NEGERI SEMBILAN: “Saya bangga bahawa warga Tentera Darat (TD) pada hari ini punyai nilai harga diri, rasa megah dan jati diri kukuh malahan tidak tergoyah oleh apa jua anasir yang cuba mengganggu gugat keberadaan kita, maruah dan semangat kita,” ucap Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Raja Affendi Raja Mohd Nor dalam Perbarisan Penghargaan beliau di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) pada 9 Dis 2016.
Perbarisan ini melibatkan penyertaan seramai 55 pegawai dan 1566 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang merangkumi 17 Kor dan Rejimen dalam TD bersama pasukan elit Trup TD dari Markas Briged Kesepuluh Infantri Malaysia Para dan MK 21 Grup Gerak Khas yang bertujuan memberi penghargaan kepada PTD Ke-25 yang akan bertukar tampuk pemerintahan dan menjawat jawatan sebagai Panglima Angkatan Tentera pada pertengahan Dis ini.
Selain itu, beliau turut menyeru agar seluruh warga TD untuk mengikis sikap penting diri, perasaan benci-membenci, hasad dengki dan sifat tamak haloba yang boleh menjatuhkan kredibiliti serta kemantapan dicipta generasi terawal dahulu malah haruslah meletakkan TD sebagai sebuah organisasi yang menjadi teras utama keselamatan dan pertahanan negara.
Pada masa yang sama turut diadakan acara Pemakaian Lencana Formasi Taktikal TD kepada pemerintah formasi serta penyerahan skrol replika lambang formasi taktikal yang mana lencana ini adalah hasil cetusan idea PTD.
Turut hadir,Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, Panglima Medan Barat TD, Lt Jen Dato’ Sri Zulkiple Kassim dan Panglima Medan Timur TD, Lt Jen Dato’ Mohd Zaki Hj Mokhtar.
Gambar: Kapt Ahmad Farhan Hassan, PW II Mohd Shahril Mat Ali, Sjn Vijay Gaundar Arikrishnan dan Tengku Norsuraya Tengku Abd Rahman