KUALA LUMPUR: Seramai 729 pelatih bakal pesara tentera yang mengikuti kursus peralihan di Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) berjaya menamatkan kursus dengan jayanya dan diraikan dalam Majlis Konvokesyen PERHEBAT siri 2/2015 yang disempurnakan oleh Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein bertempat di Dewan Besar PERHEBAT pada 17 Dis 2015.
Dalam ucapan MENHAN, beliau mengucapkan ribuan terima kasih diatas pengorbanan besar yang diberikan oleh bakal pesara dan veteran ATM disepanjang perkhidmatan mereka dalam ATM selain menyatakan bahawa kerajaan komited untuk membentuk kapasiti modal insan yang tinggi dan berkemahiran secara inklusif dan ini adalah merupakan usaha serta pelaburan jangka panjang yang terbaik bagi negara.
“Langkah yang proaktif dan komprehensif PERHEBAT adalah gambaran keprihatinan Kerajaan dalam menjaga kebajikan dan pembangunan masa hadapan bakal pesara dan veteran tentera. Kita memandang perkara ini sebagai satu tanggungjawab moral yang serius dan berkelangsungan,” katanya.
Dalam majlis yang sama turut diadakan penyerahan cek kepada penerima Skim Pembiayaan Mikro Usahawan (SPM-UV-ATM) kepada lima orang vateran tentera selain turut diadakan penyerahan watikah perlantikan mentor usahawan PERHEBAT kepada usahawan yang telah berjaya untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam mana-mana program kelolaan PERHEBAT, serta pertukaran Memorandum Persefahaman (MOU) antara PERHEBAT dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).
Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Hj Zulkifleli Hj Mohd Zin.