PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri (TPM), Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hadir dalam Majlis Bacaan Yassin dan Tahlil Sempena Hari Pahlawan 2016 bertempat di Masjid Putra pada 28 Jul 2016.
Terdahulu majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah seterusnya bacaan Yassin serta Tahlil dan diakhiri dengan Solat Isya’ berjemaah yang dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Dato’ Syaikh Hj Ismail Hj Muhammad.
Tujuan utama tahlil ini dilaksanakan adalah bagi mendoakan agar sambutan Hari Pahlawan untuk mengenang jasa pejuang dan pahlawan negara yang akan dilangsungkan pada 31 Jul 2016 bertempat di Dataran Pahlawan Putrajaya berjalan lancar disamping mendoakan kepada pejuang-pejuang yang sanggup melakukan pengorbanan tertinggi demi kedaulatan negara sehingga terkorban, tercedera serta mengalami kecacatan fizikal ketika berjuang di medan perang.
Turut hadir, Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Hj Baharom, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mahamed Noor dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Seri Roslan Saad.