KUALA LUMPUR: Seramai 33 peserta kursus terdiri daripada pegawai tentera dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan tujuh pegawai dari luar negara berjaya memperolehi Diploma Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) setelah menamatkan pengajian selama setahun dalam Majlis Penutup Kursus dan Penyampaian Diploma MPAT Siri 35/2015 yang disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Hj Zulkefili Mohd Zin bertempat di MPAT pada 22 Dis 15.
Kursus MPAT dikendalikan dalam tiga semester ini merangkumi tiga modul iaitu semester pertama adalah Modul Pengajian Strategik dan Hubungan Antarabangsa (PSHA), seterusnya semester kedua ialah Modul Pengajian Ketenteraan dan semester ketiga, Modul Tesis Sarjana (SKST 6509) yang mana tenaga pengajar kursus merupakan pensyarah UKM yang dilantik oleh Juruarah MPAT.
PAT turut menyampaikan tiga anugerah kecemerlangan kepada penuntut kursus terbaik kategori Kertas Kajian Terbaik dibawah tajuk Pakistan’s Security Policy in Post Cold War Era; The Shift From External to Internal Priorities hasil kajian Lt Kol Abd Hafiz Ahmad dari Kor Perkhidmatan Diraja, kategori peserta kursus terbaik luar negara, Lt Col Pang Chee Kong dari Komando Tentera Singapura dan kategori peserta kursus terbaik ATM, Lt Kol Isa Daud dari Rejimen Askar Melayu Diraja.
Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Laut, Laksamana Dato’ Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Hj Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Roslan Saad.
Gambar: Pbt Ainur Aisyah Yahaya