NEGERI SEMBILAN: Seramai 1635 Perajurit Muda (PM) Lelaki dan 34 Perajurit Muda Wanita terlibat dalam Perbarisan Tamat Latihan PM Lelaki Siri 177/2015 dan Wanita 39/2015 yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD) Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) pada 12 Sep 2015.
Latihan PM dilaksanakan selama 24 minggu yang mana latihan dijalankan secara konvensional mengikut objektif yang telah diselaraskan supaya setiap PM dapat menjalani latihan dalam waktu, tempat, kondisi serta bentuk latihan yang sama agar dapat melengkapkan PM dengan pengetahuan dan kemahiran asas ketenteraan sebelum diserapkan ke dalam pelbagai kor dalam TD.
Lima PM dianugerahkan Perajurit Muda Terbaik mengikut kategori dimulai oleh PM Ahmad Azizul Mat Safie yang dianugerahkan PM Keseluruhan Terbaik dan Akademik Terbaik diberikan kepada PM Muhammad Zaireen Zailan Akram manakala Jasmani Terbaik PM Muhammad Izuan Lamat, Kawad Terbaik PM Mohammad Aniq Akmal Saini, dan Penembak Terbaik dianugerahkan kepada Perajurit Muda Mohd Akmal Aziz.
Dalam Ucapan PTD, beliau mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua PM atas kejayaan menamatkan latihan yang serba mencabar dan beliau turut melahirkan perasaan bangga sekaligus mengucapkan syabas dengan kesungguhan yang diberikan serta menghormati semangat untuk mempertahankan kedaulatan tanah air dan bumi yang tercinta ini.
“Saya berharap saudara dan saudari sekalian akan menjadi anggota tentera yang mantap fizikal, kental mental, kukuh spiritual, dan tahap intelektual yang tinggi sekaligus menjadi pewaris generasi yang akan datang serta muncul sebagai warga TD yang berkualiti dan memiliki jiwa pahlawan yang sejati kerana profesyen ketenteraan adalah satu kerjaya yang mulia,” tegasnya.
PTD turut mengingatkan kepada Perajurit Muda agar tidak menjadi duri dalam daging dan menjadi perosak kepada kegemilangan yang telah dibina kukuh oleh warga terdahulu dan perkara sedemikian tidak akan dibiarkan berlaku di dalam TD.
Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi, Panglima Medan Barat, Lt Jen Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim, Panglima Latihan TD, Mej Jen Dato’ Suhaimi Hj Mohd Zuki serta keluarga PM.
Gambar: Sjn Saiful Fazley Rusli