perisai Gempita, SOV, meriam 105mm Pack Howitzer serta helikopter MD530-G dan A109 LOH milik Tentera Darat.
Tentera Laut pula menampilkan helikopter Super Lynx, manakala Tentera Udara mencuri tumpuan dengan gergasi besi C130-H, pesawat pejuang SU-30MKM, Hawk, serta helikopter EC725AP dan AW139 yang beraksi garang di ruang angkasa.
Dalam perutusan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Hj Mohd Nizam Hj Jaffar menegaskan bahawa semboyan ‘Duty – Honour – Sacrifice’ mesti dihayati sepenuh jiwa oleh setiap warga ATM.
Tegas beliau, kekuatan sebenar ATM tidak hanya bergantung kepada kelengkapan moden semata-mata, sebaliknya terletak pada kesatuan, maruah serta kesejahteraan anggotanya.
“Sembilan puluh dua tahun, di manakah kita sekarang? Perbetulkan kepincangan, hapuskan ketirisan. Kebajikan anggota menjadi tonggak kita. Rumah keluarga, keperluan mobiliti dan perolehan yang telus wajib ditekankan. Alasan dan ketidakprihatinan sangat ditentang,” ujarnya lantang di hadapan ribuan hadirin.
Beliau turut mengingatkan bahawa kepentingan memperkukuh diplomasi pertahanan dengan negara sahabat tidak boleh dipandang ringan, malah etos kepahlawanan perlu terus disemai sebagai akar semangat perjuangan.
Dalam kesempatan itu, PAT menzahirkan penghargaan mendalam kepada para veteran yang dianggap sebagai sebahagian daripada sejarah perjuangan negara.
“Usaha membela kesejahteraan mereka termasuk isu elaun yang masih tertunggak akan terus diperkasakan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ujar PAT ketika Perbarisan Hari ATM Ke-92 yang berlangsung di Pangkalan Udara Kuantan pada 20 Sep 2025.
Terdahulu, perbarisan dimulakan dengan pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dan diteruskan dengan perbarisan tempur statik yang melibatkan seramai 43 pegawai dan 648 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Pegawai Memerintah No 8 Skuadron, Lt Kol Phanom Achuan TUDM.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Kesiagaan Panglima Angkatan Tentera (AKPAT) kepada formasi terbaik yang dimenangi oleh 10 Briged (Para) mewakili Tentera Darat (TD), Markas Pemerintahan Armada Timur bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pangkalan Udara Subang bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Usai perbarisan, sambutan diserikan dengan acara memotong kek Hari ATM di Southern Hangar No 10 Skuadron sebelum diteruskan dengan penyampaian Anugerah Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) ATM 2025 serta Anugerah Kecemerlangan Sukan ATM 2024 yang menyaksikan TLDM dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan.
Sebagai tanda penghargaan, PAT bersama-sama Panglima Perkhidmatan turut berkesempatan menyantuni seramai 23 anggota ATM yang cedera ketika bertugas sebagai pengiktirafan terhadap pengorbanan mereka demi tanah air.
Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain, Panglima Tentera Udara, Jen Dato’ Sri Hj Muhamad Norazlan Aris TUDM dan Pegawai-pegawai Kanan ATM.
Gambar: LKpl Muhammad Nor Akram Halib, LKpl Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein & Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir