KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan (MENHAN) Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein diiringi Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Hj Zulkifeli Mohd Zin menyempurnakan Majlis Defence Service Asia (DSA) 2016 Thank You Reception and Announcement of DSA 2018 bertempat di Putra World Trade Centre (PWTC) pada 21 Apr 2016.
Majlis diadakan bertujuan untuk menghargai penyertaan para delegasi asing serta petugas yang tanpa jemu memberikan kerjasama padu dalam menjayakan pameran ini dengan berkampung selama empat hari untuk memastikan rekod cemerlang ini dikekalkan dan diteruskan kemantapannya di masa hadapan.
Selain itu beliau turut berterima kasih kepada pihak Kementerian Pertahanan yang sentiasa tampil memberi bantuan dalam memastikan segala perancangan dijayakan dengan sempurna.
Dalam ucapan MENHAN beliau mahukan pameran DSA ini sentiasa bersedia untuk merancang pameran yang akan datang agar ianya lebih baik dari hari ini kerana senario keselamatan seluruh dunia pada hari ini tidak sama pada masa akan datang yang mana ianya akan lebih mencabar dan lebih hebat.
“Kita akan berjumpa lagi di DSA 2018 yang akan diadakan pada 16 hingga 18 Apr 2018 di Kuala Lumpur dan terima kasih saya ucapkan kepada seluruh pengunjung DSA 2016 yang hadir pada hari ini,”katanya.
Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Wira Mohd Johari Baharum, Ketua Setiausaha Dato’ Sri Abdul Rahim Mohamad Radzi, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Laut Laksamana Dato’ Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Hj Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Roslan Saad.