KUALA LUMPUR: Seramai 25 Penuntut kursus terdiri daripada satu pegawai dan 24 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Angkatan Tentera Timor Leste terlibat dalam Majlis Pembukaan Kursus Asas Brass Band yang dirasmikan oleh Pengarah Pengurusan Latihan (PPL) Markas Latihan dan Doktrin Tentera Darat (MPL&TD) Brig Jen Dato’ Mohamad Khir Abdullah bertempat di Dewan Terbuka Pusat Latihan Muzik Tentera Darat (PUZIDA) pada 17 Dis 2015.
Kursus ini diadakan selama enam bulan bermula dari 14 Dis 2015 hingga 16 Jun 2016 dan objektif utama kursus diadakan adalah untuk memberi pengetahuan yang mendalam kepada penuntut kursus dalam bidang muzik sebelum mereka boleh melaksanakan tugas sebagai ahli muzik Military Band serta berkebolehan membaca note muzik dengan baik.
Dalam ucapan PPL beliau mengucapkan selamat datang kepada penuntut kursus luar negara ke Malaysia serta mengalu-alukan kedatangan mereka ke PUZIDA bagi tujuan menuntut ilmu tentang asas Brass Band serta menimba ilmu secara mendalam tentang muzik.
“Saya berharap agar penuntut dapat mengambil peluang keemasan ini untuk memperluaskan lagi pengetahuan dalam bidang muzik kerana apabila anda semua pulang ke negara asal, anda akan menjadi perintis kepada anggota tentera lain serta menjadi kelompok pertama yang mempunyai pengetahuan Asas Brass Band’, ujarnya.
Turut hadir Komandan PUZIDA Kol Norman Hj Kamarudin, pegawai, dan jurulatih kursus.