JOHOR: Seramai 15 pegawai dan 333 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari pasukan di bawah naungan Markas Briged Ketujuh Infantri Malaysia (MK 7 Bgd) diketuai oleh Pegawai Memerintah 5 RAMD, Lt Kol Shamsuri Noordin terlibat dalam Perbarisan Penghargaan Mej Jen Dato’ Mohd Dalib Basir bertempat di Padang Kawad Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD) pada 1 Nov 2016.
Terdahulu Mantan Asisten Panglima Pasukan Simpanan (AP PS) itu yang pernah menjadi Panglima 7 Bgd menerima tabik hormat yang terakhir dari kontinjen perbarisan bagi menghargai jasa yang telah dicurahkan oleh beliau selama 40 tahun berkhidmat di dalam ATM lalu memeriksa kontinjen perbarisan.
Dalam ucapannya beliau berasa terharu serta berbangga di atas persembahan perbarisan yang mantap dan segak serta mengucapkan terima kasih kepada Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang sudi hadir dalam perbarisan penghargaan tersebut.
“Kesungguhan warga 7 Bgd mempamerkan mutu perbarisan yang amat segak dan penuh bersemangat ini, memperlihatkan betapa tingginya displin anggota kita yang mana harus dikekalkan dalam TD serta saya menyeru kepada anda semua agar sentiasa memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pemerintah untuk memastikan TD kekal cemerlang,” tegasnya.
Turut hadir Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Hasagaya Abdullah, Asisten Ketua Staf Cawangan Sumber Manusia, Mej Jen Dato’ Suhaimi Hj Mohd Zuki, Pengarah Infantri, Mej Jen Dato’ Hj Jalaluddin Hj Manan dan Panglima 7 Bgd, Brig Jen Mohd Hassan Loman.