NEGERI SEMBILAN: Seramai 1525 Perajurit Muda (PM) Lelaki terlibat dalam Perbarisan Tamat Latihan PM Lelaki Siri 181-2/16 disempurnakan oleh Menteri Pertahanan Malaysia (MENHAN), Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein bertempat di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) pada 25 Feb 2017.
PM berjaya menamatkan Latihan Asas PM selama enam bulan dengan mengharungi cabaran latihan secara konvensional yang bermula dari 30 Jul 2016 hingga 25 Feb 2017 dengan bentuk latihan meliputi pembinaan karakter, pengetahuan am ketenteraan, pengendalian senjata, latihan jasmani serta kemahiran perang dan pengukuhan aspek kerohanian.
Manakala objektif utama latihan asas ini adalah untuk membentuk seorang anggota baharu dengan keperibadian ketenteraan, membina kekuatan serta ketahanan mental dan fizikal bagi melahirkan PM yang mempunyai keyakinan diri, berketerampilan, berdisiplin dan kompeten.
Dalam ucapan MENHAN, di pihak Kementerian Pertahanan pelbagai inisiatif telah dan sedang dilakukan bagi mengiktiraf jasa perwira terdahulu dengan menonjolkan lebih banyak segala kisah keberanian individu mahupun pasukan tentera.
“Kita tidak boleh sesekali lupa bahawa kita dapat sampai ke tahap ini dan dalam keadaan yang aman sekarang adalah pengorbanan para pejuang terdahulu meskipun kita semakin ghairah mengejar kemajuan hari ini, jangan sampai tergamak ketepikan jasa dan persoalkan sumbangan serta pengorbanan generasi pejuang kita sebelum ini,” tegasnya.
Selain itu, MENHAN amat mementingkan aspek kebajikan anggota ATM termasuk TD diangkat menjadi salah satu daripada lima teras yang akan diberi tumpuan Kementerian Pertahanan tahun ini serta meneruskan usaha menjulang perajurit terdahulu dengan cara yang jauh lebih bermakna dan membawa impak yang signifikan.
Anugerah PM Keseluruhan Terbaik dianugerahkan kepada PM Muhammad Amirul Zaki Zawawi diikuti empat anugerah PM Terbaik mengikut kategori dimulai dengan Akademik Terbaik diberikan kepada PM Mohd Helmi Bazrin Kamaruddin, Kecergasan Jasmani Terbaik disandang oleh PM Sebastian AK Gidion, Penembak Terbaik dianugerahkan kepada PM Geoffry AK Batien dan Kawad Terbaik diberikan kepada PM Mohd Fizuan Shahbin Jazamuddin.
Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Darat, Jen Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi, pegawai kanan TD dan keluarga PM.
[box type=”info” align=”” class=”” width=””]Gambar-gambar di Galeri Foto[/box]