NEGERI SEMBILAN: Seramai 1,732 Perajurit Muda (PM) terdiri daripada 1,136 lelaki dan 596 wanita berjaya menamatkan Latihan Asas Ketenteraan selepas enam bulan menjalani latihan intensif di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA).
Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Azhan Hj Md Othman menzahirkan rasa bangga terhadap tahap ketahanan mental dan fizikal, disiplin tinggi serta semangat juang yang dipamerkan oleh para perajurit sepanjang tempoh latihan.
Menurut beliau, kejayaan tersebut bukanlah satu penamat, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada tanggungjawab besar sebagai anggota TD.
“Hari ini kalian telah melepasi garisan permulaan dan anda adalah masa hadapan Tentera Darat,” tegas beliau ketika menyampaikan ucapan dalam Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 204/25 dan Wanita Siri 50/25 di Padang Kawad PUSASDA pada 17 Jan 2026.
PTD turut menekankan bahawa kejayaan yang diraih adalah hasil pengorbanan dan doa keluarga serta merakamkan penghargaan kepada ibu bapa yang memberi restu kepada anak-anak mereka untuk menyertai perkhidmatan dalam TD.
Beliau juga mengingatkan bahawa setiap warga TD wajib berpegang teguh kepada nilai teras Gagah Setia iaitu taqwa, kesetiaan, pengorbanan, disiplin, keikhlasan dan amanah.
“Ikrar Kesatria bukan sekadar lafaz, tetapi sumpah yang wajib dipelihara sepanjang masa,” katanya
Selain itu, PTD memberi penegasan terhadap kepentingan disiplin dan integriti serta mengingatkan anggota agar sentiasa memelihara rahsia organisasi dan negara, khususnya dalam penggunaan media sosial yang kini menjadi antara ancaman utama keselamatan maklumat.
Seiring cabaran keselamatan semasa, beliau menyeru agar PM membentuk diri sebagai anggota yang bukan sahaja mantap dari sudut fizikal, malah cekap berfikir, berdaya saing dan bersedia menghadapi ancaman peperangan moden.
Mengakhiri amanat, beliau menyeru semua PM agar melaksanakan tanggungjawab dengan penuh jati diri demi mempertahankan kedaulatan negara.
Dalam majlis yang sama, PTD turut menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada perajurit lelaki dan wanita yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam pelbagai kategori.
Bagi kategori lelaki, Anugerah Keseluruhan Terbaik disandang oleh PM Nor Amirul Afiq Nor Arifin, Ketenteraan Terbaik oleh PM Muhammad Ammar Abdullah, Kawad Terbaik oleh PM Muhammad Asyraaf Husin manakala Akademik Terbaik oleh PM Edwin Owen Jemil dan Jasmani Terbaik oleh PM Mohammad Izwani Supian.
Bagi kategori wanita pula, Anugerah Keseluruhan Terbaik diraih oleh PM Nur Shaazwani Sabri, Ketenteraan Terbaik oleh PM Rosahira Abdul Rahman, Kawad Terbaik oleh PM Nabila Farhana Rosli manakala Akademik Terbaik oleh PM Siti Khadijah Sungip dan Jasmani Terbaik oleh PM Hellyrisah Riana Edzoth.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Malek Razak Sulaiman, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Ahmad Abu Bakar.
Gambar: LKpl Muhammad Nor Akram, Pbt Amir Hamzah, Pbt Muhammad Adam Adha, Pbt Muhammad Ammar Najmie & Pbt Muhammad Shamil Haikal




