MELAKA: Upacara Penutup Kursus Asas Komando Siri AK/3/2025 yang disempurnakan oleh Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK), Mej Jen Dato’ Ahmad Suhaimi Mat Wajab menandakan kelahiran komando baharu yang bakal mempertahankan kedaulatan negara.
Menurut Panglima 21 GGK, kursus ini merupakan antara latihan paling sukar dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana menuntut ketahanan fizikal dan mental pada tahap tertinggi.
Daripada 17 pegawai dan 201 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang memulakan latihan, hanya lapan pegawai dan 42 anggota berjaya menamatkan kursus sekaligus menjadikan kadar kelulusan sekitar 24.6 peratus.
“Hari ini yang berdiri di hadapan kita ialah mereka yang sanggup menolak keputusasaan, menundukkan ketakutan serta menanggung penderitaan demi maruah diri, pasukan dan negara,” katanya penuh bangga.
Beliau turut mengingatkan bahawa pemakaian Beret Hijau bukan sekadar lambang kebanggaan, tetapi satu amanah yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.
“Beret Hijau ini bukan hiasan. Ia adalah sumpah dan janji. Selagi anda memakainya, anda membawa maruah pasukan, bangsa dan tanah air,” tegas beliau sambil mengingatkan agar disiplin dan integriti sentiasa dipelihara.
Tambah beliau, kejayaan menamatkan kursus hanyalah permulaan kepada perjalanan lebih mencabar dalam dunia operasi khas.
Komando muda akan terus melalui latihan kepakaran darat, laut dan udara yang menuntut kecergasan berterusan, ketajaman mental serta penguasaan ilmu yang tinggi.
“Dalam pasukan khas, mereka yang terbaik tidak pernah berhenti belajar. Disiplin adalah darah anda dan kecergasan adalah nafas anda,” ujarnya ketika berucap dalam majlis penutup tersebut yang berlangsung di Encore, Klebang pada 25 Jan 2026.
Majlis dimulakan dengan demonstrasi keupayaan operasi khas melibatkan senario menyelamatkan tawanan perang, pertunjukan kombat Gerak Khas, demonstrasi anjing perang dan persembahan terjun bebas oleh pasukan payung terjun 21 GGK.
Kemuncak majlis ialah Upacara Penganugerahan Beret Hijau Gerak Khas para dan diteruskan dengan penyampaian pisau komando, sijil komando serta lanyard biru sebagai simbol pengiktirafan rasmi warga Gerak Khas.
Majlis turut menyaksikan penganugerahan Penuntut Keseluruhan Terbaik Kursus Asas Komando Siri AK/3/2025 kepada Lt M Ikmal Hakim Idris atas pencapaian cemerlang sepanjang latihan.
Upacara diakhiri dengan sesi ramah mesra melibatkan komando muda dan ahli keluarga masing-masing, sekali gus menjadi detik bermakna selepas menempuh latihan intensif yang menuntut ketahanan fizikal dan mental yang tinggi.
Turut hadir, Mej (Kehormat) Datuk Hj Rais Datuk Wira Yasin selaku wakil rasmi Ketua Menteri Melaka, Ketua Staf 21 GGK, Brig Jen Mohd Mushadi Abdul Mutalib dan Komandan Pusat Latihan Peperangan Khusus, Kol Nordin Abu.
Gambar: LKpl Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein, Pbt Muhammad Adam Adham Che Abdullah, Pbt Muhammad Ammar Najmie Misran & Pbt Muhammad Shamil Haikal Mohd Yusoff



